728x90 AdSpace

  • Latest News

    Tuesday 11 April 2017

    'Jangan Jadi Hamba Duit'




    “Hati sering berubah, seumpama sehelai bulu di tengah padang. Berputar-putar mengikut haluan angin yang datang dan pergi. Sekiranya hati itu baik, maka seluruh anggota badan akan menjadi baik.

    “Oleh itu, umat Islam perlu sentiasa menjaga kebersihan hati dengan memeriksa anggota utama tersebut dari semasa ke semasa bagi mengelak daripada terpaut dengan perkara yang menjauhkan diri daripada Allah,” kata pendakwah muda terkenal dari Greenville, South Carolina, Amerika Syarikat, Yusha Evans.

    Beliau yang sebelum ini pernah menjawat tugas sebagai Menteri Belia Kristian berkata, terdapat empat perkara utama yang dikenal pasti sebagai penyebab iman seseorang itu menjadi lemah.

    Memilih Islam sebagai cara hidup pada Disember 1998, Evans berkata, daripada empat perkara tersebut, pertamanya adalah jauhnya seseorang umat Islam itu daripada al-Quran dan tidak mengamalkan sunah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

    Jika perkara seumpama itu dibiarkan berleluasa, maka tahap keimanan seseorang itu akan menjadi lemah dan terus lemah dari semasa ke semasa kerana tidak berusaha mendekatkan diri kepada Allah dan mengamalkan apa yang diajar oleh Nabi Muhammad.

    “Al-Quran adalah sebahagian daripada cara umat Islam ‘berhubung’ dengan Allah kerana ayat-ayat suci yang terdapat dalam al-Quran adalah kalam Allah, antaranya dengan menunaikan solat,” katanya.

    Selain itu, katanya, sunah rasul adalah penjelasan dan huraian kepada ayat-ayat al-Quran. Sekiranya umat Islam tidak mengenal sunah rasul, maka dia tidak berlaku adil kepada al-Quran.

    “Seperti mana diketahui, akhlak Rasulullah SAW adalah sama seperti al-Quran. Cara hidup Rasulullah adalah yang terbaik dan perlu dijadikan rujukan,” katanya.

    Perkara kedua penyebab iman menjadi lemah adalah kerana berada jauh dari persekitaran yang mampu meningkatkan keimanan, iaitu majlis ilmu. Kejauhan tersebut akan menyebabkan hati mula mencintai untuk melakukan dosa.

    “Adakah kita akan berfikir untuk melakukan dosa apabila berada dalam masjid? Apa yang pasti, pemikiran akan lebih banyak terarah kepada perkara kebaikan, mengingati Allah dan berusaha menjadi insan terbaik.

    “Apabila berada di luar masjid, kita mula berfikir tentang banyak perkara termasuk melakukan maksiat atau mengingkari perintah Allah. Maka di situ iman akan mula bertukar menjadi lemah,” katanya.

    Penyebab ketiga iman menjadi lemah apabila seseorang itu menjauhkan diri daripada kumpulan yang berusaha memperingatkan tentang kebesaran Allah SWT.

    “Periksa dan ujilah sahabat anda. Sekiranya dia tidak mampu membawa kita lebih dekat kepada Allah SWT, maka berpisahlah daripadanya demi menyelamatkan diri daripada terjerumus ke jalan yang dimurkai-Nya,” katanya.

    Perkara keempat menyebabkan iman seseorang itu menjadi lemah dan alpa kepada perintah Allah adalah tidak memberatkan hari akhirat.

    Evans berkata, ia bukan bermakna umat Islam harus melupakan hal keduniaan sepenuhnya, sebaliknya mengimbangi hal keduniaan dan akhirat dengan baik.

    Tegasnya, umat Islam tidak boleh sama sekali menjadi ‘hamba’ kepada duit atau harta kerana perkara tersebut boleh melekakan umat Islam apabila menumpukan kepada kekayaan dunia.

    “Sebaliknya menjadikan pekerjaan sebagai ibadah dan bukan mendapat hasil yang lain. Kita akan hanya memperoleh apa yang kita niatkan dalam pekerjaan tersebut. Jika bekerja untuk makan, maka hasil makanan yang akan diperoleh dan bukan pembalasan pahala daripada Allah,” katanya.

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: 'Jangan Jadi Hamba Duit' Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top