728x90 AdSpace

  • Latest News

    Monday 17 July 2017

    Wujudkan Subjek Perlembagaan, Pinta Perkasa





    Pertubuhan Pribumi Per­kasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan mata pelajaran asas mengenai Perlembagaan diwujudkan di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menerapkan pemahaman yang lebih tinggi dalam kalangan golongan muda mengenai sejarah negara.

    Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, subjek itu pen­ting untuk menjaga hak-hak istimewa orang Melayu yang terkandung dalam Perlembagaan dan perkara-perkara yang telah dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.

    Menurutnya, di sekolah, pendidikan mengenai Perlembagaan boleh diserapkan ke dalam mata pelajaran Sejarah manakala di IPT diwajibkan kursus Perlembagaan kepada pelajar.

    “Selain golongan muda di sekolah dan IPT, taklimat secara berkala mengenai Perlembagaan juga harus diberikan kepada golongan profesional, kakita­ngan kerajaan serta kelompok masyarakat.

    “Perkara ini secara tidak langsung dapat mengelakkan pertikaian demi pertikaian oleh sesetengah pihak tentang hak keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu dan agama Islam dalam Perlembagaan. Mereka ini buat begitu kerana tidak faham,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Melayu Perkasa Nege­ri Perak di Seri Iskandar dekat sini hari ini.

    Yang turut hadir Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Sirajuddin Salleh dan Yang Dipertua Perkasa negeri, Md. Yusof Alang Ahmad.

    Tambah Ibrahim, pengenalan mata pelajaran asas Perlembagaan merupakan penentu kelangsungan negara pada masa depan terutama dalam mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan rakyat.

    Menurutnya, Biro Tatanegara (BTN) boleh menjadi satu organisasi yang digerakkan dan bertanggungjawab dalam memastikan kefahaman berkaitan Perlembagaan dikuasai dan diperkukuhkan dalam setiap rakyat.

    Ibrahim mengakui amat kecewa apabila terdapat segelintir pemimpin yang beranggapan tiada kepentingan untuk memahami hak keistimewaan Melayu dan Islam seperti mana termaktub dalam Perlembagaan.

    “Jangan kata hak istimewa orang Melayu dan agama Islam tak ada kepentingan, kalau tiada kepentingan atau sebarang makna mengapa sehingga sekarang masih diletakkan di peringkat tertinggi dalam Perlembagaan,” katanya.

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Wujudkan Subjek Perlembagaan, Pinta Perkasa Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top