Demi kasih terhadap anak. Seorang bapa sanggup berhenti kerja sebagai pemandu ‘GrabCar’ di Kuala Lumpur, hanya untuk menjaga anak sulungnya yang bergantung sepenuhnya bantuan oksigen untuk bernafas dan hanya mampu minum susu melalui saluran tiub di Kampung Lubuk Pukol, Banggu di sini.
Mohd Izzat Mat Suri, 29, berkata, keadaan anaknya Nursyifa Imanie,1 tahun 10 bulan, agak lemah dan disahkan menghadapi masalah paru-paru kronik ketika berusia empat bulan.
Akibat masalah itu, Nursyifa tidak mampu bernafas dengan baik dan terpaksa dirujuk ke hospital setiap kali berdepan dengan situasi berkenaan.
“Hospital bagaikan rumah kedua kami. Ini memandangkan anak saya sering sesak nafas dan tubuhnya bertukar kebiruan jika tidak cukup oksigen.
“Saya perlu berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan dan apabila keadaannya terkawal barulah saya bawa pulang ke rumah dan Nursyifa akan dipakaikan tiub oksigen untuk bernafas dengan mesin khas yang didermakan kepadanya hasil bantuan pihak hospital,” katanya.
Mohd Izzat berkata, Nursyifa perlu dipantau 24 jam bagi mengelakkan mesin oksigen terhenti dan tiub susu melimpah yang boleh menyebabkan dia lemas.
“Buat masa ini, isteri saya, Siti Syaikhiah, yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah swasta terpaksa tinggal di Gombak, Selangor ekoran masih belum dapat berpindah ke Kelantan. Isteri juga perlu menjaga anak bongsu, Nur Safwa Inara yang berusia 3 bulan,” katanya.
Mohd Izzat berkata, setakat ini kes Nursyifa telah dirujuk kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan telah terima kad Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Cuma setakat ini saya masih berusaha mendapatkan bantuan katil dan tilam khas, memandangkan tulang belakang Nursyifa semakin membengkok dan menyukarkan untuk dia bergerak jika tidur di atas tilam biasa.
“Saya belum mampu membelinya kerana kos tilam berkenaan agak mahal,” katanya.
Sementara itu dalam kunjungan Info Semasa Kubang Kerian (ISKK) yang diketuai Pengerusinya, Mohd Afandi Mohamad berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan sumbangan kewangan dan bantuan tilam khas.
“Kos perubatan kanak-kanak ini juga amat tinggi dan perlukan bantuan kewangan memandangkan bapanya terpaksa berhenti kerja dan hanya ibunya yang bekerja.
“Kita akan bawa perkara ini ke peringkat seterusnya dan diharap ada pihak yang sudi membantu Nursyifa,” katanya.
Mereka yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Bank, bapa Nursyifa, Mohd Izzat Mat Suri 7621213294 atau akaun CIMB Bank Siti Syaikhiah Azman 7611552515 bagi meringankan beban keluarga kanak-kanak itu.
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci