Oleh : Khairuddin Mohd Zain
MUTAKHIR ini, Malaysia menerima banyak berita baik berkait pelaburan dan kerjasama ekonomi dengan negara luar. Dalam berhadapan dengan realiti ekonomi semasa; pelaburan besar dari mana negara sekalipun adalah ‘strategik’ dan penting buat negara. Hubungan dan imej baik Malaysia menjadi asas kekuatan untuk terus dianggap sebagai antara negara yang wajar didekati dan diangkat sebagai rakan. Manhaj dan cara Malaysia, mengurus pendekatan diplomasi antarabangsa, sememangnya kekuatan yang wajar dihargai oleh segenap warga.
Kaedah diplomasi Malaysia semakin menjemput hormat dan wibawa. Usaha diplomasi berkesan pasti membawa bersamanya nikmat iktisad yang bukan kecil. Ini bukan sifir ‘ringgit dan sen’ semata-mata. Yang lebih wajar dihargai adalah kepercayaan rakan niaga dan negara tetangga akan kemampuan sebenar Malaysia.
Walaupun soft power adalah satu istilah yang agak lama, namun masih relevan dan penting untuk dihayati dalam suasana semasa. Kekuatan sesebuah negara, tegas Joseph Nye, di dalam karyanya Soft Power - The Success in World Politics - berkait juga dengan kemampuan untuk membentuk aura positif kepada negara lain berasaskan tiga perkara penting: asas budaya (culture), nilai politik (political values) dan juga dasar hubungan antarabangsa (foreign policies).
Kepada penulis, wasatiyyah (kesederhanaan) dan moderation, memberikan aura positif yang luar biasa kepada Malaysia. Dalam banyak perkara, Malaysia mampu menzahirkan pandangan yang tidak ekstrem, adil dan berpandangan jauh dalam banyak isu antarabangsa. Komitmen kita untuk meneraju pendapat dalam isu-isu besar berkait umat Islam di seluruh dunia, secara asasnya diterima baik di pentas dunia.
Mudah bicara, wibawa Malaysia diiringi sama dengan tamsilan yang baik di dalam negara. Kepelbagaian kaum dan agama, tidak menjadi asbab untuk kita bersengketa. Ini tidak bermakna kita bersetuju dalam semua perkara. Berbeza pandangan itu biasa, namun itu tidak bermakna kita lupa akan aspirasi kita yang lebih besar sebagai sebuah bangsa.
Sementara prinsip tasamuh dan toleransi ini berjalan baik di Malaysia - imej Islam secara keseluruhannya di lembar media dunia masih belum molek.
Kalau bulan lalu, serangan Khalid Masood di Westminster Bridge menjadi modal baharu mengaitkan Islam dengan keganasan. Baru-baru ini, serangan hampir sama berlaku di Stockholm, Sweden. Kelmarin, dua gereja Koptik di Mesir diletupkan Daesh.
Kemampuan Malaysia mengurus cabaran radikalisme dan ekstremisme, setakat ini diakui sebagai luar biasa. Kesungguhan pihak keselamatan kita mengurus dan menidakkan pembenihan terrorisme memang cukup dihormati. Nyata, kejayaan ini bukan dicapai dengan mudah. Sudah pasti, banyak masa, tenaga dan inisiatif yang diusahakan pelbagai pihak bagi membendung keadaan ini.
Ini sama sekali tidak bermakna kita sudah mencapai tahap ‘sifar radikalisme dan ekstremisme’. Elemen itu masih ada. Malah angka dan statistik sama sekali tidak mengecong.
Dalam satu jawapan yang dibentangkan di Parlimen, sejumlah 979 orang telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA. Angka ini mungkin kecil - tetapi pembenihan elemen radikalisme dan ekstremisme tidak boleh dipandang mudah. Disebabkan itu jugalah, rasanya langkah tepat memperdana wasatiyyah sebagai dasar negara itu mempunyai rasional yang kuat.
Dasar Wasatiyyah Negara (DWN)
Tanpa mengambil mudah keperluan membentuk kefahaman menyeluruh mengenai konsep wasatiyyah - pada 21 Oktober 2016, Jemaah Menteri telah bersepakat merangka struktur dan kerangka pelaksanaan Dasar Wasatiyyah Negara (DWN) dengan lebih tuntas.
Empat asas utama keperluan DWN adalah perkara berikut:
* Perpaduan dan Integrasi Nasional
* Ancaman pemikiran ekstremisme dan liberalisme melampau
* Menangani persepsi dan publisiti negatif terhadap Islam
* Gejala eksploitasi ilmu dan penularan ketaksuban dan fanatisme
DWN dilihat sebagai langkah proaktif dalam melengkapi pelbagai usaha yang sedang dan akan dilaksanakan dalam menangani pelbagai cabaran semasa. Dengan terangkatnya wasatiyyah sebagai ‘dasar negara’ - ini memberikan gambaran bahawa lebih banyak usaha akan dilaksanakan dalam memberi kefahaman kepada rakyat.
Prinsip 4K (kesederhanaan, keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan) boleh menjadi asas kepada faham wasatiyyah yang tepat. Setakat yang penulis maklum, DWN bukan setakat cadangan yang muluk-muluk di atas kertas. Jemaah Menteri pada dasarnya bersetuju, enam bidang strategik yang akan menerusi DWN adalah seperti berikut:
* Pendidikan dan belia;
* Ekonomi dan pembangunan;
* Pentadbiran dan perundangan;
* Perpaduan dan sosial;
* Politik dan kenegaraan; dan
* Keselamatan dan pertahanan
Pelan Strategik DWN (2016-2020) menggariskan keperluan wasatiyyah ditampilkan sebagai elemen utama pengajaran dan pembelajaran di peringkat rendah, menengah dan universiti. Wasatiyyah juga mahu direalisasikan melalui kaedah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Bagaimanapun penerapan wasatiyyah di dalam bidang strategik lain juga pastinya dinantikan oleh rakyat. Yang penting, wasatiyyah tidak lagi menjadi usaha berasaskan slogan - malah akan meniti di bibir dan persada fikiran rakyat, sebagai falsafah yang memandu kehidupan yang seimbang dan harmoni.
Penulis cukup yakin dan percaya, sekiranya usaha berterusan diambil dalam ‘memasarkan’ wasatiyyah sebagai landasan fikir yang dinamik dan progresif - ia akan benar-benar menampilkan rakyat Malaysia sebagai ‘ummatan wasatan’ - umat contoh yang sebenar.
Selari dengan dialog massa berkait Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang sedang berlaku di seluruh negara mutakhir ini, asas wasatiyyah dan kesederhanaan ini juga wajar diterapkan dalam kalangan generasi muda. Perkara yang paling wajar diperingatkan kepada generasi muda soal kecemerlangan yang menjadi teras kepada wasatiyyah.
Transformasi sebenar akan hanya menjadi impian kosong, sekiranya suara minoriti yang menjulang amalan dan faham radikal, liberal dan pembenihan ekstremisme - menjadi kuat dan mendominasi dialog dalam masyarakat. Wasatiyyah akan pantas diuji apabila masyarakat terdedah kepada pelbagai haluan pemikiran yang berlawanan arah.
DWN adalah komitmen dan kesungguhan pimpinan negara untuk melihat faham radikal dan militan tidak membenih dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sementara itu SOSMA dan spektrum perundangan lain boleh digunapakai; yang lebih penting adalah keperluan membina jalur fikir wasatiyyah sebagai naratif yang lebih ampuh.
Meletakkan wasatiyyah sebagai dasar dan kerangka fikir negara sememangnya langkah yang tepat. Malaysia tidak boleh berkompromi dengan gugatan dan ancaman bersifat militan - dalam apa jua keadaan.
Di Malaysia, wasatiyyah bukan sekadar slogan. Ia sudah menjadi niat dan dasar negara. Ia sudah menjadi iltizam dan keinginan pimpinan negara seluruhnya. Jika itulah komitmen dan aspirasi yang ada - maka ini mesti diterjemah dengan sebaik dan sekukuh mungkin di setiap peringkat.
PENULIS ialah penganalisis politik dan isu-isu semasa
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci