Monday, 17 July 2017
'MRT SBK, Mimpi Jadi Nyata!'
HAMPIR setiap hari , sejak dua tahun lalu, Zamri Alias, 28 tahun, terpaksa berulang-alik dari rumahnya di Taman Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dengan memandu kereta ke tempat kerjanya di pekan Kajang.
Eksekutif muda di salah sebuah syarikat swasta itu terpaksa bangun seawal pukul 5 pagi untuk memastikan dia tidak terperangkap dalam perjalanan sejauh kira-kira 50 kilometer yang mengambil masa kira-kira dua jam itu.
Untuk memastikan dia sampai ke pejabatnya tepat pada pukul 9 pagi, dia tiada pilihan lain, terpaksa memasuki pusat bandar raya yang sedia sesak.
Selain jarak perjalanan yang jauh dan memenatkan, Zamri terpaksa memperuntukkan paling kurang kira-kira RM1,000 sebulan untuk duit minyak dan tol.
Namun dengan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) Fasa Kedua yang bakal beroperasi sepenuhnya esok, Zamri mampu menarik nafas lega.
Zamri yang masih bujang itu berkata, dia bukan sahaja tidak perlu bangun terlalu awal dan terpaksa meredah kesesakan lalu lintas, lebih daripada itu dia sudah bersedia memikirkan masa depannya.
“Saya sudah memikirkan masa depan untuk berumah tangga. Sebagaimana impian saya, MRT SBK bukan lagi mimpi, sebalik-nya sudah menjadi kenyataan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Zamri merupakan salah seorang rakyat yang menerima manfaat melalui projek yang menghubungkan beberapa kawasan utama sekitar Lembah Klang.
Selain mengurangkan kos sara hidup, perkhidmatan ini membantu dalam mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas secara drastik di ibu negara.
Lebih manis, majlis pelancaran MRT SBK Fasa Kedua itu bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak esok.
Perasaan sama turut dikongsi, Kamrun Nahar Hira, 28,.
Katanya, dia tidak perlu lagi bersusah payah menggunakan kenderaan sendiri dan mengharung kesesakan lalu lintas untuk ke pejabatnya di Jalan Cochrane.
“Tiada lagi tekanan buat saya. Tidak perlu risau soal sampai lewat ke tempat kerja, duit tol, parkir dan petrol.
“Segala-galanya boleh dijimatkan termasuk masa dan tenaga,” katanya penuh teruja.
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci