Tanpa disedari bulan Ramadan sudah hampir tiba di penghujungnya. Kurang daripada seminggu kita bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dan bagi mereka yang menghayati kemuliaan Ramadan, pasti ramai yang bersedih akan pemergian bulan yang penuh keberkatan ini. Namun, saya berharap amal ibadah kita juga tidak terhenti dengan pemergian Ramadan.
Dalam kesibukan menyambut Syawal, Insya-Allah hujung minggu ini, kita masih berpeluang untuk merebut pahala dan mencari keberkatan Ilahi dengan meraikan Hari Raya mengikut syariat-syariat Islam. Banyak amalan sunat yang boleh kita lakukan nanti, antaranya memperbanyakkan takbir memuji Allah SWT bermula pada malam raya. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 185:
“…Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”
Kita juga disunatkan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri pada pagi raya, selain mandi sunat, merapikan badan dan memperindahkan diri. Mengikut hadis riwayat Bukhari, Rasulullah SAW tidak keluar untuk melaksanakan solat Aidilfitri sehinggalah baginda makan beberapa biji tamar dalam bilangan ganjil terlebih dahulu.
Rasulullah juga menggalakkan kita untuk mengerjakan puasa sunat enam dalam bulan Syawal yang mana baginda telah bersabda:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim)
Akhir sekali, keutamaan juga harus diberi kepada usaha-usaha yang boleh mengeratkan silaturahim, kerana ini sememangnya dituntut walaupun bukan pada hari raya.
Ambillah peluang ini untuk menziarahi sanak saudara, rakan-rakan yang Islam atau pun bukan Islam, kerana ini juga mencerminkan budaya 1Malaysia yang merupakan kekuatan kita sebagai sebuah negara majmuk.
Dengan penuh keikhlasan, Insya-Allah amal ibadah kita akan diterima Allah SWT.
Oleh : Najib Razak
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci