Johor terus menjadi tumpuan utama asing termasuk empat syarikat Jepun yang akan melabur hampir RM2 bilion di Taman Perindustrian Tanjung Langsat, dekat Pasir Gudang, di sini.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelaburan itu melibatkan sektor kejuruteraan plastik, pengkhususan kimia dan yang berasaskan polimer.
Beliau yang juga Pengerusi Johor Corporation (JCorp), kini berada di Jepun bagi mengetuai delegasi kerajaan negeri ke negara itu.
“Pelaburan ini semestinya dapat memberi manfaat limpahan ekonomi kepada rakyat Johor khususnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan berkaitan.
“Keyakinan syarikat-syarikat terkemuka dari negara luar untuk terus berhasrat melabur di Johor membuktikan bahawa mereka percaya dengan potensi negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan pelabur-pelabur Jepun sedia ada dan berpotensi di Tokyo.
Turut serta dalam pertemuan itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud dan Presiden/Ketua Eksekutif JCorp Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.
Mohamed Khaled juga yakin JCorp sebagai konglomerat kerajaan negeri, akan meneruskan peranan sebagai penyumbang untuk menarik pelaburan ke Johor dan menjadikannya lokasi tumpuan utama pelabur asing. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci