Friday, 31 March 2017
'Okey Jer Jadi Ibu Muda,' - Amyra Rosli
Selamat diijabkabulkan hujung tahun lalu, pelakon Amyra Rosli tidak berasa terlalu cepat dikurniakan cahaya mata.
Amyra, 26, berkata di pertengahan usia 20-an adalah waktu yang sesuai baginya menimang cahaya mata bersama suami tercinta Amar Baharin.
“Pada usia 26 tahun tidaklah terlalu muda. Amyra pun sudah berumah tangga. Mengapa perlu merancang untuk tidak mempunyai anak?
“Jika Allah memberi rezeki, Amyra terima, tiada masalah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.
Pasangan bahagia ini diijabkabulkan pada 11 November lalu di sebuah hotel di sini dengan Amyra menerima mas kahwin RM1,111 dan wang hantaran RM50,000.
Pelakon drama Tersuka Tanpa Sengaja berkata mendapat cahaya mata awal bukan penghalang kebahagiaan rumah tangga yang baru dibina.
Katanya, cahaya mata memang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang berumah tangga maka tiada alasan terhalang untuk menghabiskan waktu berdua.
“Kalau Amyra ada perancangan yang begitu, Amyra tidak akan berfikir untuk berkahwin dahulu.
“Bila dah berkahwin, inilah langkah seterusnya yang harus Amyra tempuh dengan Amar.
“Dapat anak awal, Amyra akan dapat lebih pengalaman dan lebih matang,” katanya.
Amyra berkata Amar sememangnya teruja apabila diberitahu bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.
Katanya, kelahiran bayi sulung itu nanti akan memberi kebahagiaan kepada keluarga di kedua-dua belah pihak.
“Amar jenis berkeluarga. Dia juga ada kakak yang sudah enam tahun kahwin tetapi belum ada anak. Ini cucu pertama kedua-dua belah keluarga.
“Kami pun sebenarnya tidak mahu terlalu teruja bercerita tetapi kami berkongsi dan pada masa sama menjaga tidak mahu terlebih.
“Asalkan peminat tahu, itu sudah memadai,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci