Sunday, 30 April 2017

FAS Minta Pulangkan Hak Mereka




PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) mahu Kerajaan Selangor mengembalikan semula tanah bangunan Akademi bola Sepak di Puncak Alam yang sepatutnya menjadi milik badan induk bola sepak negeri itu.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal mendakwa, akademi yang ditubuhkan di atas tanah seluas lima ekar itu sepatutnya diserahkan kepada FAS selepas ia siap dibina tahun lalu.

“Kegagalan menyerahkan akademi itu kepada FAS menyebabkan pasukan Selangor tidak mempunyai padang latihan yang khusus selain perlu terus menumpang di padang Ibu Pejabat Kerajaan Negeri Selangor (SUK).

“Selama 81 tahun pasukan Selangor ditubuhkan, masih belum ada akademi dan padang rasmi dan jika ada pun telah di ambil daripada kami. Selangor juga sudah tentu mahu jadi sehebat Johor Darul Ta’zim tetapi dihalang dengan perkara sebegini,” katanya.

Mengulas lanjut, Subahan turut menyifatkan pertikaian atau masalah yang timbul antara kerajaan negeri dan FAS sejak akhir tahun lalu menjadikan penyerahan akademi itu semakin sukar.

“Ikut sejarahnya, kami ada padang di belakang pejabat FAS di Kelana Jaya dan padang tersebut diletakkan di bawah Yayasan FAS ketika pemerintahan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

“Namun, ketika pemerintahan negeri berubah dan padang kami di belakang pejabat FAS itu di gunakan untuk pembangunan bangunan dan rumah kedai.

“Tetapi, menteri besar ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah berjuang untuk kami dan telah berjanji memberikan sebuah akademi sebagai ‘return’. Tetapi, Tan Sri Khalid kata akademi itu dijaga oleh Kerajaan Negeri kerana melihatkan FAS perlu berbelanja untuk menguruskan gaji pemain. Bagi saya itu adil,” katanya.  

Bagaimanapun, dakwanya segalanya berubah apabila Menteri besar ketika ini yang juga bekas Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil alih pucuk kepimpinan.

Dakwanya, akademi tersebut yang sebelum ini mempunyai lambang FAS di pintu masuk utama bangunan juga sudah dicabut dan menyifatkan ia sebagai satu rampasan hak oleh Azmin.

“Kami sudah menggunakan saluran betul iaitu hantar surat kepada Kerajaan Negeri minta kembalikan semula akademi itu kepada kami, tetapi mereka membalas dan menolak permohonan itu.

“Saya rasa, itu satu tindakan kejam. Sudahlah tak bagi pembiayaan untuk pasukan musim ini, aset kami juga di rampas,” katanya.

Justeru, pihaknya akan memulakan tindakan undang-undang kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci