Wednesday, 30 July 2014

19 Orang Awam Maut Dalam Pertempuran Di Timur Ukraine

Sebuah jambatan kereta api diletupkan pada Isnin sehingga menghalang jalan yang menghubungkan antara Charkov dan Donetsk di Ukraine. Pasukan penyiasat tidak dapat memasuki lokasi nahas MH17 berikutan pertempuran yang berlaku di kawasan itu. Foto EPA
SEKURANG-KURANGNYA 19 orang awam terbunuh dalam pertempuran antara tentera Ukraine dan pemisah pro-Rusia di timur Ukraine berhampiran lokasi nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, kata pegawai tempatan pada Selasa.
Tentera Ukraine mengusir kumpulan pemberontak ke kubu kuat mereka di dua bandar utama Donetsk dan Luhansk, dan mengepung mereka di beberapa tempat, termasuk di kawasan lebih luas di lokasi nahas MH17.
Pegawai berkata, seramai 14 orang termasuk lima kanak-kanak terbunuh dalam pertempuran pada malam Isnin di bandar Gorlovka/Horlivka, di salah satu tempat yang menyaksikan pertempuran berlaku sejak beberapa hari lalu.
Seorang pegawai tempatan berkata, seramai lima orang awam terbunuh ketika serangan ke atas rumah persaraan di bandar Luhansk. 

Bot Langgar Batang Kelapa Pemandu Maut

SETIU: Seorang pemandu bot maut selepas bot yang dipandunya terlanggar batang kelapa dalam kejadian berhampiran jeti Merang di sini, Selasa.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.45 pagi itu menyebabkan mangsa Rusdi Mohamad, 38, dari Batu Rakit, Kuala Terengganu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamad berkata, mangsa bersama tujuh pekerja resort dalam perjalanan ke tempat bekerja ke Pulau Redang.

Katanya, selepas lima minit bot yang dipandu Rusdi berlepas dari jeti Merang, secara tiba-tiba bot laju berkenaan hilang kawalan lalu merempuh batang kelapa dalam air berhampiran pantai di jeti berkenaan.

"Ekoran insiden itu, mangsa yang bekerja sebagai ketua bot dipercayai telah tercampak keluar dari bot berkenaan dan disahkan mati kerana cedera di kepala dipercayai terhentak pada batang kelapa ketika jatuh ke laut," katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, kesemua mangsa yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya diselamatkan manakala mayat mangsa dihantar ke hospital Setiu untuk dibedah siasat. 

Nur Suryani Taibi Meraih Pingat Gangsa

GLASGOW - Atlet menembak kebangsaan, Nur Suryani Taibi meraih pingat gangsa dalam acara Air Rifle 10m individu wanita di Barry Buddon Shooting Centre, Carnoustie, dekat sini semalam.

Nur Suryani mencatat 184.4 mata manakala pingat emas dan perak dimenangi oleh atlet dari India, Arpuvi Chandela dan Ayonika Paul, masing-masing dengan 206.mata dan 204.9 mata.

Nur Suryani berkata, dia berharap kejayaan itu dapat memberikan motivasi kepada atlet menembak lain untuk mempamerkan prestasi yang lebih baik.

"Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian hari ini, memang tidak menafikan penembak dari India merupakan atlet terbaik dunia.

"Masih ramai lagi atlet menembak yang hebat belum beraksi, saya yakin mereka akan meraih kejayaan yang lebih baik kepada kontinjen," katanya kepada pemberita semalam.
Nur Suryani berkata, dia turut yakin skuad menembak mampu meraih pingat emas pada Sukan Komanwel kali ini.

Dalam pada itu, seorang lagi atlet menembak kebangsaan, Eddy Chew, hampir meraih pingat gangsa bagi acara Air Pistol 10m individu lelaki.
Bagaimanapun, Eddy terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat selepas mengutip 154 mata manakala Jonathan Wong di tempat ketujuh dengan 94.3 mata.
Pingat emas dimenangi oleh Daniel Repacholi dari Australia dengan 199.5 mata manakala pingat perak menjadi milik Prakash Nanjappa dari India dengan 198.2 mata. - BERNAMA


Pertempuran Melambatkan Proses Siasatan MH 17

Gambar fail seorang anggota puak pemisah pro-Rusia menyentuh bangkai pesawat MH17 di lokasi nahas di timur Ukraine. Foto AP
Pula Dah,Tak habis habis bertempur dan bagaimana nak selesai siasatan MH17 yang ditembak jatuh di negara bergolak itu.
Pertempuran antara tentera Ukraine dan puak pemisah pro-Rusia yang memasuki hari ketiga pada Selasa menghalang pasukan penyiasat antarabangsa untuk memasuki lokasi nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di Ukraine, kata Kementerian Keadilan Belanda.
"Kumpulan pakar Belanda dan Australia tidak meninggalkan Donetsk untuk ke lokasi nahas di timur Ukraine. Ketika ini terlalu banyak pertempuran berlaku di kawasan sekitar nahas," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Di Kiev, pada Isnin, tenteranya memasuki bandar berhampiran lokasi nahas MH17 di timur Ukraine, termasuk Shakhtarsk yang terletak kira-kira 10 kilometer.
Polis Australia dan Belanda memerlukan akses untuk ke lokasi nahas bagi mencari baki mayat daripada 298 mangsa yang masih berada di kawasan itu.

Lebih 200 mayat ditemui dan dihantar ke Belanda untuk proses pengecaman. - AFP
Nak tak nak pun kita negara Malaysia terpaksa terima lambat atau sebaliknya untuk selesaikan masalah MH17 ynag terhempas dan mengorbankan banyak penumpang.

Monday, 28 July 2014

Mohd. Hafifi Mansor Raih Pingat Emas

Hari ini kita boleh berbangga dengan kejayaan anak muda negara ini apabila beliau berjaya meraih pingat emas pertama dalam sukan Komanwel XX

Atlet angkat berat negara, Mohd. Hafifi Mansor telah menepati ramalan apabila dia meraih pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Komanwel XX.

Mohd. Hafifi,  yang kini berusia 24 tahun, mengambil bahagian dalam kelas 69kg, telah menampilkan aksi begitu cemerlang dengan jumlah angkatan 305kg menerusi snatch 135kg dan clean & jerk 170kg pada final di Scottish Exhibition and Conference Centre Precint di sini.Syabah anak muda negara Malaysia.

Biasalah bila berjaya orang akan puji,harap-harap tuan badan tidak termakan pujian diatas kejayaan ini.

Gaza:Kemeriahan Aidilfitri Direntap

GAZA 27 Julai - Kira-kira 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri esok sebagai menandakan kemenangan selepas sebulan menunaikan ibadah puasa.
Bagaimanapun, di Genting Gaza, keadaannya berbeza apabila kedatangan Syawal 'diraikan' dengan tangisan dan suasana penuh kesedihan berikutan serangan kejam Israel selama 21 hari yang meragut nyawa lebih 1,050 nyawa.

Lebih 100,000 pelarian Palestin terpaksa 'menyambut' lebaran di kem-kem serta kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang turut menjadi sasaran roket rejim Zionis sebelum ini.
Penduduk Gaza juga kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah sama sekali dibedil Israel.

Sambutan Aidilfitri juga tiada erti selepas mereka kehilangan orang tersayang dalam serangan rejim Yahudi itu ke atas kawasan perumahan penduduk Palestin.
Situasi di Genting Gaza juga masih tidak menentu apabila rejim Israel terus melancarkan serangan tanpa belas kasihan ke atas penduduk awam Palestin.

Seorang penduduk Islam, Sabreen al-Ziyara berkata, Aidilfitri tahun ini tidak bermakna sebaliknya Syawal akan disambut sebagai hari kemenangan buat penduduk Palestin yang syahid.
Israel sebelum ini menolak usul gencatan senjata selama tujuh hari sempena kedatangan Syawal bagi memberi kesempatan kepada penduduk Gaza menyambut Aidilfitri.
Tindakan itu jelas menunjukkan kebiadaban rejim Zionis tersebut yang langsung tidak menghormati bulan mulia penganut Islam.

Selain Malaysia, antara negara yang turut meraikan Aidilfitri esok adalah Singapura, Thailand, Arab Saudi, Thailand, Emiriyah Arab Bersatu, Amerika Syarikat dan Australia.
Aidilfitri dijangka disambut pada hari Selasa oleh penganut Islam di United Kingdom, Filipina dan Pakistan.

Malaysia Masih Runding Gencatan Senjata

UTRECHT (Belanda) 28 Julai - Kerajaan Malaysia kini sedang berunding dengan kerajaan Ukraine dan kumpulan pemisah, Republik Rakyat Donetsk, untuk mencapai gencatan senjata bagi memastikan laluan selamat untuk pasukan penyiasat antarabangsa memasuki lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Torez, timur Ukraine.

Ketua Pasukan Siasatan Khas Malaysia, Khairil Hilmi Mokhtar berkata kawasan gencatan senjata yang dirundingkan adalah berada dalam lingkungan kira-kira 35km di lokasi nahas MH17 yang terhempas pada 17 Julai lepas.

Beliau berkata rundingan gencatan senjata itu bertujuan untuk membolehkan pasukan penyiasat antarabangsa, yang terdiri daripada Malaysia, Belanda dan Australia, mendapatkan semula sisa-sisa mayat mangsa dan bangkai pesawat Boeing 777-200ER untuk siasatan.

"Casis pesawat telah berselerak di sekitar kawasan tragedi itu dan ini adalah cabaran untuk kumpulan penyiasat untuk melaksanakan tugas mereka," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Ahad.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, terhempas di Donetsk, wilayah timur Ukraine, dipercayai ditembak jatuh, ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. - BERNAMA

Lima maut, empat parah dalam nahas jalan raya di Gua Musang

Lima maut dan empat parah dalam dua nahas jalan raya di sini hari ini. Dalam kejadian pertama, dua pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Terengganu maut apabila dua kereta berlanggar di Jalan Chiku–Aring di Aring 8 di sini pada kira-kira 10.30 pagi.
Mangsa ialah Mohd Kosim Rashid, 39, yang memandu kereta Produa Alza dan adik iparnya, Azliana Ab Kadir, 30, seorang guru di Sarawak dan pulang bercuti untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung.
Mangsa yang parah ialah isteri Mohd Kosim, Arini Ab Kadir, 37, (mengandung tujuh bulan) serta tiga anak mereka, Mohd Aniq Izat Mohd Kosim, 10, Umairi, 9, dan Alisha Balkiq, 6, kini menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Kemalangan kedua pula berlaku di Kilometer 17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai kira-kira pukul 1.30 petang membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan bas persiaran menyebabkan tiga sahabat dalam kereta itu maut di tempat kejadian.
Mereka ialah Suhariza Hassan, 35, dari Kampung Tawang, Bachok; Zulkifli Talib, 46, dari Kampung Temila, Pasir Puteh dan Mohd Zuki Ariffin, 41, dari Kangkong, Pasir Mas.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Saiful Bahri Abdullah berkata dalam insiden pertama, kereta dipandu Mohd Kosim dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Bertam, Gua Musang dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung Nissan Grand Livina.
Beliau berkata kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Dalam insiden kedua, kereta dinaiki mangsa yang maut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pasir Puteh.
"Kejadian itu dipercayai berpunca daripada kereta dinaiki mangsa yang cuba memotong kenderaan lain dan tidak lepas sebelum bertembung bas persiaran yang datang dari arah bertentangan,” katanya. - BERNAMA

9 pelajar India di Indonesia dakwa ditipu agensi pengambilan pelajar

Malang tidak berbau! itulah nasib kiira-kira sembilan pelajar India yang berhasrat meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di tanah seberang sebelum berakhir dengan tragedi.
Wartawan Akhbar Thina Kural Aghalya Darmalingam hari ini melaporkan, sembilan pelajar India berkenaan gagal meneruskan pengajian perubatan di Universiti Sumatera Utara, Indonesia tetapi tidak sempat menamatkan kursus perubatan yang diminati selain tidak dapat meneruskan pengajian di sini juga menyebabkan para ibu bapa mereka bimbang.
Kesemua pelajar menjadi mangsa ialah G, Nagananthini, M.Bathmasundari, M.Selvam, T.Shobana, Gayathri Naidu, Arvin, K.Sanjana dan Dharmendra Prasanth.
Mereka telah ke Indonesia untuk melanjutkan pengajian perubatan menerusi sebuah syarikat swasta bernama Eagle Eye Holdings Sdn. Bhd yang berperanan sebagai ejen mengambil pelajar perubatan ke universiti luar negara.
Malah lapor akhbar itu lagi, kesemua ibu bapa pelajar berkenaan difahamkan telah membayar yuran pengajian berjumlah RM80,500 merangkumi yuran penggal pertama (6 bulan), pendaftaran, yuran penginapan, insurans perlindungan serta yuran Visa kepada syarikat swasta itu.
Namun, masalah bermula terhadap pelajar terbabit ketika melangkah ke penggal kedua pengajian apabila tiba-tiba universiti berkenaan mengarahkan para pelajar berkenaan untuk menjelaskan wang pengajian tambahan RM10,000 untuk menduduki peperiksaan penggal kedua kelak selain menaikkan nama peajar terbabit di papan notis kampus berkenaan.
Menurut akhbar itu lagi, para ibu bapa yang terkejut denga berita itu telah menghubungi syarikat swasta bertanggungjawab itu sebelum dimaklumkan bahawa yuran pengajian telah dinaikkan.
Segala tipu muslihat akhirnya terbongkar apabila ibu bapa pelajar-pelajar malang itu terus menghubungi universiti terbabit di Indonesia sebelum mendapat tahu agenda jahat syarikat swasta yang mengutip bayaran daripada kesemua pelajar terbabit.
Para ibu bapa terkejut apabila dapat dimaklumkan universiti terbabit bahawa syarikat swasta bernama Eagle Eye Holdings Sdn.Bhd. itu, tidak mendaftarkan pengajian sembilan pelajar berkenaan menerusi 'Program Mandiri' Universiti Sumatera Utara berkenaan.
Sebaliknya syarikat swasta itu didakwa ibu bapa bahawa secara tersembunyi telah mendaftar nama kesemua sembilan pelajar itu dalam program berkembar bersama Allianz Universiti Kolej of Medical Science di Pulau Pinang.
Berikutan itu, kesemua pelajar malang ini terpaksa menghabiskan tiga tahun di universiti Indonesia dan baki dua tahun di Malaysia. Lebih mengejutkan, kolej universiti berkenaan pula berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sembilan pelajar tersebut menyebabkan ibu bapa panik dan bimbang.
Akhbar itu memetik salah seorang ibu bapa pelajar, N. Nyanasegaran mendakwa pihaknya telah melaporkan insiden ini kepada Kementerian Pendidikan serta Persatuan Penasihat Pengajian Perubatan Malaysia yang mana kedua-dua pihak didakwa enggan mengambil tindakan.
Malah para ibu bapa dimaklumkan bahawa hanya Jabatan Pendaftar Perniagaan berhak bertindak dalam hal ini .
Disebabkan kesemua pelajar tidak memalu proses pendaftaran yang sah dan sumber yang betul, mereka kini berdepan dilema untuk meneruskan pengajian perubatan di Indonesia.
Nyanasegaran turut mengingatkan agensi syarikat swasta itu supaya memulangkan semula yuran sekurang-kurangnya RM80,500 atau mengesyorkan kesemua sembilan pelajar malang itu supaya diterima semula di universiti Sumatera tersebut. - Thina Kural

Bayi Meninggal Dunia Tercampak Keluar Dari Kereta

KUALA TERENGGANU: Seorang bayi berusia lima bulan meninggal dunia selepas tercampak keluar dari kereta dalam kemalangan di KM110, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Ladang Espek Risda, Bandar Al Muktaffi Billah Shah, Dungun, tengah hari Jumaat.

Muhammad Ammar Mohd Sobri meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala. 

Ketua Polis Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata kanak-kanak itu berada dalam dakapan neneknya di tempat duduk belakang apabila kereta dipandu ibu saudaranya berada di luar kawalan dan terbalik.

Katanya, ibu saudara bayi, Noor Aini Abu Bakar, 30, patah tangan kirinya sementara nenek bayi mengalami kecederaan di bahagian muka.

Ibu bayi itu, Nor Asikin Abu Bakar, yang juga berada di dalam kereta, mengalami cedera ringan dan mereka semua dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan.

Bayi 10 Bulan Yatim Piatu, Tiga Ahli Keluarga Maut Nahas Ketika Balik Kampung

IPOH: Seorang bayi berusia 10 bulan bergelar yatim piatu setelah kedua ibu bapanya serta kakak berusia tiga tahun maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan bas ekspres di Km 40 Jalan Raya Timur Barat, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Beharum berkata, bayi itu, Nur Umairah Uzma Farizul, turut cedera dalam nahas tersebut dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini.

Kejadian pukul 2.40 pagi itu meragut nyawa pasangan suami isteri Farizul Ahmad, 29; dan Suraida Che Hashim, 29; serta seorang lagi anak mereka Nur Fatiha Uzma, 3, katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Mengulas nahas itu, Abdul Manab berkata, keluarga terbabit dalam perjalanan pulang ke Terengganu untuk menyambut Aidilfitri apabila kereta yang dipandu Farizul bertembung dengan bas ekspres di laluan bertentangan.

"Kereta Proton Pesona yang dipandu Farizul mahu memotong kenderaan di hadapannya namun tidak sempat kembali ke laluan asal lalu bertembung dengan bas yang membawa beberapa penumpang," katanya.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan Farizul dan Nur Fatiha yang duduk di dalam kerusi bayi di tempat duduk hadapan tersepit selepas kereta mereka terperosok di bawah bas.

Pihak bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Menurut Abdul Manab, pasangan suami isteri itu merupakan warga kerja imigresen yang bertugas di Depoh Tahanan Sik, Kedah dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke Felda Jerangau, Ajil, Terengganu.

Harith Iskander Beraya Di Luar Negara Kerana Kerja Lawak

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Harith Iskander terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini kerana terikat dengan siri jelajah 'stand up comedy' menerusi Harith Iskander International Tour 2014.
Harith, 43, berkata, dia berada di New Delhi India pada 26 dan 27 Julai kerana mengadakan persembahan sebelum meneruskan penjelajahan ke Perth, Australia (14 Ogos), Hong Kong (22 dan 23 Ogos) dan Seoul, Korea Selatan (27 September).

"Biarpun sedih kerana terpaksa meninggalkan keluarga pada saat-saat kita ingin menyambut Hari Raya tetapi demi menghiburkan penonton di luar negara saya kena berkorban.

"Selepas tamat persembahan saya akan cuba balik ke Malaysia secepat mungkin untuk bersama keluarga," katanya kepada mStar Online.
Selain India, Hong Kong dan Korea Selatan, Harith Iskander International Tour terlebih dahulu diadakan di Singapura dan Jakarta, Indonesia yang mendapat sambutan hangat daripada peminat pelawak itu.

Dalam pada itu, Harith berkata, pengalaman selama 23 tahun dalam bidang lawak dan komedi digunakan dengan sebaik-baiknya dalam memikat hati penonton antarabangsa terhadap jenaka yang cuba disampaikan kepada mereka. 

Malah kata Harith, menerusi persembahan itu juga dia dapat memperkenal dan mempromosikan Malaysia di mata dunia dengan mesej santai dalam bentuk jenaka.

"Saya mahu orang luar tahu bahawa rakyat Malaysia ini ada humor yang cukup bagus dan akan cuba menarik perhatian mereka dengan cara tersendiri, Malaysian style!," katanya.

Sementara itu, Harith berkata, jelajahnya ke beberapa buah negara diharap dapat membuka mata masyarakat luar tentang Malaysia menerusi medium hiburan terutamanya komedi.

Elfira Loy Beraya Di Lombok

PETALING JAYA: Pelakon Elfira Loy memberitahu akan meraikan Hari Raya Aidilfitri kali ini di Lombok, Indonesia.

Elfira, 20, berkata, dia dan keluarganya akan berlepas ke Lombok itu pada hari raya kedua dan berada di pulau itu selama lima hari.

“Pada Hari Raya kali ini saya akan beraya di Lombok bersama keluarga.

“Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke pulau itu dan tidak sabar untuk melakukan sukan air bersama adik-beradik,” katanya.

Menurut Elfira, aktiviti beraya di perantauan sudah menjadi kebiasaan bagi keluarganya setiap tahun.

Katanya, ia merupakan masa yang sesuai untuk dia sekeluarga berkumpul dan melakukan aktiviti bersama.

“Saya dan keluarga suka pulau kerana suasana persekitaran yang menenangkan jiwa. Raya sebelum ini kami sekeluarga beraya di Maldives.

“Masa inilah saya dan adik-beradik dapat berkumpul kerana di hari biasa masing-masing sibuk dengan urusan sekolah dan kerja,” ujarnya.

Sementara itu, Elfira berkata, selepas pulang daripada Lombok, dia akan terbang ke Manchester, England untuk penggambaran drama selama dua minggu.

Lisa Surihani Rasa Sayu Setiap Kali Hadirnya Syawal

PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani mengakui setiap kali tibanya Syawal, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih apabila terkenangkan arwah bapanya, Mohammad.
Lisa berkata, hatinya terasa kosong dan seperti ditinggalkan setiap kali menjelangnya Hari Raya.

"Selepas kematian bapa, saya rasa hidup saya kosong terutama pada hari-hari awal Hari Raya, saya rasakan semuanya tidak seperti biasa.

"Perasaan sayu akan bertandang setiap kali masuknya Syawal dan ia menjadi lebih syahdu apabila semua ahli keluarga berkumpul," ujarnya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, Lisa akui selepas berkahwin dengan pengarah filem Yusry Abdul Halim kekosongannya mula terisi sedikit demi sedikit.

Dia mula merasai keterujaan untuk menyambut Hari Raya seperti dahulu.

"Setelah saya berkahwin perasaan sayu dan kosong itu semakin hilang. Yusry mengisi dan memberi rasa teruja dan beri semangat untuk saya meraikan Lebaran," ujarnya.

Dalam pada itu, Lisa juga mengakui Aidilfitri juga merupakan hari untuk memperingati bapanya yang meninggal dunia pada Syawal 2008.

Dia sentiasa memastikan sambutan hari mulia ini dibuat dengan penuh kesyukuran.

"Pada tahun 2008 kami sekeluarga beraya di hospital kerana bapa sedang dirawat akibat kanser. Kami sempat meraikan bersama-sama sebelum ayah meninggal dunia," ujarnya.

Dua Remaja Maut, Teksi Dinaiki Langgar Pokok

SEREMBAN: Tindakan remaja berusia 13 tahun memandu teksi milik bapanya tanpa pengetahuan keluarga berakhir dengan tragedi yang meragut nyawanya dan rakan berusia 15, apabila teksi itu terbabas dan melanggar pokok getah dalam kejadian di Jalan Gadong-LBJ dekat sini malam Sabtu.


Jurucakap polis berkata, dalam kejadian 11 malam itu, Muhammad Nazrin Aziz, 13, dan Muhamad Alif Mohamed Zabri, 15, dari Taman Gadong Jaya, maut di tempat kejadian.

Akibat rempuhan yang kuat kedua-duanya tercampak keluar dari teksi dan mengalami kecederaan parah pada badan dan kepala, kata jurucakap itu kepada pemberita di sini, Ahad.

Menurutnya siasatan awal polis mendapati Muhammad Nazrin bertindak memandu teksi bapanya untuk bersiar-siar bersama Muhamad Ali ketika keluarganya keluar membeli persiapan raya.

Mayat kedua-dua remaja itu dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Trafik negeri Superintandan Abdul Aziz Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian.