"Tak ada insan suci yang tiada masa lampau dan tak ada insan berdosa yang tiada masa depan."
Itulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi yang diceritakan seorang pengguna Facebook, Kamarul Ariffin Nor Sadan baru-baru ini.
Beliau yang juga seorang doktor itu menceritakan tentang satu peristiwa yang pernah berlaku di hadapan matanya sendiri ketika masih bergelar seorang pelajar perubatan yang menjalani penempatan elektif di Hospital Kajang, satu ketika dulu.
Padanya kisah ini perlu diambil iktibar semua orang kerana sempurna itu memang bukan sifat manusia
PENDOSA
“Boleh panggil doktor sekarang, tak? Bodoh ke buat mesyuarat sekarang. Janji nak beri balik pagi ni. Nanti tak sempat aku nak pergi solat Jumaat.” kata seorang pakcik berkopiah kepada seorang jururawat di kaunter.
“Tunggu sekejap ya, pakcik. 15 minit lagi habislah.” balas jururawat itu.
Ketika itu, aku masih lagi seorang pelajar perubatan. Menjalani penempatan elektif di Hospital Kajang. Aku tak sertai CME tu sebab datang lewat hari berkenaan. Segan pula nak masuk setengah jalan. Takut disergah dengan soalan.
“Doktor, tolong periksa pesakit ni sekejap.” Terpinga-pinga aku dibuatnya. Tengah syok curi dengar drama pakcik yang nak balik tu, tiba-tiba ada orang sapa.
Apabila aku menoleh kelihatan seorang pegawai beruniform serba coklat memandangku sambil menuding jadi kepada seorang pesakit di katil yang tangan digari kepada rangka katil.
Di Hospital Kajang, pesakit bergari ditemani pegawai penjara adalah perkara biasa. Mana tak nya, Penjara Kajang berada tidak jauh daripada hospital itu. Jika tahanan penjara itu sakit, pasti di hantar ke Hospital Kajang untuk dapatkan rawatan.
Nafas pesakit tersebut sangat kencang dan setelah diperiksa paru-paru pesakit tersebut, didapati bunyi pernafasannya teredam. Itu menandakan perkara yang tidak baik!
Pesakit yang ditunjuk oleh pegawai itu nafasnya kencang. Dia duduk bersila sambil tangannya menopang di atas lutut. Persis seperti dukun yang sedang menurun. Sekali-sekala terbatuk.
Aku lakukan auskultasi pada paru-paru pesakit tersebut dan dapati bunyi pernafasannya teredam. Alamak, itu tanda tak tak baik! Maka, aku segera beritahu perkara itu kepada jururawat yang sedang melayan pakcik tadi.
Setelah menerima makluman daripada aku, jururawat itu segera meminta diri dan meninggalkan pakcik yang berang itu lantas mengambil bacaan tanda vital pesakit yang sesak nafas tadi.
BP 100/65 mmHg. PR 101 bpm. SPO₂ 80% under room air. RR 42 bpm.
Ringkasnya, bacaan tanda vitalnya sangat membimbangkan. Jadi, tanpa melengahkan masa, jururawat itu memanggil doktor di bilik seminar di mana sesi CME sedang berlangsung. Dua orang doktor bergegas keluar dari CME untuk memeriksa pesakit yang dimaksudkan.
“Doktor! Doktor!” teriak pakcik apabila terlihat doktor-doktor tersebut, namun teriakannya itu tidak diendahkan.
Pesakit sesak nafas itu diperiksa dan secara klinikal didapati berkemungkinan mengalami kebocoran plasma sehingga menyebabkan paru-parunya ditenggelami cecair plasma. Ini adalah salah satu komplikasi denggi yang amat digeruni oleh para doktor. Jika ia berlaku, bila-bila masa pesakit boleh meninggal.
Setelah pesakit distabilkan dan sedang diuruskan untuk dihantar ke ICU untuk pemantauan rapi, pakcik yang tak sabar mahu pulang tu menyindir dengan suara yang keras
“Boleh pula panggil doktor untuk tengok si banduan tu. Tadi aku suruh panggil doktor, kata tak boleh. Banduan yang tak bayar cukai tu lagi penting dari aku ke?” ujarnya.
Para doktor serta jururawat mendiamkan diri sahaja.
“Apa faedahnya selamatkan sampah masyarakat. Patutnya, biar mati je pun tak apa. Ini tidak, dia orang pula lagi diutamakan. Bodoh betul.” sambungnya lagi. Mungkin tak puashati kerana sindiran yang pertama tidak dilayan.
Mendengar sindiran itu, pegawai penjara tadi melangkah mendekati pakcik separuh abad itu, kemudian membongkok agar matanya bertentangan separas dengan pakcik yang sedang duduk bersandar di atas katil.
“Pakcik tahu tak? Syurga tu dipenuhi oleh pendosa-pendosa yang bertaubat. Manakala neraka pula dipenuhi oleh orang-orang alim yang munafik.” ujar pegawai tersebut, lantas beredar.
Epik. Rasa macam nak tepuk tangan atas respons yang diberi oleh pegawai penjara tu, namun aku bendung keinginan tersebut kerana tindakan itu sangat tak beretika. Aku perasan ada beberapa orang pesakit senyum sinis. Seorang menekup mulut, mungkin menahan gelak.
Lumrah bagi kita untuk membenci seorang pendosa. Namun layakkah kita melayani mereka dengan buruk? Adakah kita pasti kita lebih baik daripada mereka?
Kamarul Ariffin Nor Sadan
Pendosa yang sedang cuba menjadi lebih baik
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci