Saturday, 1 April 2017

Jika Ada Kemalangan, Jangan Lakukan 5 Perkara Ini Wahai Rakyat Malaysia

gambar hiasan



Rasanya setiap orang pasti pernah mempunyai pengalaman yang mana kemalangan berlaku sewaktu anda dalam perjalanan ke sesuatu lokasi

Selalunya jika ada kemalangan berlaku, jalan raya pastinya akan menjadi sesak. Tidak kiralah di atas jalan raya biasa mahupun lebuhraya. Perjalanan yang pada awalnya lancar bertukar menjadi perlahan.

Sebenarnya setelah kemalangan berlaku, ada beberapa perkara yang anda tidak patut lakukan.





1. Jangan perlahankan kenderaan semata-mata untuk melihat kemalangan

Inilah yang orang kita selalu lakukan. Apabila ternampak kemalangan berlaku di tepi jalan, mereka akan memperlahankan kenderaan semata-mata untuk melihat kemalangan tersebut. Apabila semua orang memperlahankan kenderaan, trafik pun mula bertambah sesak dan tak mustahil kemalangan lain akan berlaku.

Anda boleh perlahankan kenderaan tetapi bukannya terlampau perlahan sehingga menyebabkan pemandu lain terpaksa turut perlahan. Ini juga terjadi kepada kenderaan yang datang dari arah bertentangan. Contohnya di highway, apabila berlaku kemalangan di arah utara, arah selatan pula yang menjadi sesak.





2. Jangan berhenti jika tiada niat untuk bantu

Jangan berhentikan kenderaan sekiranya anda memang tiada niat nak membantu. Ini akan menyukarkan lagi pasukan penyelamat untuk menjalankan aktiviti menyelamat. Bayangkan keadaan waktu itu sangat cemas dan sibuk, anda pula berada di situ tanpa melakukan apa-apa.

Teruskan perjalanan dan biarkan pasukan menyelamat melakukan kerja mereka.





3. Jangan ambil gambar mangsa kemalangan

Ini paling penting sekali. Jangan sesekali ambil gambar mangsa yang sedang cedera lagi-lagi mangsa yang terkorban dalam kemalangan. Anda tidak sepatutnya melakukan perkara tersebut kerana ini serba sedikit pasti mengganggu emosi mangsa yang cedera.

Tindakan anda mengambil gambar akan menyebabkan orang lain juga turut serta bersama anda mengambil gambar. Tugas-tugas menyelamat juga akan terganggu disebabkan perkara tersebut.





4. Jangan muat naik gambar mangsa di sosial media

Sebagai menghormati mangsa yang cedera, elakkan untuk memuat naik gambar mangsa ke dalam sosial media melainkan gambar tersebut sudah dikaburkan (blurred) terlebih dahulu. Seperti mana yang kita tahu, keadaan mangsa yang cedera waktu itu kelihatan tidak sesuai untuk dipertontonkan kepada orang ramai.

Ini juga mungkin mengganggu emosi ahli keluarga dan saudara-mara yang melihat gambar tersebut. Tambahan lagi, mangsa yang terkorban sewaktu kemalangan. Keadaan mereka sangat tidak sesuai dipertontonkan kerana kecederaan yang berlaku pastinya sangat parah.

Dalam bidang kewartawanan, ini juga dianggap telah melanggar etika.





5. Jangan berada di laluan kecemasan

Jangan sesekali berada di laluan kecemasan bukan saja sewaktu kemalangan berlaku tetapi sepanjang anda berada di lebuhraya. Sekiranya anda sudah tahu kemalangan berlaku di depan sana, elakkan untuk menggunakan laluan kecemasan. Bayangkan disebabkan anda menggunakan laluan tersebut, anda menyebabkan bantuan kecemasan lambat tiba dan mungkin anda akan menyebabkan kehilangan satu nyawa yang sepatutnya sempat diselamatkan.

Sebelum ini, pernah viral satu video yang mana ambulans tersangkut di laluan kecemasan kerana terdapat kenderaan yang menggunakan laluan tersebut sewaktu terjadinya kemalangan.

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci