728x90 AdSpace

  • Latest News

    Friday, 16 June 2017

    Al Quran Sebagai Petunjuk Kita





    NUZUL al-Quran di bulan Ramadan yang disambut baru-baru ini amat bermakna kepada umat Islam. Ia mengingatkan kita mengenai mukjizat Allah yang memberi pencerahan kepada kehidupan kita. Al-Quran sering dihubungkan sebagai hudan linnas dan hudan lil muttaqeen iaitu petunjuk kepada manusia dan petunjuk kepada orang yang bertakwa.

    Kaitannya petunjuk dengan kehidupan manusia amat rapat. Al-Quran adalah sumber ilmu memahami yang nyata dan ghaib. Kekuatan akal manusia memahami yang nyata masih terbatas lebih-lebih lagi yang ghaib. Al-Quran tidak sahaja membantu manusia mengenai hakikat sebenar kewujudan nyata tetapi juga memberi pedoman kepada hal-hal ghaib.

    Orang Islam mempunyai paksi hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan dengan manusia dan sistem (hablumminannas). Paksi ini penting kerana hubung­an menegak dengan Allah menyebabkan kita memiliki sifat ketaatan kepada-Nya sebagai hamba dan hubungan merentas dengan manusia dan sistem sebagai khalifah.

    Maksud kehambaan di sini bukan atas asas disuruh pergi dipanggil datang tetapi kehambaan mengikut al-Quran membawa sifat taat, patuh, akur dan tunduk kepada titah perintah Allah. Taat apa yang disuruh patuh apa yang dilarang, akur apa yang dipedomankan dan tunduk kepada kemakrufan. Asas ini penting untuk menjadi manusia orang-orang yang beriman dan bertakwa.

    Al-Quran lazimnya dibaca secara individu atau kelompok tadarus untuk mendapat pahala dan barakah. Maksud al-Quran diturunkan kepada umat manusia lebih daripada itu. Al-Quran akan menjadi petunjuk tidak saja secara harfiah (tekstual) tetapi memberi jawapan terhadap seluruh penciptaan Allah (kontekstual).

    Surah al-Alaq yang awal diturunkan umpamanya (ayat 1-5) membawa maksud yang amat bermakna. “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.” Konsep baca membawa maksud yang tersurat dan tersirat dan luas cakupannya. “Allah mencipta dirimu dari darah beku (alaqa).” Darah beku asas kepada ilmu kejaninan (embriologi) yang rapat hubungannya dengan sains.

    Ayat 3-5 menghubungkan kalam sebagai alat bagi maksud menjana ilmu (a’lam). Saintis Islam menggunakan alat falakiah (observatories) untuk mengetahui rahsia di sebalik cakerawala dan bintang-bintang sebagai rahsia ciptaan Allah supaya manusia memahami kuasa Allah dalam mentertibkan perjalanan alam semesta ini.

    Al-Quran juga terkandung prinsip asas pembentukan pemikiran dan hati. Hati budi yang terbina secara fitrah menghasilkan niat dan niat yang baik menghasilkan amal yang baik juga. Oleh itu amat penting ilmu nakliah (wahyu) menyantuni ilmu hasil dari pemikiran dan pemerhatian supaya terbentuk tasawwur atau menanggapi sesuatu secara Qurani.

    Dalam tradisi pengajaran dan pembelajaran al-Quran yang membawa kesan kepada perubahan diri manusia bermula dengan hafazan. Setiap kalimah yang dibaca memberi pahala apalagi melakukan hafazan. Langkah kedua adalah berlakunya kefahaman. Teori ilmu menyebutkan sekiranya kefahaman tidak terjadi pembelajaran tidak berlaku.

    Langkah ketiga adalah pendekatan berfikir. Asas kefahaman membawa kita berfikir dan berjiwa tadabbur se­perti yang diungkapkan al-Quran. Jiwa tadabbur adalah asas menghubungkan manusia dengan yang dicipta.

    Langkah keempat adalah amat mencabar dalam peng­ajaran dan pembelajaran iaitu proses penyerapan (internalisasi). Proses ini menuntut upaya menyantuni fikir dan zikir supaya terbina akal budi dan celik hati yang memberi pedoman kepada amal.

    Langkah kelima adalah upaya menterjemahkan niat dalam bentuk amal hasil terbinanya akal budi yang tinggi. Akal budi adalah sangat penting dibangunkan supaya ianya tidak bercanggah dengan fitrah. Akal budi yang tinggi menjadikan insan lebih manusiawi.

    Merayakan Nuzul al-Quran harus menginsafkan kita pentingnya umat Islam kembali kepada al-Quran dan sunah seperti yang dipesan Raasulullah dalam Hujjatul Wida’nya iaitu berpegang kepada al-Quran dan sunah supaya tidak sesat selama-lamanya.




    PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Al Quran Sebagai Petunjuk Kita Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top