“RAMAI yang panggil Ham tetapi tidak tahu nama sebenar saya," kata pemilik nama Alhamdulillah Ala, 55.
Beliau yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, tidak berasa dirinya lain daripada yang lain akan tetapi bertuah kerana setiap kali orang menyebut namanya mereka memuji ALLAH.
Mengimbas kenangan ketika awal kelahirannya, dia sakit teruk dan tidak menyusu sehingga keadaannya kritikal.
Katanya, situasi itu membimbangkan ayah dan ibunya kerana dua abangnya juga meninggal dunia ketika masih kecil.
Bagaimanapun, ayahnya pernah berniat sekiranya dia dipanjangkan usia, Alhamdulillah akan menjadi namanya.
“Selepas itu, ibu saya mimpi ada orang datang dan bagi saya minum. Ibu saya terjaga dari tidur dan terus menyusukan saya, itulah kali pertama saya minum selepas dilahirkan dan Alhamdulillah, ALLAH SWT berikan kesihatan yang baik sampai hari ini,” katanya.
Tidak pernah diejek
Walaupun namanya agak unik, tetapi sepanjang zaman kanak-kanaknya tidak pernah diejek mungkin disebabkan mereka tidak tahu nama sebenarnya.
Mereka lebih mengenalinya sebagai Ham atau Alham sehinggalah meningkat ke alam remaja, perkara itu bukan masalah kepadanya.
“Disebabkan nama itu lain dari lain, kawan sekolah menengah yang tidak berjumpa selepas 30 tahun masih mengingati saya selepas diberitahu nama pelajar paling unik di sekolah," katanya.
Akui Ham, isterinya, Rosiah Ismail, 49, pun terkejut sebaik mengetahui nama bakal suaminya itu adalah Alhamdullilah.
"Tapi dia tak kisah sangat, lagipun nama saya ini bawa maksud yang sangat baik," katanya.
Tuah nama dapat makan percuma
Bapa kepada tujuh anak ini berkata, dia pernah makan bersama rakan sekerja di sebuah kedai yang dinamakan Kedai Alhamdulillah.
“Selepas makan, kami panggil tuan kedai untuk kira harga makanan. Saya cakap kepadanya ini adalah kedai saya dan sepatutnya makanan itu percuma tapi dinafikan pemilik kedai dan menegaskan itu kedainya.
“Saya tunjuk kad pengenalan dan pemilik kedai itu tersenyum kerana dia hanya suka-suka letak nama kedainya dengan nama tersebut. Akhirnya makanan yang saya makan itu diberi percuma,” katanya.
Ketika ditanya sama ada nama itu memberi tuah kepada dirinya dalam menjalani kehidupan seharian, beliau mengakui nama itu biasa sahaja.
“Selalunya bila orang sebut nama ini, pasti mereka akan sebut sekali lagi untuk mengesahkannya. Ia sering berlaku di hospital, namun lama-kelamaan mereka sudah kenal dan terbiasa dengan nama itu.
“Tiada tuah pada nama tetapi mungkin tuah kerana ada anak yang ramai. Saya ada tujuh cahaya mata terdiri lima perempuan dan dua lelaki (kembar) berusia lingkungan 16 hingga 31 tahun,” katanya sambil ketawa.
Ejaan nama mesti 13 huruf
Alhamdulillah berkata, disebabkan namanya itu dalam bahasa Arab, kebanyakan rakan-rakan kaum lain agak sukar menyebutnya malah kadang-kadang sebutannya berbunyi nama lain.
“Selalunya bila terima kad raya, nama saya pernah ditulis Rahmahtullah, saya pun tidak faham bagaimana boleh timbul nama itu.
“Untuk pastikan nama saya betul, saya beritahu mesti ada 13 huruf iaitu A,L,H,A,M,D,U,L,I,L,L,A,H. Jika cukup sudah tentu ejaannya betul,” kata anak keenam daripada lapan beradik itu.
Ham juga sangat gemar menyertai aktiviti-aktiviti komuniti di kawasan rumahnya kerana menyifatkan hubungan baik antara jiran-jiran dapat dikukuhkan melalui program dianjurkan.
“Program biasanya diadakan pada hari minggu, semua boleh turut serta dan itulah masa sesuai untuk jumpa dengan jiran-jiran yang kebanyakannya bekerja hari biasa.
“Pada program minum pagi baru-baru ini, kami turut jemput Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Dia pun mengakui kali pertama berjumpa dengan orang yang namanya Alhamdulillah walaupun kerap kali ke merata dunia,” katanya.
INFO
Nama : Alhamdulillah Ala
Umur : 55 tahun
Asal : Teluk Intan
Pekerjaan : Pembantu Tadbir, IPK Perak
Pendidikan: SK Kg Budiman, Pasir Panjang SMK Datuk Maharajalela, Kg Gajah
Isteri : Rosiah Ismail
Anak : 7 orang
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci