Tuesday, 25 April 2017

Betulkah Tanda Badan Kita Masuk Angin Apabila Badan Kita Diurut Terus Sendawa?




By Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

Angin adalah istilah bahasa melayu yang terlalu luas definisinya. Antara penggunaan istilah ini adalah untuk memerihal masalah berikut: sengal otot, lenguh sendi, kembung perut, dan sebagainya. Tak pasti menagapa semuanya dinamakan angin.

Jika angin yang dimaksudkan merujuk kepada masalah ketegangan otot selepas melakukan kerja berat, penukaran posisi mendadak atau silap bantal/tidur itu sebenarnya adalah myofascial knot.

Myofascial knot adalah kontraksi serat-serat otot berikutan radang yang lazimnya berlaku selepas otot tercedera akibat trauma seperti terlebih regang, atau koyak. Ia juga boleh berlaku akibat keletihan otot. Apabila ia berlaku, biasanya kita rasa seperti otot itu ketat, tegang dan sengal semasa melakukan pergerakan.

Berurut boleh melegakan myofascial knot jika tukang urut tahu di mana perlu diurut. Dalam perubatan moden, urutan dibuat oleh jurupulih fisioterapi terlatih menggunakan teknik urutan myofascial release. Teknik menggunakan anggota badan seperti jari dan siku atau penggolek untuk mengaplikasikan tekanan pada myofascial knot tersebut.

Myofascial knot juga boleh dilegakan dengan rawatan dry needling — penggunaan jarum halus yang dicucuk untuk memberi ransangan pada fascia yang terlibat. Teknik ini hampir serupa dengan teknik akupuntur tetapi tidak melibatkan konsep aliran chi dalam badan. Dry needling juga dikenali sebagai akupuntur barat.

Selain itu, modaliti fizikal juga boleh membantu. Contoh modaliti fizikal adalah seperti stimulasi elektrik dan penggunaan therapeutic ultrasound.

Berbalik kepada soalan. Apabila kita berasa sakit-sakit badan, sengal-sengal otot, kita pun pergi berurut. Semasa berurut, kita sendawa dan susulan itu kesakitan itu menjadi semakin lega. Oleh kerana itu, masyarakat kita panggil simptom sakit badan itu sebagai angin.

Apa yang menarikya, fenomena sendawa semasa berurut ini adalah fenomena yang hanya mahsyur di dalam batasan geografi dan kebudayaan Asia Tenggara. Jika anda ke negara Eropah misalnya, chiropractor (tukang urut bertauliah) di sana akan mengatakan ia fenomena langka buat mereka. Oleh itu, ia mungkin lebih kepada budaya dan amalan setempat.

Pelbagai teori telah diketengahkan untuk menjelaskan fenomena ini.

Teori respon “rehat dan hadam” membawa hipotesis bahawa urutan meransang sistem saraf parasimpatetik. Parasimpatetik bertanggungjawab atas pengaktifan penghasilan air liur dan air mata, penghadaman, serta perkumuhan kencing dan najis. Pengaktifan sistem penghadaman dan perkumuhan secara tidak langsung boleh menyebabkan sendawa itu berlaku.

Teori aerophagia pula mengetengahkan konsep penelanan udara. Semasa tekanan diberi oleh pengurut ke atas anggota tubuh pesakit, ia mendatangkan rasa sakit. Respon normal bagi menahan sakit adalah menarik nafas panjang kemudian menahan nafas itu. Semasa proses ini berlaku, ada kebarangkalian pesakit menelan udara nafas yang ditahan itu tanpa disedari. Apabila sudah cukup banyak udara yang ditelan ke dalam perut, ia akan ditolak keluar oleh otot perut dan terhasillah sendawa.

Namun begitu, semua teori-teori ini adalah penjelasan teoritikal dan masih memerlukan kajian yang lebih menyeluruh untuk membuktikan kebenarannya. Apa yang pasti, sendawa ketika berurut itu bukanlah akibat tubuh dipenuhi angin.

Melainkan angin yang dimaksudkan itu merujuk kepada kembung perut akibat masalah penghadaman.

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci