Thursday, 20 April 2017

"Patutlah Rezeki Anak Kedua Tak Dapat..."








By KRT

Saya tidak tahu kepada siapa mahu diluahkan rasa hati ini melainkan menulis di sini sebagai luahan hati. Saya merupakan isteri kepada seorang anggota polis yang baru memulakan kerjayanya selama 3 bulan. Orang akan tabik memanggilnya Tuan. Saya sudah berkahwin dengan suami baru 4 tahun dan memiliki seorang anak lelaki berusia 3 tahun. Sebelum ini saya tinggal bersama ibu dan bapa saya di Kuala Lumpur. Cuma kini kami bersepakat untuk tinggal menyewa memandangkan kami berdua bekerja di Shah Alam dan tidak mahu berulang-alik dari KL

Saya bekerja di Shah Alam sudahpun hampir 3 tahun dan sambil-sambil itu sy turut membuat perniagaan kecil secara online baru berusia 4 bulan. Sedikit sebanyak membantu jugak pendapatan harian sekeluarga. Itu pun di atas desakan keluarga mertua yang mengatakan saya seperti berada di zon selesa denga makan gaji di tempat kerja saya sekarang itu. Macam-macam benda mereka suruh saya berniaga seperti jual tudung, jual Tupperware, jual baju budak tapi semuanya saya tidak berminat. Ye lah, kalau tidak minat, takkan saya nak buat. Minat mahu berniaga itu memang ada. Cuma takut tidak mampu beri komitmen yang baik untuk kerjaya sebenar, keluarga dan diri sendiri. Mendapat galakan dari suami juga, saya kini sertai ahli untuk jadi beauty consultant produk kecantikan. Alhamdulillah, pendapatan memberansangkan. Jadi saya mampu untuk membantu beli barang-barang dapur bulan-bulan.

Cuma, sebelum berpindah dahulu, saya pernah berbincang dengan suami agar kerja rumah perlu dibuat bersama, anak mesti dijaga bersama, barang keperluan rumah juga guna duit bersama. Sampailah satu masa saya seorang saja yang mengeluarkan duit untuk membeli barang-barang keperluan rumah. Lampin, susu anak, lauk, sabun mandi, semua saya yang dulukan duit saya. Sebab apa tau, sebab setiap kali mahu bayar, suami saya akan cakap dia tidak cukup duit bulan ini. Maka,  di atas rasa ihsan saya cakap tidak apalah guna duit saya dulu memandangkan saya juga ada dapat untung hasil jualan perniagaan online saya. Sampaikan pisau cukur janggut suami pun saya guna duit sendiri supaya suami kelihatan kemas untuk pergi ke tempat kerja.

Masalah bermula apabila suami saya kebelakangan ni kerap keluar malam. Mentang-mentang sudah duduk rumah sendiri, buat rumah macam hotel pula. Kalau atas urusan kerja, saya sangat memahami. Tapi tidak, katanya mahu pergi main bola atau futsal. Sekali dua saya bolehlah terima, ini dalam 5 malam, 1 malam saja dia ada di rumah. Selebihnya ada tugasan malamlah, pergi main bolalah, futsallah. Eh ada pulak duit minyak mahu pergi padang bola itu. Ada pulak duit dia nak bayar yuran futsal tu. Saya balik kerja penat-penat terus masak untuk makan malam, suami pulak cepat-cepat bersiap untuk pergi main bola. Bila saya marah, dikatanya, “Ok lagilah main bola dari abang main perempuan”. Bijaknya bercakap! Buat saya jadi lagi naik angin, bila malam balik rumah, saya bangun pagi  esoknya, stokin bersepah, tuala tidak bersidai, lampu tidak ditutup.

Saya cuba bersabar lagi. Tapi kalau sudah cakap banyak kali benda yang sama tetap berlaku panas jugak hati saya dibuatnya. Dia ingat saya orang gaji dia ke? Sudahlah makanan saya yang masak, guna pulak duit saya, pinggan yang dia makan sikit pun tidak berganjak dari meja dia. Paling tidak pun cuci sajalah pinggan sendiri kalau tidak mahu cuci periuk belanga pun. Anak merengek dipersalahkan saya. Sampai satu masa, saya bersuara. Saya tidak minta dia bayar duit saya. Tetapi saya minta dia tolong sama-sama buat kerja kat rumah ini. Saya bukan orang gaji dalam rumah ini.

Sudahlah saya terkejar-kejar setiap kali mahu pergi kerja, kena hantar anak pergi ke taska dulu. Uruskan anak pagi-pagi pun semuanya saya yang buat  seorang. Dia? Cuma bangun dan bersiap kemudian terus pergi kerja. Timing kerja dia bukan main lagi dijaga sebaik mungkin. Habis saya? Rumah sudah dekat dengan pejabat pun tetap terlewat masuk kerja. Kecewanya rasa. Setidak-tidaknya tolonglah saya kemas bag anak. Buatkan anak susu sementara saya bersiap untuk ke tempat kerja. Ini tidak, dari anak tu bangun tidur sampai ke sudah saya sorang saja yang buat. memang tanggungjawab itu mcm sudah jatuh ke atas saya seorang. Saya cuba jugak telan walaupun hati sudah jadi tak ikhlas.

Bila malam, saya juga yang kena suapkan anak makan. Dia? Main telefon, tengok TV. Sy ada jugak komitmen lain untuk saya buat. Ada pelanggan mesej, tidak sempat saya mahu balas, sudah hilang sorang pelanggan. Kecewanyalah hai. Tidak mengapalah, bukan rezeki saya. Nak cerita pada suami bukan dia faham. Kalau dia jenis mengerti mesti dia yang tolong jaga anak malam-malam sementara saya dengan bisnes saya pula. Bukannya 24 jam pun saya dengan bisnes, cuma ada masanya pelanggan mesej, mahu juga saya kena layan.

Sampailah satu pagi hujung minggu, saya tengah siapkan sarapan dan makan sama-sama. Kemudian tengah saya suap anak pula makan, hampir sejam saya perhatikan dia masih di meja makan tidak bergerak dengan telefon erat di tangan. Periuk belanga, pinggan mangkuk semua saya sudah basuh. Takkan pinggan sendiri pun dia tidak mampun untuk angkat pergi basuh sendiri di sinki itu?

Entahlah, mungkin sampai masanya untuk saya meletup sebab sudah penat sangat, saya bercakap dan seolah-olah persoalkan tanggungjawab dia. Alasan dia, katana petang nanti pun boleh basuh. Ya Allah, kalau mahu tunggu petang alamatnya saya jugalah yang kena buat semu aitu. Sudahlah selalunya hujung minggu saja saya mahu berkemas rumah, sapu dan mop lantai, cuci bilik air. Semua itu saya juga ke yang kena buat? Saya bukan suri rumah tau? Saya pun pun bekerja.

Tetapi saya ke lelaki yang kena buat semua itu seorang diri? Tetapi dia pula yang mengamuk balik pada saya. Langsung dia pecahkan pinggan. Memang saya terdiam. Selalunya memang ini pun yang terjadi. Saya juga yang akan kena balik. Dia ambil penyapu dan sapu satu rumah. Tetapi mulutnya memamki hamun saya pula. Macam mahu pecah kerusi meja makan dihentaknya. Tetapi, yang paling saya rasa mahu marah bila dia pecahkan semua barang-barang perniagaan online saya. Dipicit-picitnya semua pencuci muka milik pelanggan saya, dibalingnya barang mekap yang berkaca, dibuangnya depan mata saya semua toner, lipstick dipatahkan di depan mata saya.

Allahu, hancur berderainya bila dia musnahkan mata pencarian saya. Sedangkan duit jualan itulah yang bagi makan perut suami dan anak saya. Saya hanya mampu melihat dengan linangan air mata. Langsung dia bawa anak saya keluar dari rumah dan tinggalkan saya seorang diri. Sebelum keluar rumah, sempat juga dia sepak terajang badan saya. Ditujalnya kepada saya dikatil. Dia bijak tau? Dia tidak belasah saya sampai berbirat badan sebab dia tahu kerjayanya akan rosak bila mana saya buat laporan polis. Dulu pernah juga dia pukul saya, tetapi entahlah kenapa perempuan bodoh macam saya tetap berdiam diri dan tidak membuat laporan polis. Sebab nanti kita fikir, esok lusa baiklah tu. Tetapi akibatnya macam inilah. Salah saya tidak laporkan pada polis dari dulu lagi. Sekarang ini saya mahu buat laporan apa kalau tiada bekas luka pun. Sebab dia akan tolak dan sepak terajang tanpa meninggalkan kesan.

Janganlah beri cadangan pada saya untuk beritahu hal ini kepada ibu bapanya atau ibubapa saya. Kerana itu bukanlah jalan terbaik yang boleh saya buat. Sebaliknya saya akan dapat malu bila kami berbaik semula nanti dan saya tidak mahu mendapatkan kebencian sesiapa kalau sudah berbaik semula nanti. Tapi hakikatnya sekarang ini sayalah yang menanggung akibatnya. Sudahlah duit tidak diberi, barang perniagaan saya dimusnahkan pula. Menitik-nitik air mata kemas satu persatu barang niaga saya. Mana pulak saya mahu cekau duit untuk ganti duit customer saya. Tangisan saya langsung tidak diendahkan suami. Malah dia siap mengejek saya dan mengajar anak yang dia akan cari ibu yang lebih cantik, lebih kaya dan lebih hebat dari saya. Saya cuma mampu mendengar saja. Saya tahu dia mahu menaikkan api kemarahan saya, tetapi wajarkah dengan cara itu saya diperlakukan?

Masih saya ingat lagi masa anak saya berusia hampir 2 tahun, saya bergaduh dengan suami dan masa itu anak menangis mahu menyusu badan. Suami tarik anak dari pelukan saya. Dikatanya saya perempuan murahan. Susu yang diberi itu adalah susu haram. Dia cakap lagi, dia haramkan saya menyusukan anak saya lepas ni. Makin menitik air mata saya bila anak kecil saya menangis mahu menyusu dan terus saya pegang lututnya memberi izin untuk susukan dia. Sampai macam tu sekali suami saya buat pada saya.

Dan sekarang ni saya ditinggalkan di rumah dan dikunci dari luar. Kunci rumah semuanya dia bawa bersama anak yang entah kemana pergi pun saya tidak tahu. Pada siapa lagi mahu saya luahkan? Pada kawan? Silap-silap mereka pun ada masalah mereka sendiri. Pada mak ayah sendiri? Tidak sanggup rasanya mahu cerita masalah keluarga saya pada mereka. Ada jugak rasa mahu beritahu pada keluarga suami, tapi saya yakin mereka akan menyalahkan saya sebab kononnya saya yang berkira dengan suami sendiri.

Allahu akhbar. Apalah nasib yang menimpa saya jadi isteri dia. Patutlah Allah tidak memberi rezeki pada saya untuk mendapat anak kedua. Sebab Dia tahu, tiada nur dalam keluarga saya untuk Dia bagi amanah lain untuk dijaga. Apa lagi boleh saya buat kalau caranya asyik redha…. redha…. redha..

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci