728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday, 20 April 2017

    Belanja Ikut Kemampuan Poket Sendiri




    Saban tahun soal persiapan persekolahan anak-anak menjadi keutamaan ibu bapa, meskipun berdepan dengan kenaikan kos sara hidup.

    Setelah setahun pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak April 2015, barang kelengkapan persekolahan juga turut menerima kesannya.

    Rata-rata ibu bapa yang ditemui menitikberatkan soal harga agar tidak melebihi bajet yang diperuntukkan.

    Malah, ada kalangan ibu bapa yang melakukan ‘survey’ di beberapa kedai mahupun pasar raya sebelum membeli keperluan persekolahan untuk anak-anak mereka.

    Pada mereka, biarlah perbelanjaan mengikut poket dan kemampuan masing-masing, lebih-lebih lagi mempunyai ramai anak yang bersekolah.

    Bagi Zuraidah Piai, 36, perbelanjaan menghadapi sesi persekolahan tahun hadapan  semakin meningkat memandangkan tiga anaknya bersekolah.

    “Saya menyediakan peruntukan dua pasang baju setiap seorang. Sebelum itu, saya survey dulu pasar raya yang menawarkan harga berpatutan sebelum membeli,” katanya.

    Menurutnya, ada kelengkapan persekolahan yang boleh diguna semula bagi menggelakkan pembaziran.

    “Ada keperluan yang masih elok dan boleh digunakan semula, jadi tidak perlu membazir. Cara ini boleh mendidik anak-anak supaya berjimat,” katanya.

    Bapa kepada empat anak, Rosli Abdullah, 42, pula berkata, menyediakan keperluan persekolahan anak-anak bergantung kepada ekonomi ibu bapa.

    “Jika ibu bapa mampu, tiada salahnya. Jika tidak, lebih baik bersederhana,” katanya.

    Mempunyai tiga anak yang bersekolah di tahun 1, tingkatan 1 dan 5, Rosli menggunakan wang simpanannya untuk menyediakan semua kelengkapan.

    “Dari awal lagi saya menabung untuk keperluan anak-anak,” katanya yang bekerja sebagai penjaga stor.

    Sementara itu, bagi Ashraf Wajdi Ramli, 40, soal keselesaan dititikberatkan dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

    “Biar alah beli menang memakai. Soal beli yang berjenama atau tidak, itu bergantung kepada kemampuan,” katanya.

    Bapa kepada dua anak ini menyediakan lima pasang setiap seorang bagi keperluan sekolah kebangsaan dan agama.

    “Ada keperluan lain yang masih elok, masih boleh digunakan lagi. Jadi tidak perlu beli yang baru,” katanya.

    Bagi suri rumah, Umi Kalthum Teh Ismail, 32 pula, menyediakan sendiri baju anaknya lebih menjimatkan daripada membeli yang telah siap di pasar raya.

    Bagaimanapun katanya, harga kain juga semakin meningkat.

    “Anak saya dua orang yang bersekolah pada tahun ini, seorang darjah empat dan seorang lagi pra sekolah. Saya hanya beli kain dan dapat sediakan tiga pasang baju,” katanya.

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Belanja Ikut Kemampuan Poket Sendiri Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top