Thursday, 31 May 2018

Tahukah Anda PM4 Pernah Lancar Dana Untuk Malaysia, Patutlah PM7 Boleh Tiru





PETIKAN DARI UTUSAN MALAYSIA 

Inisiatif ke arah itu sekali lagi diperkukuhkan dengan penubuhan Dana Untuk Malaysia oleh Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) yang bertujuan memberi peluang kepada rakyat membantu kerajaan mengatasi krisis ekonomi yang sedang melanda negara.

Ketua Pergerakan Pemuda BN, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, tabung yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Dataran Merdeka semalam akan dibuka sehingga 15 Julai ini.

Pada hari pelancarannya semalam, sejumlah RM3 juta berjaya dikutip melalui sumbangan pelbagai pihak termasuk dari swasta dan parti politik.

Kutipan dana itu yang diteruskan sehingga ke peringkat negeri kemudiannya akan disalurkan kepada Dana Khas Negara.

* DR. MAHATHIR menyaksikan pemberian sumbangan RM1 juta kepada Dana Untuk Malaysia daripada Ketua Pegawai Eksekutif Bandaraya Development Sdn. Bhd., Lim Kim Hong (kanan sekali). Cek replika itu disampaikan kepada Ahmad Zahid Hamidi di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. - Gambar HANAFI KHAMIS.



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka%5FHadapan&pg=fp_02.htm#ixzz5H2yvgJox 
© Utusan Melayu (M) Bhd

Siaran World Cup RTM1 Boleh Mendapat Pulangan RM 250 Juta?






1. Menurut fakta rasmi dari laporan tahunan dikeluarkan oleh website rasmi RTM pada tahun 2014, TV1 hanya memperoleh pendapatan RM 15.6 juta sahaja sepanjang tahun 2014.

Dimana sebenarnya pada tahun yang sama juga RTM menyiarkan 24 perlawanan siaran langsung dan 11 perlawanan siaran tertunda FIFA WORLD CUP RIO 2014.

Total pendapatan (modal+untung) RTM pada tahun 2014 hanyalah RM 52 juta (Tv1 +Tv2).

Ini belum kita tolak kos dan untung yang datang dari rancangan-rancangan lain selain World Cup Rio 2014.

Agak-agak kalau tolak semua modal dan untung dari rancangan-rancangan selain world cup 2014 berapa lah agaknya untung bersih dari siaran World Cup 2014? Mungkin tak sampai RM 25 juta pun.

Kalau RM 25 juta pun tak sampai, inikan pula menurut perkiraan seorang individu yang entah siapa boleh menjana keuntungan RM 250 juta? biar betul

2. Akhbar Utusan bertarikh 25 Jun 2014, Menteri DS Shabery Cheek menyatakan RTM telah membelanjakan RM 20 juta untuk mendapat hak penyiaran World Cup 2014.

Jadi sekarang para pembaca rasa untung ke rugi membelanjakan RM 20 juta untuk pendapatan  RTM pada tahun 2014 di atas? pendapatan itu modal + untung ya. Tolak modal untung entah berapa sahaja.

3. Astro pula pada tahun 2014, mencatat peningkatan keuntungan bersih sebanyak RM 129 juta berbanding tahun 2013, meningkat pendapatan 11 peratus dari tahun 2013. Salah satunya disebabkan World Cup Rio 2014.

Astro pun boleh hanya dapat kurang RM 129 juta, ini mamat mana pula kata RTM boleh dapat RM 250 juta?

4. Menurut sumber dari portal rasmi Kementerian Komunikasi dan Multimedia, pada tahun 2011 sahaja kos operasi RTM menelan belanja sebanyak  RM 310.7 juta. Kalau benar sekalipun untung RM 250 juta, penyiaran World Cup 2018 tetap tidak mendatangkan keuntungan kepada RTM dan negara.

Tularkan fakta ini.
.

Sumber rujukan dari RTM, New Strait Times,The Star, & Utusan:

1. https://www.rtm.gov.my/penerbitan-sp.../2195-laporan-tahunan

2. https://www.nst.com.my/news/2015/09/astro-scores-hat-trick-2014-world-cup

3. https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/05/30/two-types-of-broadcasting-rights-pay-tv-licence-held-by-astro-to-telecast-all-64-world-cup-matches/

4. http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140625/su_01/Tiada-lagi-siaran-percuma-Piala-Dunia---Shabery

5. http://kkmm.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=3394:ucapan-pemukiman-rtm&catid=174&lang=ms

Kerajaan Perlu Dedah Jumlah Pendapatan Negara







Selepas masuk ke pejabat di Perdana Putra, Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad telah membuat pengumuman bahawa jumlah hutang negara kini telah mencecah RM1 trillion.

Selepas menerima perlian pedas dari bekas Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak dan bursa saham merudum jatuh, barulah pihak Kerajaan PH memperbaiki kenyataan rasmi mereka sehari kemudian. Kali ini mereka terpaksa yang hutang sebenar negara hanyalah berjumlah RM686 bilion sahaja.

Boleh dikatakan setiap hari mereka memberitahu rakyat tentang jumlah hutang negara yang patut ditanggung. Walaupun sudah tubuh ‘Council Of Elders’ yang membariskan pakar-pakar ternama, jalan penyelesaian mereka hanyalah mengutip derma daripada poket rakyat untuk membayar hutang negara.



Dalam kesibukan Kerajaan PH menceritakan tentang hutang negara itu, tidakkah kita terfikir kenapa pula mereka tidak menyebut tentang jumlah pendapatan dan aset negara? Bukankah dari hukum ekonomi, kedua-dua perkara berkenaan harus saling bergandingan?

Tidak dapat dinafikan, kerajaan BN pimpinan Najib telah berjaya menambah jumlah pendapatan dan kekayaan negara kita. Contohnya melalui Program Transformasi Nasional (NTP), ia terus membina daya tahan ekonomi Malaysia melalui usaha mempelbagaikan ekonomi yang diterajui 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), demikian menurut Laporan Tahunan NTP 2017.

Laporan itu menjelaskan pada tahun lalu hasil negara daripada NKEA mewakili 75 peratus Pendapatan Negara Kasar (PNK) yang berjumlah RM1.316 trilion pada harga semasa.

Malah, sehingga Mac 2018 lalu, hutang Malaysia semakin menguncup dengan kedudukan 50.8 peratus berbanding 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan kerajaan.



Kenapa semua ini tidak langsung diceritakan oleh Kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir sekarang ini? Adakah Dr Mahathir, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedang berusaha untuk ‘membalas dendam’ terhadap Najib dengan menggunakan modal hutang negara yang sedang terbeban?

Untuk berlaku adil dan telus, pihak Kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir wajib membentangkan jumlah hasil pendapatan dan kekayaan negara serta perbandingannya dengan jumlah hutang negara kita. Bukan hanya menjamu rakyat dengan angka-angka hutang negara yang ‘diubah’ pada setiap hari melalui sidang-sidang media. - KAKI PALU





1MDB : 17 Perkara Dari Lokman Adam Yang Harus Kita Tahu





SIARAN AKHBAR OLEH DATO LOKMAN NOOR BIN ADAM BEKAS PENGARAH STRATEGI DAN KOMUNIKASI KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA 
30hb Mei, 2018


1. Saya merujuk kepada kenyataan akhbar bertarikh 27 Mei 2018 oleh Menteri Kewangan. Dalam usahanya untuk menyalahkan Dato 'Sri Najib berkenaan 1MDB, dia sekali lagi hanya menceritakan hanya separuh dari apa yang telah berlaku.

2. Pada Mac 2015, lebih kurang sebulan selepas beberapa dakwaan dibuat berkaitan dengan transaksi 1MDB yang lepas, Kabinet, di bawah pimpinan Dato’ Sri Najib, meminta Jabatan Audit Negara untuk menjalankan audit khas keatas 1MDB dan membentangkan hasil siasatan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

3. Pada Julai 2015, PDRM menjalankan serbuan di pejabat 1MDB dan merampas sepenuhnya semua dokumen syarikat. Siasatan PDRM masih berterusan sehingga hari ini.

4. Ketua Audit Negara menyenaraikan pelbagai isu mengenai 1MDB kepada PAC, contohnya, tadbir urus kurang memuaskan, penyimpanan rekod yang lemah, tiada pengesahan pelaburan dana, dan lain-lain.

5. Pada bulan April 2016, PAC mengeluarkan laporan, antara lain, merangkumi penggunaan hutang yang berlebihan oleh 1MDB dan pelbagai salah-laku oleh pengurusan 1MDB terdahulu.

6. PDRM telah diminta untuk menyiasat lanjut Datuk Shahrol Halmi dan pengurusan 1MDB terdahulu. Siasatan PDRM masih berterusan.

7. Jelas sekali bahawa kerajaan terdahulu, di bawah Dato’ Sri Najib, sudah pun memulakan siasatan terhadap 1MDB, yang masih berterusan sehingga hari ini.

8. Pada masa yang sama, walaupun penyiasatan oleh PDRM berjalan, masih terdapat keperluan untuk membayar hutang dan membangunkan projek-projek utama seperti TRX dan penempatan semula Pengkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) di Sg Besi.

9. Walaupun Menteri Kewangan menyenaraikan beberapa transaksi 1MDB-MOF dalam kenyataannya, beliau tidak menerangkan asas atau alasan di sebalik keputusan yang dibuat oleh MOF.

10. Contohnya, Kementerian Kewangan tidak menjelaskan, dari perspektif perundangan dan perakaunan, mengapa 1MDB memindahkan aset hartanah utama kepada MOF pada harga nominal, sementara hutang tetap pada kunci kira-kira 1MDB?

11. Satu-satunya jawapan logik, sudah tentu, adalah MOF telah bersetuju untuk mengambil alih liabiliti tersebut, yang memberikan kestabilan, dan memberikan Kepaa jaminan kepada 1MDB untuk membayar hutangnya.

12. Projek TRX telahpun dilaksanakan, dengan komitmen pelabur tempatan dan antarabangsa, pada masa ia dipindahkan ke MOF pada 31 Mac 2017.

13. MOF memulakan pembayaran liabiliti 1MDB hanya pada April 2017, iaitu, selepas pemindahan aset berlaku.

14. Projek Bandar Malaysia juga dipindahkan ke MOF pada 31 Mac 2017. Jumlah deposit sebanyak RM 720 juta yang dibayar oleh bekas rakan usahasama project itu, secara keseluruhan, telah digunakan untuk membayar kos projek penempatan semula PUKL Sg Besi, supaya mempercepatkan usaha mengosongkan tanah untuk pembangunan.

15. Oleh itu, apabila MOF, sebagai pemilik projek baru, membuat keputusan pada awal Mei 2017, untuk menamatkan perjanjian usahasama itu, mengambil tindakan tepat untuk membayar balik deposit itu, kerana ia mendapat manfaat daripada kerja yang dibayar oleh bekas rakan usahasama.

16. Seperti yang dapat dilihat dari contoh diatas, terdapat lebih banyak lagi maklumat mengenai transaksi 1MDB-MOF, berbanding pandangan berat sebelah oleh Menteri Kewangan.

17. Oleh itu, saya bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato’ Sri Najib semalam. Sebaiknya siasatan ke atas 1MDB diteruskan mengikut proses yang sewajarnya, dan tidak tertakluk kepada perbicaraan melalui media.







Sebahagian Besar Ahli MIC Tidak Mengundi BN Pada PRU14 – Dr Subra






KUALA LUMPUR, 30 Mei: Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang tersungkur di Parlimen Segamat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas mendedahkan sebahagian daripada ahli MIC sendiri tidak mengundi Barisan Nasional (BN) kali ini dalam satu majlis perjumpaan dengan pemimpin MIC Kedah baru-baru ini.

Menurut laporan akhbar harian Tamil Makkal Osai edisi semalam, Dr Subramaniam berkata setelah 60 tahun BN kalah buat pertama kali kerana kempen di media sosial yang terlalu hebat dan kuat yang digerakkan oleh parti pembangkang khususnya melalui rangkaian ‘WhatsApp’ dan telefon.

“Inilah puncanya BN kalah, apa yang BN tidak buat ?  Datuk Seri Najib Tun Razak telah banyak membantu masyarakat India di negara ini, saya juga melalui MIC telah meberikan pertolongan lebih berganda. Hampir sebahagian ahli MIC tidak mengundi untuk BN Kali ini,” beliau dipetik seperti berkata oleh akhbar Tamil itu.

Dr Subramaniam juga dipetik berkata, hampir 72 tahun MIC telah  menjadi parti tunggal mewakili masyarakat India di Malaysia, kini untuk tempoh lima tahun akan datang  akan menjadi parti pembangkang di mana beliau menggesa semua ahli parti itu bertindak menunjukkan kekuatan mereka dalam menjamin harapan masyarakat India di negara ini. Beliau juga menyarankan semua ahli MIC bergiat aktif dalam kempen media sosial untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

Baru-baru ini Dr Subramaniam juga dipetik berkata beliau akan menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada anggotanya untuk mengubah cara berpolitik selaras dengan peranan BN selaku pembangkang ketika ini.

Beliau berkata perubahan itu perlu agar MIC dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang efektif selari dengan lanskap politik semasa bagi memastikan parti itu terus relevan dan diterima masyarakat India di negara ini.

“MIC kini berdepan cabaran politik yang amat besar yang menuntut perubahan dilakukan untuk membolehkan kita terus diterima,” kata bekas Menteri Kesihatan itu ketika ditemui selepas majlis serah terima tugas kepada Menteri Kesihatan baharu Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Subramaniam tewas dalam usahanya mempertahankan kerusi Parlimen Segamat pada PRU14 dan telah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Oktober depan.

Beliau membuat keputusan tersebut rentetan kekalahan teruk parti komponen BN itu dalam PRU14 yang menyaksikan parti kaum India itu hanya memenangi dua daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandingi.

Inikah Yang Dinamakan Malaysia Baru?






Tidak dinafikan, ramai dikalangan para penyokong Pakatan Harapan yang memberi undi kepada pakatan ini begitu mengharapkan akan munculnya era Malaysia Baru yang kerap kali mereka laungkan sejak 4 tahun yang lalu. Pastinya, harapan sebergini bukan satu harapan yang boleh dipermainkan begitu sahaja.

Antara janji yang termetrai dalam istilah Malaysia Baru ini adalah,penghapusan sepenuhnya GST, memansuhkan hutang warga Felda, pemansuhan bayaran balik PTPTN, penurunan harga runcit petrol dan diesel, bayaran KWSP kepada suri rumah dan paling utama adalah menjaga kebajikan dan hak-hak Melayu dan Bumiputera yang selama ini kekal terpeliharan di bawah kerajaan BN.

Memasuki hari yang ke 20 sejak mereka berjaya membentuk kerajaan setelah memenangi PRU 14 yang lalu, boleh dikatakan, tidak ada apa yang mereka lakukan sepanjang tempoh berkenaan. Jika ada sekalipun hanyalah "tembakan" rambang terhadap isu 1MDB, derma RM 2.6 bilion dan deretan sidang media yang diadakan oleh kerajaan hari ini.

Isu membabitkan hak-hak Melayu dan Bumiputera, walaupun secara dasarnya, tidak ada yang berubah namun disebalik ketenangan berkenaan, agensi seperti JAKIM, UiTM, Felda dan beberapa entiti yang selama hari ini adalah hak milik Melayu dan Bumiputera sudah mula diancam bahaya.

Mungkin, atas istilah Malaysia Baru, bagi Pakatan Harapan, kesemuanya mesti baru. Ini termasuklah beberapa permintaan dari individu mahupun persatuan yang turut ingin memecah monopoli yang selama ini menjadi hak milik Melayu dan Bumiputera, turut ingin disertai oleh pihak-pihak yang selama ini mengintai peluang berkenaan sejak sekian lama.

Siti Kassim sebagai contoh memberi cadangan supaya institusi agama seperti JAKIM di mansuhkan kerana mewujudkan jurang yang ketara antara agama dan kaum. Pendapatnya ini turut di sokong oleh sebahagian besar penyokong Pakatan Harapan dari kaum Cinayang turut bersependapat dengan Siti Kassim.

Bagi kelompok LGBT pula, selain dari mempunyai pendapat yang sama dengan Siti Kassim, mereka juga menuntut kerajaan mengiktiraf pergerakan mereka tanpa ada sebarang halangan. Sekiranya, kerajaan memberi keizinan dan pengiktirafan berkenaan, bukan satu perkara yang mengejutkan jika kita boleh melihat lelaki sama lelaki dan perempuan sama perempuan berkucupan di khalayak ramai.

Terbaru, Hindraf dilaporkan oleh kebanyakan media semalam, menuntut Felda dan UiTM dibuka kepada semua kaum terutamanya kaum India. Tidak dapat dipastikan samada Hindraf sengaja menangguk di air yang keruh ataupun sebaliknya, namun adalah amat dipercayai bahawa Hindraf cukup sedar permintaan mereka itu adalah satu permintaan yang cukup sensitif buat kaum Melayu.

Secara amnya, UiTM ini hanya dibuka kepada kaum Melayu dan Bumiputera bagi melanjutkan pelajaran mereka keperingkat IPTA. Sejak ditubuhkan sehingga hari ini, tidak ada mana-mana pihak pun berani memberi cadangan sedemikian secara terbuka. Cuma sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan, sudah ada pihak yang sudah naik tocang menuntut hak milik kaum Melayu dan Bumiputera ini.

Bagi Felda pula, secara amnya, ianya merupakan tanah terokaan penempatan semula penduduk luar bandar yang kesemuanya adalah dari kaum Melayu dan Bumiputera. Ini adalah "anak emas" kerajaan BN yang mana kerajaan terdahulu begitu memberi perhatian terhadap keperluan setiap seorang warganya.

Malah, sudah terkandung di dalam perjanjian asal, seseorang peneroka itu dilarang sama sekali dari menjual tanah mereka kepada pihak luar. Jika ada peneroka yang mahu membuat pinjaman, tanah mereka menjadi cagaran buat pengurusan Felda untuk memberikan satu-satu pinjaman. Inilah yang banyak menyekat generasi kedua dan ketiga Felda dari menjual tanah mereka kepada pihak luar.

Namun, menerusi manifesto Pakatan Harapan yang mahu memansuhkan kesemua hutang warga Felda yang kesemuanya dibuat atas kerelaan sendiri, ianya dilihat seperti satu peluang buat orang luar terutamanya mereka yang bukan Melayu dan Bumiputera untuk merebut tanah-tanah ini yang akan menjadi milik mereka seandainya segala hutang-hutang ini dilunaskan oleh pihak luar.

Mungkin inilah yang menedorong Hindraf melakukan satu cubaan yang dianggap menimbulkan kemarahan ramai kaum Melayu. Melihat begitu banyak rentetan yang berlaku sepanjang 20 hari ini, timbul persoalan, adakah ini Malaysia Baru yang mereka canangkan sebagai yang terbaik bagi menggantikan BN?

Jika kita masih mempunyai akal yang waras, mari kita renungkan sejenak satu fakta ini. Seandainya UiTM, Felda, JAKIM dan pelbagai agensi berteraskan Melayu dan Bumiputera ini diambil alih atau setidak-tidaknya dibuka kepada semua kaum, apa lagi yang tinggal buat kaum Melayu dan Bumiputera? Adakah kita sedang membiarkan hak kita diambil sewenang-wenangnya tanpa melawan?

Itu baru sedikit dan mungkin akan ada perkara yang jauh lebih besar yang akan berlaku sekiranya kita masih terleka dan membiarkan penyatuan kaum Melayu dan Bumiputera ini kekal berpecah. Kini, sudah wujud cadangan untuk membenarkan warga asing menyewa di Rancangan Perumahan Rakyat. Andai ini berlaku, kemana arah kaumMelayu bandar yang kononnya sudah terlalu moden ini?

Andai inilah yang dinamakan sebagai Malaysia Baru, rasanya lebih ramai yang lebih rela tinggal diera Malaysia lama berbanding istilah baru yang diwar-warkan ini memakan kaum Melayu dan Bumiputera, sedikit demi sedikit.




blusamurai.blogspot.com

Kerajaan PH Gagal Tunai Janji Hapus Tol





KENYATAAN MEDIA

KERAJAAN PH GAGAL TUNAI JANJI HAPUS TOL

1. Harapan rakyat untuk menikmati janji Kerajaan Pakatan Harapan bagi menghapuskan semua tol lebuh raya di Semenanjung tidak kesampaian apabila Kerajaan PH hari ini mengumumkan hanya 50 peratus potongan kadar tol untuk tempoh dua hari sebelum Aidilfitri.

2.  Ini ternyata bercanggah dengan manifesto PH yang berjanji untuk menghapuskan tol di seluruh negara andainya menjadi kerajaan demi meringankan beban rakyat.

3.  Pastinya harapan berjuta-juta pengguna lebuh raya yang akan pulang ke kampung halaman untuk berhari raya bukan saja hampa kerana tidak dapat tol percuma, malah masih perlu keluar duit belanja untuk bayaran tol.  Ia pasti membebankan mereka khususnya yang berpendapatan rendah dan menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jauh.

4. Pengumuman hari ini menyerlahkan Kerajaan PH mungkin telah menyedari realiti bahawa penghapusan tol tidak realistik dan sukar dilaksanakan.  Sekaligus menunjukkan janji manifesto itu hanya sebagai janji atau 'gula-gula' politik bagi meraih undi.

5. Menurut agensi penarafan RAM Ratings, penghapusan semua tol lebuh raya akan membabitkan bon dan sukuk berjumlah RM53 bilion. Ini bermakna ia adalah kerugian besar kepada pemegang konsesi dan kerajaan bagi tempoh yang singkat.

6.   Oleh itu, bagaimana kerajaan mampu menanggung perbelanjaan bagi melunaskan hutang dengan syarikat konsesi ini, yang ada antaranya baru memulakan kutipan bagi membiayai kos pembinaan lebuh raya mereka?

7. Apakah masa depan pembinaan lebuh raya lain, misalnya Lebuh Raya bertingkat Ulu Klang-Sungai Besi (SUKE Highway) kendalian firma Prolintas mampu diteruskan tanpa kutipan tol? Projek berharga RM48 bilion itu memerlukan suntikan modal yang besar untuk pembinaannya. Apakah kerajaan sanggup menanggung kosnya, dan bagaimana?

8. Sebenarnya rakyat sudah menerima cara sistem bertol ini sejak PLUS mengutipnya pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-4.

9. Seperti di negara lain, sebahagian besar rakyat Malaysia memahami tujuan kutipan tol oleh syarikat konsesinya. Biarpun jalan raya alternatif masih ada, mereka selesa menggunakan lebuh raya bertol untuk ke destinasi, serta faham ia dibina untuk kemudahan mereka.

10.  Mereka juga faham kos yang tinggi untuk membinanya di sesetengah tempat, masalah pengambilan alih tanah serta pampasan.

11.  Oleh itu, Kerajaan PH tidak wajar menggula-gulakan rakyat dengan janji penghapusan tol semata-mata untuk meraih undi. Apa jua janji kepada rakyat, mestilah ditunaikan sebaik mungkin, tanpa alasan dan helah politik.

12.  Susulan pengurangan hanya 50 peratus dan dua hari saja menjelang Aidilfitri,  rakyat mula tertanya-tanya dan kecewa terhadap Kerajaan PH yang hanya pandai retorik. Tindak tanduk Kerajaan PH mula tidak ketentuan malahan sanggup menjadikan isu 1MDB sebagai agenda politik dan menjanjikan rakyat dengan angan-angan yang besar seperti pemansuhan tol kononnya.

13.  Mungkin PH kini tercari-cari jawapan sebenar dari segi implikasi kewangan kepada kerajaan dan pemegang konsensi tol sekiranya tol dihapuskan.  Tambahan pula,  dalam keadaan pasaran saham yang merundum, penurunan berterusan ringgit dan penarikan keluar modal asing, pastinya merungsingkan kerajaan sekarang.

14. Ini bukan salah rakyat dan rakyat tidak sepatutnya dipermainkan. Akibat pentadbiran Kerajaan PH yang cacamarba, pelabur luar mula menampakkan kesangsian untuk menanam modal dan pelaburan di negara ini.

Unit Komunikasi Strategik
Ibu Pejabat UMNO
Kuala Lumpur
30 Mei 2018

Tabung Harapan : Disebalik Kisah Imam Nawawi Vs Raja Zahir Bybres



IMAM NAWAWI vs RAJA ZAHIR BYBRES.

Ketika kerajaan berdepan dengan ancaman Tatar, Raja Zahir Bybres selaku penguasa ketika itu mencari ikhtiar pintas untuk mendapatkan dana segera bagi menampung keperluan pertahanan negara.

⚫ Tabung Harapan.

Lalu dikutip fatwa para ulama' pengampu sebagai lesen untuk mengenakan bayaran wajib ke atas rakyat, dengan alasan kononnya demi keperluan negara yang mendesak.

Ketika itu Imam Nawawi dengan tegas menentang tindakan Raja Zahir Bybres. Beliau meletakkan syarat, bahawa Raja Zahir wajib mengeluarkan harta kekayaannya terlebih dahulu sebelum memeras keringat rakyat.

⚫ Penguasa Mesti Bertanggungjawab.

Mana mungkin seorang penguasa mendahulukan rakyat untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara, sedangkan ketika senang si penguasa itulah yang terlebih dahulu mengecapi kemewahan. Pendirian Imam Nawawi tegas, menyuruh agar segala kekayaan istana dan anggota di dalamnya diperah keluar terlebih dahulu.

Sesudah semuanya telah licin dikeluarkan namun masih belum mencukupi, barulah boleh dikenakan bayaran wajib ke atas rakyat untuk menampung keperluan ekonomi negara. Itu pun dengan syarat, sekali kutipan sahaja. Tidak boleh dijadikan rutin berpanjangan. Dari ketegasan tersebut, Imam Nawawi dibuang negeri.

⚫ Apa yang perlu kita faham adalah:

• Jangan bermudah-mudah membebankan rakyat dengan derma kononnya untuk menampung keperluan negara.

• Penguasa adalah golongan pertama yang perlu dihabiskan harta kemewahan mereka terlebih dahulu untuk keperluan negara.

• Menjadi satu kebingungan apabila diisytiharkan derma yang kononnya sangat darurat demi negara. Tetapi pada masa yang sama kerajaan sedia berbelanja berpuluh juta ringgit semata-mata untuk tayangan Piala Dunia. Ternyata ini merupakan praktis prioriti yang dangkal.

• Kerajaan mempropagandakan kononnya negara akan bankrup dan rakyat perlu mengeluarkan derma, merupakan gimik politik yang memberi impak negatif kepada kestabilan ekonomi negara.

Abdul Mu'izz Muhammad
30 Mei 2018.

Wednesday, 30 May 2018

Berakhirnya Karier Politik Hishammuddin Tun Hussein?






Sebagai anak Allahyarham Tun Hussein Onn dan sepupu kepada Datuk Seri Najib Razak, sesetengah pihak menjangkakan takdir akan membawa Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi perdana menteri satu hari nanti.

Namun dengan keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang menyaksikan Umno serta BN kehilangan kuasa di Putrajaya, keadaan berubah sama sekali.

Malah wujud spekulasi mendakwa kegagalan itu juga mendorong Hishammuddin akan berundur sepenuhnya daripada politik.

Sumber memberitahu Malaysiakini, anak perdana menteri ketiga itu dikatakan akan menolak untuk dicalonkan bagi mana-mana jawatan dalam Umno semasa parti itu mengadakan pemilihan tidak lama lagi.

Ia termasuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden.

Sebelum parlimen dibubarkan Hishammuddin, 56, bertugas sebagai menteri pertahanan. Apabila Najib melepaskan jawatannya sebagai presiden Umno, Hishammuddin kemudian menjalankan tugas timbalan presiden Umno.

Seorang lagi naib presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilantik menjalankan tugas presiden.

Malaysiakini sudah menghubungi Hishammuddin untuk mendapatkan reaksi beliau dan masih menunggu kenyataan balasnya.

Mesyuarat sudah bermula

Seorang pemerhati politik yang dekat dengan Umno pula berkata, dia tidak terkejut jika Hishammuddin enggan bertanding dalam pemilihan akan datang.

"Saya tidak pernah melihat beliau bercita-cita terlalu tinggi.

"Tambahan pula sekarang Umno tidak menjadi kerajaan, dan ada kemungkinan dia masih penat dan kecewa," katanya kepada Malaysiakini.

Kekalahan Umno di peringkat pusat untuk kali pertama dalam sejarah mendorong pelbagai pihak menggesa agar parti itu mempertandingkan semua jawatannya.

Sebelum ini biasanya jawatan presiden tidak ditandingi atas alasan persefahaman dan mengelak perpecahan dalam parti.

Selain itu dengan pengunduran Najib, sejumlah nama disebut-sebut layak mengisi kekosongan jawatan tertinggi parti, termasuk Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan, Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapha Mohamed, bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Johari Abdul Gani dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mesyuarat cawangan Umno sudah bermula sejak 19 Mei lalu sehingga 10 Jun sebelum mesyuarat peringkat bahagian pula diadakan berikutnya.

Pencalonan untuk jawatan Majlis Tertinggi Umno perlu diserahkan kepada ibu pejabat parti itu antara 1 Jun hingga 17 Jun.

Bagaimanapun tarikh persidangan Umno dan pemilihannya belum diumumkan.

Notis 6 Bulan Kepada Penjawat Awam Yang Diberhentikan – Cuepacs






KUALA LUMPUR, 30 Mei: Cuepacs hari ini menggesa kerajaan supaya melanjutkan notis penamatan kontrak bagi penjawat awam yang bakal ditamatkan perkhidmatan sekurang-kurangnya enam bulan berikutan pengumuman beberapa agensi yang dibubarkan baru-baru ini.


Presidennya Datuk Azih Muda berkata cadangan ini bagi memberi ruang kepada mereka yang terjejas untuk mendapatkan pekerjaan yang baharu dan merancang masa depan mereka dengan lebih baik.


Menurutnya, kebanyakan mereka yang bakal diberhentikan itu mempunyai bebanan hutang dan komitmen kewangan di samping tanggungan anak yang ramai.


“Kita difahamkan bukan semua yang diberhentikan adalah lantikan politik daripada pentadbiran kerajaan terdahulu, terdapat juga mereka daripada kumpulan pelaksana 1 dan 2 juga golongan profesional dan pengurusan yang menerima notis penamatan perkhidmatan pada 16 Jun.


“Mereka ini tidak langsung terlibat dengan pekerjaan membuat dasar-dasar, sekurang-kurangnya kalau boleh kita minta supaya beri notis berhenti enam bulan kepada mereka sebelum diberhentikan,” katanya kepada pemberita di Wisma Cuepacs di sini hari ini.–Bernama

Sirul: Jika Pulang, Saya Akan Dipenjara Dan Dibunuh





Bekas anggota polis Sirul Azhar Umar sebelum ini menawarkan untuk memberi maklumat berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu dengan syarat diberikan pengampunan penuh untuk pulang ke Malaysia.

Dia kini nampaknya menarik semula tawaran itu.

Dalam wawancara dengan The Guardian, Sirul yang kini tahanan Imigresen Australia berkata mahu kekal di negara itu.

"(Anggota Parlimen Bukit Gelugor) Ramkarpal Singh mahu saya dipenjara seumur hidup. Saya tak mahu pulang. Orang kata: 'Jangan beri pengampunan'. Saya akan dibunuh di penjara," katanya ketika ditanya kesanggupan untuk pulang jika hukumannya diringankan.

Pada 2015, Sirul dan Azilah Hadri dihukum mati atas kesalahan membunuh Altantuya pada 2006.

Kedua-duanya pada masa itu bertugas sebagai pengawal peribadi Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri.

Azilah ketika ini menunggu untuk menjalani hukuman di penjara, tetapi Sirul lari ke Australia tiga tahun lalu.

Kerajaan BN sebelum ini tidak mengekstradisinya atas sebab undang-undang Australia tidak mengiktiraf hukuman mati.

"Gesaan untuk membuka semula kes Altantuya timbul selepas kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU ke-14.

Pada 19 Mei, Sirul memberitahu Malaysiakini bahawa dia sanggup pulang dan membantu kes itu jika diberikan pengampunan penuh.

Ramkarpal kemudian berkata kerajaan tidak perlu melayan permintaan itu kerana masih ada saksi lain yang boleh membantu kes.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan dapat mengurangkan hukuman Sirul kepada penjara seumur hidup bagi membawanya pulang.

'Saya bukan orang jahat'

Dalam wawancara itu, Sirul enggan mengulas ketika ditanya sama ada maklumat yang ada padanya dapat membantu siasatan baru.

Dia juga enggan mengulas sama ada dia dapat mendedahkan siapa yang mengarahkan pembunuhan Altantuya.

Sebelum ini Sirul dilaporkan berkata menjadi kambing hitam dalam jenayah politik yang rumit dan pendakwa di Malaysia memilih untuk tidak memanggil beberapa saksi.

Dia juga mengakui membawa Altantuya sebelum "menyerahkannya kepada Azilah ketika perjalanan".

"Saya bukan orang jahat, tetapi kes itu membuatkan saya seperti orang jahat," katanya lagi.

Kerajaan Mahu Kaji Semula Peranan JAKIM





Kerajaan akan mengumpulkan sejumlah ilmuan Islam untuk membincangkan masa depan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.


Menurut perdana menteri langkah berkenaan diambil sebagai langkah melihat semula peranan badan berkenaan sama ada perlu dikekalkan seperti sekarang, atau dikembalikan kepada tujuan asal ia ditubuhkan dulu.


"Dan kita akan tentukan negara ini Islam tidak digambarkan sebagai agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa," katanya semasa sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.

Pembatalan HSR Mengejutkan, Timbulkan Kebimbangan






Keputusan perdana menteri membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Singapura-Kuala Lumpur didakwa dibuat secara mengejut dan tidak dibincangkan dalam kabinet.


Seorang pegawai diplomatik asing memberitahu Malaysiakini, keputusan lebih baik akan dicapai jika ia dibincangkan dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu.


Pegawai yang enggan namanya disebut itu berkata, tindakan itu menimbulkan kebimbangan kembalinya pentadbiran ala kuku besi seperti sebelum ini.


“Semua orang agak bimbang. Kita harap ini cuma keputusan sekali saja, yang bertentangan dengan sifat pentadbiran baru,” katanya.


Mahathir juga tidak berhubung dengan pihak Singapura sebelum mengumumkan pembatalan itu.


Malaysiakini difahamkan China dan Jepun, pembida kontrak, juga tidak tahu menahu.


Pengkritik berkata HSR tidak akan menyumbang hasil buat negara ini.


Pemimpin pembangkang Datuk Rahman Dalah pula pula mendakwa negara akan kerugian sekurang-kurangnya RM200 bilion jika projek itu dibatalkan.

Misi Pencarian Bangkai MH370 Berakhir





Syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity mengesahkan bahawa misi pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang telah berakhir.

Ocean Infinity dalam satu kenyataan semalam berkata, syarikat itu telah menjalankan pencarian dan mengumpul data berkualiti tinggi meliputi kawasan seluas lebih 112,000 km persegi dan berjaya mengatasi keadaan dan kawasan dasar laut yang mencabar.

"Keluasan kawasan yang diliputi dalam masa lebih tiga bulan operasi adalah jauh melebihi sasaran awal iaitu 25,000 km persegi dan hampir sama dengan kawasan pencarian sebelumnya dalam tempoh dua setengah tahun," kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett merakamkan rasa dukacita semua pihak di Ocean Infinity kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam MH370.

"Sebahagian daripada motivasi kami untuk menyambung semula pencarian ialah cuba merungkaikan beberapa jawapan kepada mereka yang terlibat. Oleh itu, kami dengan hati yang amat berat mengakhiri usaha pencarian tanpa mencapai matlamat itu," kata Plunkett.

Beliau berkata, Ocean Infinity sangat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberi tawaran dan peluang kepada syarikat tersebut untuk menyambung semula misi pencarian.

Komitmen yang dizahirkan oleh kerajaan baharu di Malaysia untuk memberi keutamaan kepada usaha menjejaki MH370 adalah sangat baik untuk didengar, kata Plunkett.

"Walaupun hasil misi pencarian itu setakat ini amat mengecewakan, tetapi sebagai sebuah syarikat, kami amat berbangga dengan apa yang telah kami capai dari segi kualiti data yang kami hasilkan dan kecepatan tempoh masa yang telah diliputi dalam misi pencarian merangkumi kawasan yang luas. Belum pernah misi pencarian dasar laut laut berskala ini dijalankan dengan begitu cekap dan berkesan sebelumnya,” kata beliau.

Beliau juga berkata, Ocean Infinity dengan ikhlas berharap syarikat itu sekali lagi dapat menawarkan khidmatnya dalam pencarian MH370 pada masa akan datang.

Ocean Infinity juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan di atas kapal Seabed Constructor yang telah berusaha dengan gigih tanpa penat dan juga kepada semua syarikat, organisasi dan individu yang memberi sokongan, bimbingan dan nasihat yang tidak ternilai.

Pihak berkenaan juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan di Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang dedikasi mereka usaha menjejaki pesawat tersebut tidak pernah pudar dan layak diberi pujian, kata Plunkett.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Pada Januari tahun ini, Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk menyambung semula pencarian pesawat malang itu.

Misi pencarian oleh Ocean Infinity di selatan Lautan Hindi adalah berdasarkan terma “no cure, no fee,” yang bermakna bayaran hanya akan dibuat apabila serpihan pesawat yang hilang itu ditemukan dan disahkan oleh pihak ketiga.

- Bernama

Bila Rakyat Nak Merasa Harga Barang Turun?





SEMASA cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hendak mula dilaksanakan, aktivis-aktivis Pakatan Harapan dan penyokong mereka begitu kuat menolak pelaksanaan cukai ini.

Di kedai-kedai, peniaga pula mula menaikkan harga dengan mendadak, kerana mendakwa ini semua konon disebabkan oleh GST.

Rakyat pula terpaksa menanggung beban kenaikan harga barang yang dikuatkan alasannya oleh ahli politik PH.

Sebelum pun tiba masa pelaksanaan GST, banyak barangan telah dinaikkan dengan mendadak tanpa kawalan.

Pada masa itu, hujah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kenaikan itu disebabkan peniaga tamak atau sabotaj ditertawakan.

Kesalahan akibat kenaikan harga barang diletakkan sepenuhnya di atas bahu kerajaan BN dan pada masa itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sekarang ini, PH sudah memerintah Malaysia hampir tiga minggu selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Manifesto mereka meletakkan sasaran menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari, yang belum dipenuhi tetapi sudah diletakkan kadar sifar.

Malangnya, tinjauan oleh pihak berkuasa sejak beberapa hari lepas menunjukkan banyak barangan yang naik harga.

Pada masa umat Islam sedang menjalani ibadah Ramadan dan hendak membuat persediaan menyambut Syawal, mereka terbeban dengan harga yang meningkat ini.

Selepas kerajaan kehilangan sumber GST ini, ia akan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan dikuat kuasa dalam tempoh dua bulan.

Ada beberapa laporan mengatakan cukai SST akan meningkatkan harga barang, sedangkan pada mulanya dikatakan tanpa GST harga barang konon akan lebih murah.

Kerajaan baharu pula lebih sibuk hendak memalukan pemimpin sebelum ini dengan membongkar kesalahan dan menjadikan siasatan polis sebagai drama untuk tontonan rakyat.

Bagi ramai ahli parti politik dan penyokong tegar, mereka seronok dengan penghukuman ke atas bekas pemimpin negara ini.

Mereka sudah diajar untuk marah dan tidak berpuas hati dengan musuh politik mereka sehingga berasa sangat puas apabila melihat musuh dimalukan.

Tetapi ramai rakyat biasa yang berharap janji yang digembar-gemburkan kerajaan baharu sejak mereka masih pembangkang ditunaikan.

Mereka yang tidak berkepentingan ini hanya mahu kos sara hidup mereka dikurangkan seperti dijanjikan oleh PH.

Tidak dapat dinafikan lagi, sebahagian besar kempen PH selama ini berkisar pada kos hidup, daripada pendidikan percuma, hapus tol, tangguh PTPTN dan memansuhkan GST yang didakwa menjadi punca barang mahal.

Sebagai kerajaan, PH bukan hanya perlu berkhidmat kepada penyokong dan pengundinya, tetapi kini telah menggalas amanah memimpin dan mengurus negara. – Mynewshub.cc




Raj's Banana Leaf Mohon Maaf Sikap Pekerjanya






KUALA LUMPUR 29 Mei - Pihak pengurusan Restoran Raj's Banana Leaf memohon maaf atas insiden pekerjanya yang mencuci bekas makanan di satu premis di Bangsar di sini sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna laman sosial.



Kenyataan yang dimuat naik menerusi pemilik akaun Facebook Raj's Banana Leaf itu, pekerjanya didapati mencuci bekas makanan di kawasan lopak air di luar permis tersebut.

Katanya, mereka merupakan pekerja baharu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Menurutnya, pihak pengurusan Raj's Banana Leaf sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala terhadap pekerja dan bahagian dapur.

"Kami memohon maaf atas tindakan yang dilakukan oleh pekerja baharu terbabit dan memahami cara tersebut tidak boleh diterima.

"Kami akan terus memantau dan menjadi keutamaan kebersihan serta keceriaan di dapur sentiasa terjaga," katanya.

Jelas kenyataan itu, pihaknya tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pekerja yang didapati melakukan perbuatan tersebut.

Hari ini tular dalam media sosial video berdurasi 29 saat kelihatan beberapa pekerja restoran itu mencuci bekas makanan di kawasan lopak air di luar permis tersebut.

Pengguna laman sosial yang menyaksikan video tersebut melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan pekerja terbabit.

Kata kenyataan itu, pihak memahami keprihatinan semua dan berharap diberi peluang untuk memberi perkhidmatan terbaik pada masa depan.





Pengawal Pengiring Najib Razak Ditarik Balik





KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Najib Razak akan mendapat layanan 'istimewa' sebagai bekas Perdana Menteri sekiranya didapati tidak bersalah dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Perdana Menteri berkata, jika didapati tidak bersalah, beliau akan dapat kembali kelebihan seperti bekas Perdana Menteri yang lain.

"Beliau (Najib) dalam siasatan dan tidak mewakili bekas Perdana Menteri," katanya selepas Majlis Iftar Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Masjid Bukit Aman, malam ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Najib menerusi Facebook bahawa semua pegawai keselamatan, polis pengiring serta anggota dari Unit Tindakan Khas (UTK) sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang juruiring kanan atau Aide De Camp (ADC).

Dalam kenyataannya Najib berharap, kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya sentiasa menjaga kebajikan kumpulan pengawal pengiring, UTK, polis pengiring dan pegawai yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepada beliau dan keluarganya.

Menurut Najib, semua mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan.

"Hari ini saya membalas tabik hormat dan mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan pengawal pengiring, UTK, polis pengiring dan pegawai yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepada saya dan keluarga sama ada di Pejabat Perdana Menteri serta di kediaman rasmi Seri Perdana," kata Najib menerusi kiriman itu di Facebook.

Najib berkata, tidak dapat dinafikan semua mereka diselubungi emosi dan ada yang menitiskan air mata ketika melafazkan kata-kata perpisahan.

"Saya dan keluarga tidak akan lupakan jasa, persahabatan dan kesetiaan mereka sepanjang sembilan tahun ini termasuk mereka yang sudah berjasa kepada kami selama 14 tahun semasa saya masih Timbalan Perdana Menteri.

"Hingga kita bertemu lagi, saya ucapkan kepada mereka selamat maju jaya dan berharap mereka akan terus berkhidmat kepada kerajaan baharu dengan dedikasi dan kesetiaan yang sama ketika bersama saya," katanya.

Sementara itu ditemui pada majlis sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata penarikan balik pengawal dan polis pengiring Najib serta keluarga adalah mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, ada kelayakan tertentu mengikut SOP yang patut diterima bekas Perdana Menteri.

"Kita akan kekalkan SOP yang ditetapkan. Bekas-bekas Perdana Menteri ada kelayakannya tertentu dan kita akan akur.

"ADC kita akan kekalkan. ADC untuk Datin Seri (Rosmah Mansor) kita akan kekalkan termasuk bodyguard (pengawal peribadi)," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, pengurangan atau jumlah pengawal dan pegawai polis sebagai pengiring serta pengawal peribadi dikurangkan berbanding sebelum ini berdasarkan SOP.

Tuesday, 29 May 2018

Dalam Semua Acara Rasmi, Bahasa Melayu Harus Dimartabat




IPOH 29 Mei - Semua acara rasmi di peringkat negeri mahupun kebangsaan mesti memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa sebarang tolak ansur.

Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pada masa sama rakyat harus menguasai bahasa Inggeris dengan baik sekiranya ingin melihat Malaysia berjaya sebagai sebuah negara.

Beliau berkata, bahasa lain seperti bahasa Cina yang kini menjadi bahasa ekonomi penting, boleh digalak untuk diperkembang jika ingin dipelajari oleh mana-mana anak pelbagai bangsa.

"Oleh yang demikian, kalau ada anak Cina, anak Melayu dan India hendak belajar bahasa Cina, kita bagi galakan. Bahasa kebangsaan, mantap rasmi tak boleh tolak ansur, bahasa lain kita boleh kembangkan.

"Kalau kita baca hikayat Hang Tuah yang diangkat sebagai laksamana dan wira Melayu ulung, bukan sahaja disebabkan kepantasan pencaknya yang deras, Hang Tuah juga menguasai ilmu - bahasa Arab, Siam, Jawa selain bahasa Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis iftar perdana yang diadakan di Jalan Pemimpin, Kampung Manjoi, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi Keadilan Perak, Dr. Muhamad Nur Manuty. - UTUSAN ONLINE

Hanya 24 Jam, Lebih 100 Ribu Bantah Buka UiTM Kepada Bukan Bumiputera





Dalam masa kurang 24 jam, lebih 100,000 individu telah menandatangani petisyen bagi menentang cadangan membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada bukan bumiputera.

Petisyen itu sebagai tindak balas terhadap cadangan Hindraf 2.0 semalam memohon Jawatankuasa Pembaharuan Institusi untuk membuka universiti itu kepada kaum lain.

Setakat berita ini dilaporkan, petisyen yang dimulakan oleh presiden Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM), Mohd Zaini Hassan, yang juga penolong ketua editor Utusan Malaysia, memperoleh 105,725 penandatangan daripada sasaran seramai 150,000 orang.

"PAUiTM dengan ini berdiri teguh dan secara sebulat suara membantah sebarang cubaan untuk membuka kemasukan ke UiTM kepada semua kaum.

"Ini berdasarkan premis bahawa kedudukan UiTM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk anak Melayu dan Bumiputera adalah sebahagian daripada komponen hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.

PAUiTM yang mendakwa mewakili kira-kira 700,000 ahli berkata persatuan itu bimbang Hindraf mungkin menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat bumiputera.

"Walaupun PAUiTM sedar bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengambil maklum sebarang tuntutan yang mewakili pelbagai masyarakat di negara ini, namun perkara berkenaan perlu ditangani dengan tegas bersama kesemua komponen kerajaan Pakatan Harapan dalam konteks pemeliharaan hak keistimewaan orang Melayu," tegasnya.

Mohd Zaini turut menambah bahawa kenyataan "menghasut" sedemikian sepatutnya dihentikan.

Hindraf 2.0 diketuai oleh P Uthayakumar, manakala adik lelakinya, P Waythamoorthy mengetuai Persatuan Hindraf Malaysia (PHM).

PHM adalah rakan strategik Pakatan Harapan (HARAPAN) tetapi Hindraf 2.0 tidak berkaitan secara rasmi dengan gabungan itu.

Waythamoorthy dalam satu kenyataan awal hari ini, menggesa abangnya dan Hindraf 2.0 untuk tidak menggunakan pendekatan konfrontasi.

"Saya ingin mengatakan dengan jelas kepada Uthayakumar. Perang ini telah berakhir dengan kekalahan BN. Uthayakumar mesti berundur dari jalan konfrontasinya dan menyertai semua yang kini bekerja keras untuk membina sebuah negara baru Malaysia.

"Sudah tiba masanya untuk membina semula masyarakat dalam Malaysia baru yang merupakan hasil kerja keras semua orang yang menyokong HARAPAN," katanya.

Rakyat Semakin Bimbang





1. Rakyat Malaysia semakin bimbang dengan hasrat Kerajaan Pakatan Harapan yang semakin tidak ketentuan dalam membuat keputusan membabitkan ekonomi negara termasuk terperangkap dalam pelbagai cadangan pihak tertentu yang tiba-tiba timbul, termasuklah menjual 25 peratus pegangan dalam Petronas bagi melunaskan hutang 1MDB dan hutang luar yang diwar-warkan bernilai RM 1 trilion.

2. UMNO dan Barisan Nasional selari dengan kebimbangan rakyat dan kecewa jika Kerajaan Pakatan Harapan terjerumus dalam tindakan tidak wajar dan bertindak di luar kawalan dengan menggunakan GLC atas kepentingan pihak tertentu.

3. Barisan Nasional dan UMNO tidak bersetuju dengan apa saja alasan jika kerajaan berhasrat menjual 25 peratus pegangan di dalam Petronas untuk melunaskan hutang yang sering dipolitikkan.

4. Apa tujuan sebenar dan apakah maksud terlindung kepada hasrat yang dikemukakan secara tiba-tiba itu? Jika idea itu digunakan, apakah kerajaan sudah ketandusan idea untuk mentadbir ekonomi Malaysia yang mendapat penarafan tinggi daripada agensi-agensi antarabangsa seperti Standard & Poor’s atau Moody’s dan Fitch?

5. Berhentilah daripada mempolitikkan hutang negara. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sendiri mengesahkan bahawa hutang negara cuma RM 686.8 bilion dan bukannya RM 1 trilion.

6. Kerajaan sepatutnya memikirkan cara bagaimana untuk meningkat prestasi Petronas di dalam dan luar negara, menambah pegangan asing dan menaikkan pendapatan, daripada mengambil jalan mudah mencari wang untuk mengkotakan janji-janji di dalam manifestonya. Lebih malang ialah mewar-warkan jumlah hutang yang tinggi untuk menutup kegagalan dalam memenuhi permintaan rakyat.

7. UMNO beranggapan Kerajaan Pakatan Harapan tidak ada ahli yang dapat berfikir secara ‘outside the box’ atau di luar kotak bagi memenuhi janji manifesto ini, kecuali mengambil jalan mudah.

8. Mereka gagal ataupun enggan mengiktiraf sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus, unjuran yang dibuat oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, enggan menerima hakikat bahawa aset 1MDB mampu membiayai hutangnya sendiri dan fakta bahawa defisit fiskal kita menurun daripada 3.0 peratus kepada 2.8 peratus.

9. Kalaulah benar hasil jualan saham Petronas sebanyak RM 200 bilion itu dikhaskan untuk membayar hutang negara, dari mana pula lebihan RM 800 bilion akan diperolehi untuk mencukupkannya?

10. Apakah Pakatan Harapan bercadang menjual saham dalam syarikat gergasi lain atau menswastakan sebahagian agensi yang ada? Apakah kerajaan akan menjemput penyertaan (atau lebih tepat lagi campur tangan asing) ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ada? Mungkin juga Pakatan Harapan boleh memikirkan sebahagian pemilikan di dalam Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Bhd misalnya, dicagarkan pula kepada entiti asing.

11. Barangkali tenaga profesional di dalam Pakatan Harapan hanya berfikir dalam ruang lingkup mereka sendiri, dan enggan berfikir secara rasional dengan ahli ekonomi antarabangsa. Bukankah ini cara mereka sebelum ini, iaitu meminta bantuan pakar asing?

12. Bagaimana pula seorang yang kes rasuahnya masih belum selesai, boleh bercakap mengenai rasuah 1MDB, hutang negara yang direka-reka angkanya dan soal unjuran ekonomi?

13. Kesediaan kerajaan menghapuskan GST yang setakat ini memperkukuhkan perolehan negara sebanyak RM 44.3 bilion berbanding hanya RM 18 bilion di bawah SST tahun 2014 serta hutang PTPTN berjumlah RM 45 bilion, mencerminkan betapa hutang RM 1 trilion rekaannya tidak langsung memberi kesan negatif kepada rakyat dan negara.

14. Dalam pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, hutang kerajaan diurus dengan baik. Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini belum pernah gagal melunaskan pembayaran hutang dan pada masa yang sama mampu memacu perkembangan ekonomi negara dengan pesat.

15. Oleh itu, berhentilah segera sandiwara ini supaya FDI tertinggi dalam sejarah diraih oleh Barisan Nasional dahulu tidak terus ditarik keluar, pasaran saham menjunam dan nilai matawang terus jatuh. Rakyat pasti tidak mahu seolah-olah kerajaan hanya wujud untuk memperkudakan isu ini. Janganlah menyembunyikan kelemahan kerana kelemahan yang ada ini mudah dihidu oleh rakyat.

Unit Komunikasi Strategik
Ibu Pejabat UMNO
Kuala Lumpur
28 Mei 2018

Nurul Izzah Bakal Berkahwin Dengan Agong? Ini Kata Kak Wan...




HULU SELANGOR, 29 Mei ― Timbalan perdana menteri terperanjat apabila ditanya desas-desus anaknya bakal berkahwin dengan Yang di-Pertuan Agong.

Menafikan perkara itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak tahu Nurul Izzah Anwar akan mendirikan rumah tangga, lapor Berita Harian.

“Astaghfirullah alazim... jangan dengar berita khabar angin. Tidaklah ...,” katanya ringkas ura-ura yang diperkatakan meluas di media sosial.

Nurul Izzah terdahulu memberitahu Star Online agar orang ramai menolak perkhbaran tersebut yang disifatkannya “berita palsu.”

“Tolong abaikan berita palsu yang tersebar dari awal. Terima kasih,” katanya, kini ahli parlimen Permatang Pauh.

Desas-desus tersebut berkembang selepas ibunya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim diundang ke Istana Mahkota di Kota Baru pada 24 Mei lalu.

Keluarganya bertemu Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, bonda Sultan Muhammad V, Yang di-Pertuan Agong ke-15, kira-kira sejam.

Monday, 28 May 2018

Peluang Najib Membersihkan Diri





PELUANG NAJIB MEMBERSIHKAN DIRI

oleh Ab Jalil Backer

Kejutan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menyaksikan Barisan Nasional (BN) tewas buat kali pertama di peringkat Persekutuan dan hanya mampu mengekalkan tiga kerajaan negeri iaitu Perlis, Pahang dan Sarawak.

Kejutan ini memang memeritkan kepada BN dan juga Perdana Menteri keenam Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Mohd Najib menjadi Perdana Menteri pertama memimpin parti pemerintah dan tewas dalam pilihan raya umum.

BN memasuki PRU-14 dalam satu keadaan yang sangat getir. Ia berhadapan dengan cabaran negarawan Tun Mahathir Mohamad, kemarahan sebahagian rakyat kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan “serangan” ke atas keluarga Mohd Najib dalam dan luar negara.

Akhirnya majoriti rakyat membuat keputusan “enough is enough”! Mereka merasakan tidak rugi apa-apa jika mengundi Pakatan Harapan. Hanya masa akan menentukan sama ada perasaan itu benar atau mereka telah membuat keputusan yang salah.

Namun berdasarkan undi diperoleh bagi ketiga-tiga parti utama bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 ia bukanlah satu kemenangan yang terlalu selesa bagi Pakatan Harapan (PH). PH memperoleh keseluruhan 5,685,252 undi atau 50.1 peratus (%), BN 3,624,921 undi (32%) dan PAS sebanyak 2,043,159 undi (18%).

Ada hampir 6 juta lagi yang layak mengundi (berdaftar dan tidak berdaftar) tidak melaksanakan tanggung jawab mereka. Ini bermakna, di sebalik janji pelupusan GST, penurunan harga petrol, penurunan harga barang dan pelupusan tol, lebih separuh pengundi tidak mempercayai Pakatan Harapan.

Kesukaran Barisan Nasional ialah usaha transformasi ekonomi negara yang dibuat oleh Mohd Najib bertujuan menjadikan ekonomi negara mampan dan berdaya saing telah sedikit sebanyak memberi kesan kepada cara hidup mewah golongan pertengahan dan generasi muda negara ini.

Dunia mengakui Malaysia berada pada landasan betul di bawah transformasi ekonomi Mohd Najib namun rakyat dihasut. Rakyat dihasut bahawa kekayaan ekonomi negara ini mencukupi membiayai pembangunan dan subsidi berpuluh bilion tanpa kutipan GST. Rakyat diindoktrinasi bahawa negara ini tidak memerlukan GST jika pemimpin negara tidak membazir.

Hasutan ini menjadi barah yang merebak dengan pantas. Rakyat menjadi marah dengan persepsi penindasan GST, kehilangan berbilion ringgit duit 1MDB, negara bakal muflis dan keborosan sebahagian keluarga Mohd Najib di luar negara. Maka akhirnya kemarahan tersebut diterjemahkan dalam pilihan raya kali ini.

Dalam pada itu, UMNO sendiri pasti mengetahui bahawa sebahagian besar kekalahan calon-calonnya kerana sabotaj dalaman parti dan kegagalan sayap pemuda dan wanita melaksanakan tanggungjawab mereka.

Pemuda sungguhpun diberi kuasa dan kedudukan melalui Kementerian Belia dan Sukan gagal menarik sokongan generasi muda. Program seperti “Fit Malaysia” hanya program suka-suka tanpa indoktrinasi agenda kerajaan Barisan Nasional. Hasilnya, Khairy Jamaluddin menjadi popular tapi BN tidak menerima tempias populariti tersebut.

Mahalan populariti Khairy juga adalah populariti buih-buih di permukaan sahaja kerana beliau sendiri hampir tewas di Parlimen Rembau. Dari majoriti lebih 18 ribu undi pada 2013 tinggal 4,364 undi pada 2018. Jika dicampur keseluruhan undi calon-calon yang menentangnya, beliau sudah kalah kali ini.

Kita tahu generasi muda terkenal dengan aliran “anti-establishment” namun tindakan mengurangkan peranan persatuan-persatuan belia yang pro-Kerajaan telah menyebabkan jurang itu lebih besar.
Ketua Wanita UMNO juga perlu bermuhasabah diri. Kaji selidik dan culaan Jalinan Rakyat Wanita UMNO meleset 100 peratus. Ini menyebabkan Barisan Nasional dan UMNO tidak nampak kekalahan ini.

Apa pun sesuatu yang sangat indah dalam keputusan PRU ke-14 ini ialah ia memberi peluang kepada Mohd Najib membersihkan dirinya dari segala tuduhan dan tohmahan. Hari ini Mohd Najib disiasat oleh Kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan.

Tidak timbul lagi persepsi kerajaan cuba melindungi beliau. Cuma timbul persoalan baharu, apakah kerajaan hari ini mampu berlaku adil dan memastikan keadilan ditegakkan.

Tindakan melantik mereka yang mempunyai agenda peribadi ke atas Mohd Najib seperti Datuk Seri Mohd Shukri Abdul dan Tan Sri Abdul Ghani Patail sebagai pasukan penyiasat tidak memberi gambaran keadilan akan ditegakkan.

Apa pun ini adalah peluang Mohd Najib dan keluarga membetulkan persepsi dan bermuhasabah diri. Mungkin ini juga rahmat Allah untuk meletakkan seseorang itu di landasan yang betul setelah terbuai dengan nikmat dunia.

artikel ini pertama kali diterbitkan dalam Sinar Harian 28 Mei 2018

'KJ Kena Tinggalkan Umno, Tubuh Parti Berbilang Kaum'



Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong mencadangkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk membentuk parti berbilang kaum bagi menyeimbangi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Liew berkata sebagai pembangkang agak sukar Umno dan BN untuk menarik sokongan generasi muda ke pihak mereka, terutamanya sejak tsunami politik Malaysia pada 9 Mei dan juga kebangkitan golongan muda.

"Mungkin jika Khairy meninggalkan Umno dan menubuhkan parti berbilang kaum yang baru, ia boleh memberi saingan menyeimbangi Pakatan Harapan (HARAPAN) dan akan membawa kebaikan kepada rakyat," kata Liew dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy sebelum ini mengisyaratkan beliau tidak menolak Umno membuka keahliannya kepada semua kaum, menjelaskan semua pilihan perlu diambil kira ekoran kekalahan BN dalam pilihan raya.

Meskipun maklum beberapa pemimpin BN berhasrat memikirkan masa depan politik yang berbilang kaum, Liew tertanya-tanya jika mereka mempunyai keupayaan politik untuk melaksanakannya.

"Saya tidak menafikan terdapat juga elemen dalam masyarakat yang berharap dapat mencipta 'serangan ala Donald Trump' dengan membangkitkan sentimen perkauman di kalangan mereka yang tersingkir daripada sudut ekonomi.

"Saya juga tidak menyangkal terdapat pihak yang mungkin ingin membuat situasi serupa 'Ahok' di Indonesia dengan menyentuh sentimen agama," katanya, merujuk kepada bekas gabenor Jakarta itu.

Walaupun demikian, Liew yakin keamanan dan keharmonian akan tetap dicapai.

"Perdamaian antara dua gergasi politik Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, rasa semangat untuk tujuan dan nasib bersama dalam pilihan raya baru-baru ini yang dirasakan oleh semua orang dan semoga rangka kerja dasar ekonomi yang sesuai dengan rakyat Malaysia akan dapat membantu membina masa depan bersama rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Liew mencadangkan agar kerajaan HARAPAN melaksanakan pelbagai pembaharuan terhadap sistem pilihan raya yang disyorkan oleh BERSIH dan kumpulan masyarakat sivil mengenai reformasi pilihan raya. Antara cadangan itu adalah untuk menurunkan umur mengundi sehingga 18 tahun.

Rakyat tak lagi takut kerajaan

"Lebih ramai anak muda yang terlibat dalam pilihan raya, semakin sukar bagi BN untuk membuat kemunculan semula.

"Memandangkan ini, Pakatan Harapan tidak boleh terus berpuas hati dengan kejayaannya. Kerajaan baru perlu ingat, rakyat Malaysia tidak lagi takut kepada kerajaan hari ini dan mereka tahu perubahan kerajaan akan berjalan secara aman.

"Mereka tidak lagi takut untuk membuat perubahan," jelas Liew, yang berkata beliau telah diberi peringatan oleh ramai rakyat Malaysia untuk mentadbir negara dengan baik atau jika tidak, mereka akan mengundi untuk membuang kerajaan ini.

Liew menegaskan betapa pentingnya pembangkang yang berwibawa untuk demokrasi bergerak.

Langkah pertama, katanya, adalah untuk Umno BN untuk menjarakkan dirinya daripada warisan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Najib dan isterinya Rosmah Mansor menjadi faktor toksik bagi bekas kerajaan, sekurang-kurangnya sejak Julai 2015.

"Kehadiran Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai pemimpin baru Umno tidak akan banyak (membantu) untuk menyelamatkan reputasi BN. Mereka masih terpalit dengan warisan Najib," katannya.

KWSP Suri Rumah: MTUC Bantah Tolak 2 Peratus Gaji Suami




Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menolak 2 peratus daripada gaji suami untuk dicarumkan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atas nama isteri.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon sebaliknya  menggesa kerajaan mempertimbangkan kebajikan suami yang merupakan pencari nafkah tunggal dan berpendapatan rendah.

"Kerajaan perlu mengkaji justifikasi supaya tidak membebani suami, terutamanya dengan upah semasa golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40)," katanya.

Kerajaan baru-baru ini mencadangkan kadar caruman KWSP untuk suri rumah melibatkan 2 peratus daripada gaji suami dan RM50 daripada dana kerajaan. Caruman KWSP untuk suri rumah merupakan antara janji kerajaan Pakatan Harapan yang mahu dilaksanakan dalam tempoh 100 selepas mentadbir negara.

Kerajaan Perlu Bincang Dengan ‘Stakeholders’ Dahulu Sebelum Buat Keputusan







Kerajaan PH dicadangkan dapatkan pendapat terlebih dahulu daripada pihak berkepentingan sebelum buat sebarang keputusan. Malah PH juga disaran supaya kurangkan bercakap dan lebihkan bekerja.

Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali berkata perkara itu perlu bagi mengelakkan sesuatu keputusan (yang telah dibuat) ditarik balik.

Dua minggu selepas, kerajaan PH membuat pelbagai pengumuman antaranya membubarkan lima agensi kerajaan seperti JASA, MPN, JKKKP, PEMANDU dan SPAD. Ini menimbulkan kebimbangan ribuan pekerja tempatan yang bakal hilang kerja.

Manakala KDN merancang mengurangkan pekerja asing dan PATI, sementara Kementerian Sumber Manusia akan menyemak semula keputusan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh beberapa tahun lalu.

Bak kata bos Mydin – “kita semua setuju nak kurangkan pekerja asing tetapi di Malaysia ini, siapa yang mahu lakukan kerja yang dilakukan pekerja asing?’

Isyarat Apa Ini Kadir Jasin?




ISYARAT APA INI KADIR JASIN?

Saya terkejut membaca tulisan Dato Kadir Jasin(DKJ)saperti tersiar di Sinar Harian dan di petik oleh Free Malaysia Today(FMT)

Ini adalah kerana DKJ adalah KETUA MEDIA DAN KOMUNIKASI MAJLIS PENASIHAT KERAJAAN PH,(MPK-PH)satu badan yg di lihat sangat berpengaruh dan berkuasa di bawah kerajaan baru,malah di lihat lebih berpengaruh dan tinggi dari kabinet itu sendiri.Majlis ini telah bertindak dan mengeluarkan pelbagai kenyataan hatta sebelum kabinet di bentuk lagi.

Kenyataan DKJ di lihat sebagai satu isyarat dan amaran kepada Raja Raja  Melayu apabila beliau secara terang terangan membangkitkan isu KONTRAK SOSIAL ANTARA RAJA DAN RAKYAT!Lebih tepat lagi ianya berbaur HASUTAN.

Apakah ini satu isyarat bahawa pentadbiran baru sedang bergerak ke arah REFORMASI INSTITUSI RAJA DAN CUBA MEMINDA PERLEMBAGAAN saperti pernah di lakukan pada awal 90an yg telah menyeret kita semua dlm pertembungan RAJA DAN RAKYAT?

Dari tulisan Ketua Media dan Komunikasi MPK-PH ini ia sangat jelas sekali..sekali lagi bagi saya ia bersifat ugutan dan hasutan.DKJ sepatutnya menghormati penjelasan yg telah di buat oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja Raja Melayu yg telahpun mengeluarkan kenyataan bersabit isu yg di bangkikan pihak tertentu,yg di sentuh beliau di awal para tulisannya.

Apakah ini suara DKJ?atau suara MPK-PH?atau suara orang berkuasa yg lain?..Apakah DKJ merasakan beliau kebal dan di lindungi utk mengeluarkan kenyataan sebegini??

Tulisan DKJ yg mengungkit kemewahan pihak Istana,pembiayaan oleh rakyat dll jelas untuk menyemarakkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap institusi raja.Kearah mana DKJ dan MPK-PH ingin membawa kita setelah “mendapat mandat rakyat”??

Malah sebutan oleh DKJ bahawa RAJA TIDAK KEKAL,boleh di sifatkan sebagai satu percubaan mengugut dan menggugat KEDUDUKAN DAN KEMULIAAN INSTITUSI RAJA RAJA MELAYU!

Namun perlu kita peringatkan DKJ,bahawa rakyat,TERUTAMANYA orang Melayu tidak akan membiarkan peristiwa 90an berulang.Kita juga berharap Kerajaan jangan cuba berketerlaluan dalam tindak tanduk mereka,terutama dalam percubaan yg boleh di sifatkan menggugat kedudukan RAJA RAJA MELAYU,AGAMA ISLAM DAN PALING PENTING PERLEMBAGAAN ITU SENDIRI.

Sebarang usaha meminda perlembagaan saperti yg cuba di bayangkan oleh DKJ akan kita tentang habis habisan.

Kita akur dengan mandat rakyat kpd PH.Kerana itulah kita pastikan peralihan kuasa berjalan secara licin dan tanpa halangan walau mandat itu AMAT NIPIS sekali,malah ketua kerajaan sendiri mempunyai mandat tak sampai 10% di parlimen.

Kita juga ingin mengingatkan DKJ bahawa MANDAT dari pengundi Melayu tidak bersama PH.Statistik jelas menunjukkan lebih dari 70% undi orang Melayu tidak memilih PH.

Sepatutnya DKJ dan MPK-PH
menumpukan usaha utk menunaikan SEGALA JANJI 100 HARI PERTAMA yg belum di tunaikan.Rakyat sedang menunggu dgn sabar PENGHAPUSAN CUKAI GST(bukan zero-rated),PENGHAPUSAN TOL,PENSTABILAN HARGA MINYAK PADA RM1.50/litre,PENDIDIKAN PERCUMA,PENURUNAN HARGA BARANG DLL “HARAPAN”RAKYAT....Dan bukannya ugutan terhadap institusi Raja atau percubaan meminda perlembagaan.

Saya harap pihak berwajib tidak akan merasa takut utk bersikap adil menjalankan siasatan ke atas tulisan DKJ,dan berharap KELUHURAN UNDANG UNDANG dapat di pertahankan.

Saya juga berharap DKJ berlapang dada dgn catitan saya ini.Sebagai seorang yg telah melalui episode awal 90an,saya tidak akan membiarkan peristiwa tersebut berulang lagi semata mata kerana dendam peribadi.

Ahli Parlimen Ketereh
Isnin 27/5/18.

Sunday, 27 May 2018

'Tak Mustahil BERSATU Jadi Parti Berbilang Kaum'





Tidak mustahil BERSATU akan menjadi parti berbilang kaum, kata Pengerusi DAP Johor, Liew hin Tong.

Menurutnya, politik berbilang budaya telah mengambil tempat di persada arus perdana berikutan PRU14 dan malahan parti berasaskan kaum dalam gabungan BN sedang mempertimbangkan untuk membuka keanggotaannya kepada warga negara daripada kaum-kaum lain.

Beliau berkata membentuk BERSATU sebagai parti berasaskan kaum merupakan "keperluan taktikal" ketika penubuhannya pada 16 September 2016 tetapi keadaan sekarang berbeza.

"Jika dua minggu kemudian, BERSATU fikir boleh menerima beberapa ahli bukan Melayu, itu tidak akan menjadi masalah besar. Tetapi pada masa itu (ketika penubuhannya), secara strategik ia tidak boleh dilakukan. Sekarang tidak ada tekanan.

"Begitu juga, apabila kami memutuskan untuk menggunakan bendera PKR (untuk bertanding dalam pilihan raya), kenapa? Kerana ia langkah yang paling pragmatik. Sekiranya kita guna bendera DAP, kita lingkup. Tak perlu lagi berjuang.

"Jadi, untuk mengubah kekalahan menjadi kemenangan, kami perlu mengatasi mereka (BN) secara strategik. Sekiranya kami menari dengan lagu lawan, kami akan kalah. Kita perlu mengatasi mereka dan melihatnya kembali sekarang, ia suatu keputusan yang tepat.

"Sekarang anda tidak mempunyai Utusan Malaysia, TV3 yang memberi tekanan (dengan menimbulkan sentimen perkauman). Sekarang senario politik keseluruhannya berbeza," katanya dalam wawancara Malaysiakini pada Selasa lalu.

Beliau ditanya jika BERSATU masih relevan sebagai parti berasaskan kaum dan jika DAP bertindak sebagai imbangan keadaan itu.

BERSATU menang di kerusi campuran

Keanggotaan penuh BERSATU pada masa ini hanya dibuka kepada bumiputera sahaja, tetapi bukan bumiputera masih dapat menyertainya sebagai anggota bersekutu. Anggota bersekutu tidak boleh bertanding dalam pemilihan parti, tetapi masih boleh dilantik ke jawatan parti.

Walaupun demikian, Liew menjelaskan BERSATU menang kerusi di kawasan campuran etnik seperti Tanjung Piai dan Simpang Renggam, disamping mengalahkan calon Cina dari MCA dan Gerakan untuk memenangi kerusi tersebut.

"Tidakkah mereka (BERSATU) terfikir pada masa akan datang bahawa: Saya dapat mewakili bukan Melayu, kerana kawasan pilihan saya dimenangi memiliki ramai orang bukan Melayu?

"Seluruh suasana kini berbeza, jadi anda boleh memikirkan segala macam kemungkinan. Sudah tentu perkara-perkara ini tidak akan berlaku dengan serta-merta, tetapi realiti di lapangan adalah (Ahli Parlimen Simpang Rengam) Maszlee Malik tidak hanya semata-mata mewakili orang Melayu.

"Kalau sokongan Melayu saja, beliau (Maszlee) tidak akan menang, beliau mendapat sokongan ramai orang Cina, ramai orang India dan separuh Melayu," kata pengerusi DAP Johor itu.

Liew berharap pada masa akan datang, rakyat Malaysia boleh memisahkan identiti budaya dan politik masing-masing, dengan itu mengenal pasti jati diri budaya mereka daripada kaum masing-masing, tetapi secara politiknya bertindak sebagai rakyat Malaysia.

Begitu juga, beliau berharap orang ramai dapat menerima Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebagai mewakili semua rakyat Malaysia dan bukan hanya melihat mereka sebagai wakil kaum masing-masing.

Untuk berfikir dalam kerangka politik perkauman tidak membawa ke mana-mana, katanya, kerana ia juga memaksa pihak lawan melakukan perkara yang sama dan meneruskan kitaran ganas berkenaan.

"Sekarang di televisyen, berbagai pihak bercakap mengenai era baru untuk Malaysia, suatu Malaysia baru. Semua orang bercakap mengenai Malaysia baru tetapi apakah yang baru di Malaysia? Apa yang diperlukan?

"Malaysia baru adalah saya boleh berbeza budaya, tetapi secara politik saya seorang warganegara," kata Liew, yang juga pengerusi Research for Social Advancement, lembaga amanah badan kajian berkaitan DAP.

Mengenai BN, Liew mendakwa model berasaskan kaum MCA dan MIC tidak relevan sejak tahun 2004, tetapi parti-parti itu diberikan talian hayat kerana bergantung pada sokongan Umno.

Keadaan ini tidak akan berubah jika MCA dan MIC meneruskan jalan yang sama, terutama sekali sekarang di kala Umno telah kehilangan kuasa persekutuan, katanya.

Beliau menambah jika BN terus dipimpin pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi Datuk Seri Hishammuddin Hussein, gabungan itu tidak dapat bersaing dengan Pakatan Harapan.

Ini kerana mereka tidak dapat menjarakkan diri daripada bekas pengerusi Umno Datuk Seri Najib Razak, yang terpalit skandal 1MDB dan menjadi sasaran ketidakpuasan hati undi 'protes' pada PRU14.

Beliau menjelaskan keupayaan mereformasikan BN dan menjarakkan diri daripada Najib merupakan prasyarat gabungan itu menjadi relevan kembali.

Siti: Cenderung Agama, Bahaya Maszlee Jadi Menteri Pendidikan





Aktivis Siti Kasim mendakwa tentangannya terhadap pelantikan Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan bukanlah bersifat peribadi.

Siti berkata selain latar belakang sarjana Islam, ahli parlimen Simpang Renggam itu juga gagal memberi jawapan memuaskan tentang pendidikan.

“Itu bukanlah jawapan yang kita mahu sebagai seorang yang bertanggungjawab terhadap anak muda.

“Kita mahu seseorang yang cuba atau mengurangkan paksi agama di sekolah,” katanya yang banyak menemui menteri itu semasa forum sebelum ini.

Beliau berkata sistem pendidikan berkenaan menyebabkan perpecahan antara kaum.

“Saya melihat kemusnahan berlaku di sekolah dan saya melihat produk sekolah ini,” katanya.

Siti berkata bukanlah satu masalah ahli politik dengan latar belakang agama memegang jawatan dalam kerajaan.

“Kenapa saya tidak bising tentang mereka? [Dr Dzulkefly Ahmad dan Mohamad Sabu]. Ini kerana mereka tidak membentuk fikiran generasi muda.

“Orang yang bertanggungjawab dalam bidang pendidikan sangat penting,” katanya.

Ekonomi "Pulih" Dalam Masa 2 Minggu - Sindir Najib





Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau hairan bagaimana ekonomi negara didakwa pulih dalam tempoh yang singkat selepas dikatakan sebelum ini dalam keadaan krisis.

"Saya hairan betapa cepatnya ekonomi negara bertukar dari kononnya dalam keadaan krisis dan gagal sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kepada keadaan ekonomi yang kuat dan kukuh.

"Cuma dua minggu lebih sahaja? (diambil oleh kerajaan untuk pulihkan ekonomi)," katanya secara sinikal melalui Twitter.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas artikel yang disiarkan semalam yang memetik Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebagai berkata bahawa Malaysia masih mempunyai asas ekonomi yang kukuh.

"Kita perlu ingat bahawa asas ekonomi Malaysia masih kuat dan kukuh," kata Lim ketika mengulas berhubung keadaan semasa ekonomi negara.

Sebelum PRU14, pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) sering mendakwa ekonomi negara dalam keadaan tenat dan sedang menuju bankrap.

Pengerusi HARAPAN yang juga merupakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu mendakwa hutang negara melebihi RM1 trilion.

Bagaimanapun, Lim pada Khamis lalu menjelaskan jumlah RM1 trilion itu termasuk RM199.1 bilion dalam jaminan kerajaan dan RM201.4 bilion dalam bayaran pajakan untuk kerjasama awam dan swasta.

Jumlah hutang sebenar adalah RM686.8 bilion atau 50.8 peratus keluaran dalam negara kasar yang dipetik Najib di bulan terakhirnya menjadi perdana menteri.