728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday 13 April 2017

    Majukan Pelumba MotoGP Daripada Taja F1




    Oleh : Azman Anuar


    Keputusan Kabinet tidak menyambung kontrak perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mulai 2018, diterima dengan hati yang terbuka. Tiada bantahan daripada orang ramai. Semua pihak bagaikan bersetuju dengan keputusan Kabinet itu.

    Maklumlah sejak negara kita jadi penganjur perlumbaan F1 pada 1999, kita hanya senang dengan pujian sebagai tuan rumah yang terbaik. Pada hakikatnya imej yang baik itu tidak diterjemah dalam bentuk pulangan yang memberi keuntungan.

    Selama 15 tahun sebagai tuan rumah perlumbaan F1, kita tidak dengar cerita berkaitan kos penganjurannya adalah tinggi setiap tahun dan bebanan itu terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

    Penganjuran perlumbaan F1 di Sepang pada mulanya bertujuan untuk menggalakkan rakyat tempatan meminati sukan lumba kereta F1 bertaraf dunia. Namun baru sekarang kita nampak, bahawa kita tidak berjaya mencapai matlamat itu. Hakikatnya menganjurkan F1 membabitkan kos yang terlalu tinggi tetapi pulangan rendah.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataannya berkata, langkah tidak menyambung kontrak itu berikutan pulangan menurun yang semakin ketara kepada negara berbanding kos penganjuran perlumbaan itu.

    Promosi dan iklan yang hebat di dalam media antarabangsa pun bukan jaminan untuk menarik orang menontonnya. Kini baru kita tahu jumlah jualan tiket banyak yang tidak laku kerana kehadiran penonton semakin merosot. Suatu ketika dulu perlumbaan F1 di Sepang memang menjadi tumpuan pelancong asing kerana di rantau Asia hanya ada dua litar F1, satu SIC di Malaysia, dan satu lagi Litar Suzuka di Jepun.

    Apabila mengimbau tahun-tahun awal untuk mendapatkan hak tuan rumah dan kali pertama kita menganjurkan F1, sambutannya cukup hebat. Kitalah negara tuan rumah perlumbaan F1 yang pertama di Asia yang di luar Jepun. Dahulu kita ketepikan soal kemampuan dan kewangan kerana taksub dengan slogan “Malaysia Boleh”. Ya kita ‘boleh’ menjadi tuan rumah dan penganjur acara sukan yang terbaik, termasuk untuk perlumbaan berprestij seperti F1. Kita ketepikan pandangan sesetengah rakyat pada awalnya, dan mahu rakyat berfikiran positif bahawa projek F1 bukan projek yang membazir.

    Baru-baru ini Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyatakan kerajaan membelanjakan RM300 juta saban tahun untuk perlumbaan F1 selain bertujuan memupuk bakat pelumba tempatan. Tetapi seperti diakui Nazri, pulangannya kurang daripada jumlah yang dibelanjakan.

    Tambah meresahkan apabila kantung Petronas yang bertahun-tahun menjadi penaja utama perlumbaan F1 di SIC makin menyusut. Syarikat gas dan minyak negara kita menerima tamparan hebat ekoran kejatuhan harga minyak dan gas dunia sejak dua tahun lalu.

    Dalam tempoh 10 tahun lalu, banyak negara di Asia yang menganjurkan perlumbaan F1. Di sebaliknya, jualan tiket F1 di Malaysia kian merosot, kadar tontonan TV menurun. Jumlah pengunjung asing ke SIC berkurangan kerana mereka boleh memilih litar F1 di Singapura, China, dan Qatar. Jadi pulangan daripada pelaburan tidak begitu besar.

    Kita boleh lihat sejak beberapa tahun lalu, perlumbaan F1 sudah hilang daya tarikan termasuk kedatangan pelancong asing ke Sepang. Faktor cuaca panas di Malaysia juga ada kesannya terhadap penonton dari negara beriklim sejuk. Malah, sesetengah pihak menyatakan perlumbaan F1 tidak lagi menarik kerana dikuasai satu pasukan.



    Menyerlah

    Tambah pula faktor penonton tempatan mungkin tidak ghairah untuk menyaksikan perlumbaan F1, berbeza minat mereka pada perlumbaan MotoGP. Menonton perlumbaan jentera F1 dengan tiga kategori MotoGP jauh berbeza. Apa pun motosikal lebih dekat dengan jiwa rakyat Malaysia.

    Setiap rumah, kemungkinan besar ada satu motosikal tidak kira model dan kuasanya. Malah bukan kita tidak tahu penunggang kita lebih berani daripada penunggang MotoGP. Hal ini boleh kita lihat aksi penunggang berani mati seperti aksi mat rempit di atas jalan raya.

    MotoGP bukan asing dengan rakyat Malaysia. Ia lebih dahulu dekat dengan jiwa anak muda Malaysia berbanding F1. MotoGP sudah tertanam sejak tahun 1980-an lagi. Malahan, bakat-bakat daripada kejohanan Cup Prix mula menyerlah sejak tahun 2000 apabila nama seperti Shahrol Yuzy Ahmad Zaini menonjol di arena MotoGP dalam kategori 250cc.

    Kini dalam tiga kategori perlumbaan MotoGP, Malaysia boleh berbangga dengan pelumba Khairul Idham Pawi dalam Moto3, Hafizh Syahrin (Moto2) dan kelas MotoGP - Zulfahmi Khairuddin. Ramai lagi pelumba berbakat Malaysia yang bertaraf antarabangsa.

    Lumba motosikal Malaysia nampaknya berjaya dari segi menarik penonton. Berakhirnya penganjuran F1 tidak bermakna Litar Antarabangsa Sepang itu akan sunyi sepi daripada ngauman jentera. SIC tidak akan terbiar kerana ia akan digunakan untuk sukan MotoGP yang lebih memikat penonton tempatan.

    Tahun lalu jualan tiket MotoGP Malaysia di SIC habis dijual dan dianggarkan 90,000 orang, termasuk di tempat duduk kawasan bukit dipenuhi penonton. Adalah langkah yang bermakna apabila dana untuk penganjuran F1 dipindah kepada program pembangunan akar umbi MotoGP.

    Jadi elok sangat Malaysia tidak melanjutkan lagi perjanjian kontrak F1 yang bakal tamat pada 2018. Alihkan tumpuan kita kepada meningkatkan pelumba MotoGP yang mampu mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Majukan Pelumba MotoGP Daripada Taja F1 Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top