Oleh: AZMAN HUSSIN
SEORANG lelaki datang mengadu kepada Abu Nawas bahawa biliknya sangat sempit, dan meminta pandangan Abu Nawas untuk menghadapi masalah ini.
Apa yang dinasihatkan oleh Abu Nawas adalah sangat pelik. Abu Nawas menyuruh lelaki tersebut meletakkan kambing di dalam biliknya. Kerana menghormati Abu Nawas sebagai seorang yang bijaksana, orang itu pulang dan melakukan seperti apa yang dinasihatkan Abu Nawas itu. Apa yang terjadi? Tentulah ruang biliknya semakin sempit. Untuk beberapa hari, dia bertahan sehinggalah kesabarannya hilang.
Dia datang lagi kepada Abu Nawas dengan menyatakan masalahnya semakin rumit, biliknya semakin sempit. Maka Abu Nawas menyuruhnya balik dan meletakkan pula lembu di dalam biliknya. Sekali lagi dia berasa aneh, tetapi kerana masih bersangka baik dengan Abu Nawas, mungkin ada keajaiban akan berlaku, dia melakukan saja seperti apa yang disuruh oleh Abu Nawas.
Sekali lagi biliknya makin sempit. Untuk kali ketiga, dia mendatangi Abu Nawas, nasihat pelik itu berlaku lagi. Kali ini kerbau pula disuruh oleh Abu Nawas.
Dan untuk kali keempat, orang itu datang lagi dengan marah-marah. Abu Nawas menyuruhnya balik dan membuang kerbau itu dari dalam biliknya. Dia melakukannya. Biliknya semakin lapang, tetapi masih tidak cukup lapang baginya.
Dia mengulangi lagi berjumpa Abu Nawas. Abu Nawas menyuruhnya membuang lagi lembu.
Apabila tinggal kambing, dia berasa lebih lapang. Dia mendatangi Abu Nawas lagi untuk mengadu.
Begitulah sehinggalah biliknya itu kembali kepada keadaan asal, tetapi perasaan orang itu semakin lapang. Dia berasa ruang biliknya sangat lapang dan luas, walhal keadaan rumahnya adalah sama seperti kali pertama dia mendatangi Abu Nawas.
Apakah sebenarnya yang berlaku tentu anda dapat fikirkan.
Saya tidak pasti apa yang mahu disampaikan oleh Abu Nawas sebenarnya dalam cerita ini. Ia mungkin sama seperti yang saya fahami dan akan saya ceritakan di sini.
Abaikan sisi tidak munasabah cerita ini, tetapi lihatlah mesejnya. Cerita ini tidak logik secara zahirnya. Ya, tidak mungkin orang membela kambing, lembu dan kerbau di dalam biliknya.
Anda yang mengeluh berkenaan kehidupan anda hari ini, saya mahu mengajak anda berfikir.
Misalnya, anda memiliki kereta, tetapi anda masih merungut keadaan anda tidak menggembirakan kerana harga petrol mahal. Tetapi bagaimana dengan kehidupan orang zaman dahulu yang hanya berbasikal ataupun berjalan kaki? Bagaimana mereka menjalani hidup? Adakah mereka tidak berbahagia? Jika kenderaan adalah sumber kebahagiaan, mengapa anda masih merungut dengan kehidupan anda yang berkereta, hanya kerana harga petrol mahal?
Ia sebenarnya berkenaan bagaimana kita melihat, menerima dan menikmati kehidupan ini.
Hari ini ramai orang di mana-mana mengeluh berkenaan kehidupan mereka. Mereka menyalahkan semua kesulitan mereka kepada orang lain. Pemerintah adalah sasaran utama mereka kerana keinginan-keinginan mereka itu tidak dipenuhi. Rata-rata mereka sebenarnya tidak pernah mengalami kehidupan yang susah berbanding dengan kehidupan mereka hari ini. Mereka tidak pernah sebilik dengan “kambing, lembu atau kerbau” sebelum ini.
Jangan melihat kepada mereka yang berkereta, jika anda hanya memiliki motorsikal, tetapi lihatlah kepada mereka yang berbasikal. Ini adalah kata-kata biasa yang dinyatakan, bahawa kita mesti melihat ke bawah, bukan ke atas untuk mensyukuri hidup ini. Ia berkenaan pandangan hidup anda, bagaimana anda melihat kehidupan ini. Sama ada anda seorang yang bersyukur ataupun seorang yang tamak, yang hanya melihat sudut kekurangan diri anda, iaitu apa yang anda tiada.
Anda mengeluh tiada kebebasan di negara ini, walhal hari ini anda lebih bebas bersuara berbanding dahulu. Sepatutnya anda lebih berbahagia kerana hari ini anda bebas mengkritik malah menghina Perdana Menteri, sedangkan pada masa dahulu anda mungkin akan ditangkap jika bertindak begitu.
Jadi, apa masalahnya kita sebenarnya? Kehidupan material semakin baik, tetapi kita semakin banyak mengeluh, merungut dan mempersoalkan.
Dalam skop negara, anda mempersoalkan pemerintah/kerajaan atas kesusahan hidup anda. Anda boleh senaraikan apa yang pemerintah wajib lakukan untuk kebaikan rakyat, antaranya memberikan secara percuma apa yang sepatutnya kepada rakyat. Bantuan kewangan, rumah, pendidikan percuma, petrol murah, tol percuma dan banyak lagi. Anda mungkin berfikir jika kerajaan melakukan semua ini, rakyat tidak akan memberontak lagi.
Tetapi, lupakah anda kepada Muammar Ghadafi? Bukankah senarai perkara ini yang telah dilaksanakannya untuk rakyatnya? Pelbagai bantuan telah diadakan oleh beliau untuk seluruh rakyatnya.
Anda sendiri tahu bukan, apa nasib akhir beliau? Ya, beliau telah dibunuh secara kejam oleh rakyatnya sendiri angkara dihasut oleh kuasa-kuasa asing yang mahu menguasai Libya.
Anda nampak, rakyat bukannya menghargai dan mensyukuri apa yang mereka nikmati?
Anda sendiri tahu bagaimana kini nasib rakyat Libya tanpa perlu saya jelaskan.
Saya boleh senaraikan lagi perbezaan yang ketara pada zaman dahulu berbanding hari ini.
Jika kebahagiaan itu ditandai dengan kemajuan kebendaan, sepatutnya kehidupan hari ini adalah membahagiakan berbanding dahulu.
Mari kita berfikir dan menimbang-nimbang. Anda yang mendakwa kerajaan zalim, adakah anda mahu hidup di zaman sebelum ini yang kononnya lebih baik? Saya fikir, sekalipun kerajaan hari ini benar-benar korup, saya tetap mahu hidup di zaman ini. Apa gunanya hidup di zaman lampau yang kononnya adil, tetapi kehidupannya susah dan rumit? Pedulilah dengan dakwaan kerajaan zalim, asalkan kemajuan secara fizikalnya adalah lebih baik. Zaman dahulu untuk berbelanja makan di restoran-restoran terkenal dan mewah pun susah, hari ini setiap hari rata-rata orang minum dan melepak di premis-premis seperti itu.
Saya katakan ini dari sudut kebahagiaan/keselesaan duniawi. Misalnya di zaman ini perhubungan jalan raya, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, peluang pekerjaan, kebebasan bersuara, dan sebagainya adalah mudah didapati.
Jangan salah faham. Saya tidak katakan kita perlu redha sahaja kepada pemerintah yang menindas rakyatnya, tetapi janganlah menggadai apa yang kita miliki dengan terpedaya pada janji-janji yang tidak pasti.
Satu lagi persoalan, jika perjuangan anda menentang kerajaan yang anda dakwa zalim itu sebenarnya adalah perjuangan untuk memuaskan kehendak anda yang tidak tercapai, percayalah ia tidak akan berakhir. Hakikatnya tidak ada kerajaan baru yang dapat memuaskan semua itu. Ya, kerana nafsu kebendaan memang tidak akan dapat dipuaskan.
Katakanlah pula anda benar-benar tertindas, setidak-tidaknya anda masih lagi hidup bebas tanpa rasa takut. Anda punya pekerjaan. Ia tidak berlaku di negara-negara lain yang bergolak akibat perjuangan rakyatnya yang mahu membebaskan diri daripada penindasan pemerintah.
Jadi benarlah, kekayaan itu sebenarnya dimiliki oleh orang-orang yang bersyukur. Orang yang tamak dan tidak tahu bersyukur tidak akan pernah dapat dipuaskan nafsunya. Hakikatnya kita sedang diperdaya oleh nafsu kita sehingga kita hanya mahu memiliki apa yang kita tidak ada berbanding mensyukuri apa yang kita ada. Apabila kita tidak dapat mencapainya, kita menyalahkan orang lain, kerajaan misalnya.
Apa yang saya takuti adalah anda diperdaya oleh musuh anda agar menentang kerajaan. Anda diperlihatkan dengan kekayaan dan kemewahan pemerintah, sementara pembangkang pula menjanjikan segala yang indah-indah kepada anda. Jika anda mahu renungkan, biarlah pemerintah hidup mewah, asalkan kehidupan anda juga lebih baik. Berbanding dahulu pemerintah tidaklah mewah, tetapi kehidupan anda lebih susah. Saya tidak sekali-kali menyatakan kita perlu meremehkan kezaliman dan penindasan, tetapi ini adalah perbandingan mana yang lebih baik antara dua keadaan.
Jika anda tidak mengambil positif apa yang saya katakan ini, mungkin anda akan mendapat pengajaran sebagaimana yang berlaku kepada rakyat Libya, Mesir, Syria, Iraq, atau Tunisia hari ini.
Akhirnya, Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah {nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Ibrahim (14): 7)
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci