728x90 AdSpace

  • Latest News

    Tuesday 3 October 2017

    Teks Ucapan Perdana Menteri Di MAPPA XV 2017




    TEKS UCAPAN

    YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
    PERDANA MENTERI MALAYSIA

    SEMPENA
    ​MAJLIS AMANAT PERDANA PERKHIDMATAN AWAM KE-15
    (MAPPA XV)

    PADA 3 OKTOBER 2017 (SELASA), JAM 9.30 PAGI

    BERTEMPAT DI
    DEWAN PLENARI, PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC), PUTRAJAYA

    TEMA
    "ASPIRASI PERKHIDMATAN AWAM MENUJU TN50: PENYAMPAIAN
    UNTUK KESEJAHTERAAN RAKYAT DAN NEGARA”










    (Nota)


























    Bismillahir Rahmanir Rahim,
    Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi Nasta’in,
    Semulia-mulia selawat kepada Rasul Junjungan, dengan lafaz, Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad, Wa a’la A-li Saidina Muhammad.

    Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
    Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

    YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
    Timbalan Perdana Menteri,

    YB Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri

    YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa
    Ketua Setiausaha Negara,

    YAB Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri,

    YBhg. Tan Sri Zainal Rahim Seman
    Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,

    YBhg Dato’ Azih Muda
    Presiden CEUPACS

    Tan Sri-Tan Sri, Dato'-Dato', Datin-Datin, Dif-Dif Kehormat,

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Para Penjawat Awam dikasihi sekalian.


    1. Alhamdulillah, dimulai segalanya dengan mengatur rasa syukur setinggi-tingginya ke hadrat Allah SWT, yang telah dengan Izin Rahmat dan Kurnianya, memungkinkan kita bertemu sempenaMajlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam bagi Kali Ke-15.

    2. Pertamanya, kita ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Ali Hamsa, selaku Ketua Setiausaha Negara dankepada Yang Berbahagia Tan Sri Zainal Rahim Seman, sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, di atas penganjuran MAPPA ini, yang sesungguhnya merupakan satu perhimpunan terbesar lagi terpenting kepada Perkhidmatan Awam.

    3. Pada pagi ini sahaja, saya dimaklumkan bahawa kehadiran para penjawat awam yang mewakili pelbagai agensi, Kementerian dan skim perkhidmatan serta kumpulan profesional jugakakitangan pelaksana, yang datangnya dari utara Perlis membawa ke nun jauh dari Sabah dan Sarawak. Terima kasih dan marilah sama-sama kita berikan tepukan kepada sekalian yang hadir!






    4. Seperti yang kita dapat lihat, bak kata orang dulu-dulu, kesemuanya lebih 5 ribu orang berbondong-bondong duduk bersama di dalam dewan hingga melimpah ke ruang-ruang legar Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, sebagai bukti teguh dan berpadunya para penjawat awam, dalam satu Perkhidmatan yang menjadi TUNJANG PALING UTAMA kepada Kerajaan serta Negara, khususnya sejak 60 tahun kita meraih kemerdekaan.


    5. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, inilah semangat,... inilah jiwa,... dan inilah dia,... satu kesatuan yang terpuji serta kita mahukan, demi mengangkat tinggi martabat Perkhidmatan Awam Malaysia, untuk terus memacu kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat sampai bila-bila.

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    6. Kalau disusur dari segi sejarah, bermulanya perkhidmatan awam di negara ini, adalah sekitar tahun 1934, yang ketika itu dikenali sebagai Malayan Establishment Office, membawa kepada tahun 1954 diubah kepada Federation Establishment Office, kemudiannya pada tahun 1967 dikenali pula sebagai Establishment Office of Malaysia, sehinggalah kepada tahun 1968 ditukar lagi kepada Jabatan Perkhidmatan Awam yang kekal sampai hari ini.


    7. Oleh itu, pastinya, sepanjang kira-kira 83 tahun, perjalanan Perkhidmatan Awam negara ini, pra dan pasca kemerdekaan, hingga ke era pembangunan serta kemajuan dewasa ini, telah menempa satu tempoh yang panjang, penuh dengan pengetahuan serta sarat meng-gendong pengalaman.

    8. Apa yang ingin saya katakan adalah, saya yakin dan percaya Perkhidmatan Awam di negara ini, nyatanya, telah sampai kepada satu tahap keampuhan dan kematangan yang mampu menjadi serta selayaknya dipersiagakan bukan sahaja pada paras ini, tetapi yang lebih utama daripada itu, adalah untuk mencorakkan Malaysia bagi tempoh 30 tahun yang mendatang.

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    9. Dalam pembangunan sesebuah negara mahupun tamadun, pelbagai ayat suci Al-Quran dan hadis serta pedoman agama haruslah sentiasa diambil sebagai panduan dan pengajaran.

    10. Umpamanya, petikan daripada surah Al-Qasas ayat 26 yang antara tafsirannya merujuk tentang peri-mustahaknya untuk kita, tidak kira pemimpin,golongan teknokrat, para birokrat mahupun rakyat terbanyak, supaya bekerja kuat lagibersungguh-sungguh, dengan penuh amanah juga dipercayai, demi memakmur negara dan mensejahterakan rakyat.

    11. Ini diperteguhkan lagi dengan potongan ayat ke-15 surah As-Saba’ yang menyebut bahawa, Allah SWT telah mengiktiraf kemajuan dan kemewahan serta kesejahteraan penduduk di negeri Saba’, selagi mana mereka mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Ilahi, negaratersebut akan terus berada dalam keadaan yang baik lagi makmur, di bawah lindungan Tuhan sekaligus mendapat keampunan dan keberkatan daripadaNya.

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    12. Merujuk kepada maksud dan tafsiran ayat-ayat tersebut serta cedukan daripada pelbagai hikmah, kita dapati terdapat elemen-elemen yang begitu signifikan dalam membikin serta membangun sesebuah negara bangsa.

    13. Elemen-elemen tersebut antaranya, setiap pihak perlu mengerti bahawa tertegaknya sesebuah Kerajaan, negara dan jati diri sesebuah negara bangsa bukanlah secara tiba-tiba atau terjadi dengan sendirinya. Bak kata pepatah Inggeris, indeed,… Rome was not built in a day.

    14. Sebaliknya, ia menagih keringat, pengorbanan, ikhtiar, sekaligus usaha yang bersungguh-sungguh. Dan,… apabila kejayaan menjelang tiba, kita perlulah bersyukur kepada segala nikmat yang dilimpahi agar kejayaan itu akan diberkati dan ditambah-tambah lagi. InsyaAllah.

    15. Maka bertolak dari situlah, dalam konteks negara ini, paling mutakhir, Malaysia semakin diakuisebagai antara Pelaku Global utama dunia, apabila Laporan Daya Saing Global 2017/2018 oleh Forum Ekonomi Dunia, yang meletakkan negara ini berada pada tempat ke-23 dari 137 buah negara, bagi ekonomi yang paling berdaya saing di dunia.

    16. Malah, bukan sekadar itu sahaja, dalam laporan yang sama, Malaysia berada pada kedudukan ke-15 dalam senarai perbelanjaan Kerajaan yang paling efisien, mengatasi negara-negara Eropah dan Asia lain seperti Finland, China,Sweden dan Jepun.

    17. Jelasnya, perkara ini tidak akan berjaya dicapai, tanpa usaha gigih Kerajaan, yang semestinya ditonggak oleh para penjawat awam yang begitu komited menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka mendokong sekaligus menyokong Kerajaan dalam membangunkan negara. Untuk itu, marilah sama-sama kita berikan penghargaan dan tepukan gemuruh kepada semua penjawatawam!

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    18. Apabila kita menghalusi apakah itu takrif yakni pengertian istilah Kerajaan, khususnya yangmenyentuh Perkhidmatan Awam, jika ditelitidan ditafsir daripada perspektif kuasa eksekutif, kita harus fahami dengan jelas bahawa, ia merujuk pertamanya,...
    Kerajaan sebagai satu badan atau institusi yang bertanggungjawab dan diberi kuasa untukmenjalankan sistem pemerintahan, berasaskan fungsi-fungsi undang-undang serta pengurusan juga pentadbiran bagi sesebuah negara atau wilayah.

    19. Kedua, maknanya, sesebuah Kerajaan itu terbentuk daripada komponen atau gabungan Anggota Jemaah Pentadbiran yang dipilih oleh rakyat dan diberikan kuasa secara sah,berdasarkan peruntukan perlembagaan.

    20. Manakala, Perkhidmatan Awam, menjadi Jentera Perkhidmatan Utama untuk penyampaian dan pelaksanaan segala dasar serta inisiatif ‘ThePolitical Master Of The Day’ atau kuasa politik yang memerintah secara sah.

    21. Justeru, kita perlu menggarap baik-baik, terdapat persepsi atau kefahaman bahawa adanya pemisahan yakni, political master of the day tidak ada kena mengena dengan Perkhidmatan Awam, as some would say, the Political Master may come and go, but the civil service remains.





    22. Sebaliknya, Kerajaan yang terbentuk daripadaJemaah Anggota Pentadbiran, sebenarnya satu hubungan hierarki dengan Perkhidmatan Awam, di mana, Kerajaan adalah penentu dasar pentadbiran negara dan dasar tersebut hendaklah dilaksanakan oleh Perkhidmatan Awam dengan berkesan untuk kebaikan negara seperti yang diperintahkan.

    23. Perkara ini sememangnya jarang diperkatakan dengan seterang dan sejelas ini, namun pada pandangan saya, seperti yang disebut tadi, perkhidmatan awam negara ini sudah cukup matang dan berhemah untuk menghadami dan mena’akul ehwal hubung kait yang diutarakan ini, dengan mendalam, kerana antara keduanya tidak boleh terpisahkan.   

    24. Kalau orang seni bilang,... antara pihak anggota pentadbiran dan perkhidmatan awam adalah ibarat ‘aur dengan tebing’, kalau dalam lirik lagu umpama pula ‘bunga dengan tangkainya’.

    25. Lantaran itulah, pepatah juga menyebut, jika ‘dicubit peha kanan, peha kiri pun terasa’.Ertinya, apabila pihak lawan atau pembangkang, memperlekeh, mentohmah atau memfitnah Penjawat Awam, maknanya cacian atau kata-kata nista itu, seumpama menghina secara langsung pihak Kerajaan secara keseluruhannya dan begitu jugalah sebaliknya.

    26. Oleh sebab itulah, kita sama-sama berasa amat tersinggung dan marah, apabila terdapat sesetengah pihak khususnya dari pembangkang, yang sesuka hati menuduh kononnya perkhidmatan awam negara ini sebagai “bloated civil service” yakni sudah terlebih bilangannya, berbanding negara-negara lain di dunia dan jika mereka berkuasa, dengan angkuhnya, mereka mahu mengurangkan separuh daripada jumlah penjawat awam.

    27. Sebenarnya, adalah tidak adil untuk membandingkan jumlah penjawat awam di negara ini dengan negara-negara lain. Kerana, sesuatu yang harus pembangkang fahami ialah takrifan penjawat awam di negara ini adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan yang meliputi sektor perkhidmatan kesihatan seperti doktor dan jururawat, anggota keselamatan termasuk tentera serta polis dan warga pendidikan yang merangkumi  hampir setengah juta para guru.

    28. Sedangkan, di sebahagian negara-negara lain,mereka tidak menghitung pekerja dalam sektor kesihatan, keselamatan dan pendidikan sebagai penjawat awam.

    29. Bukan setakat itu sahaja, pihak pembangkang tergamak melabelkan penjawat awam dan memberi tanggapan negatif selain menyelar secara semberono bahawa, perkhidmatan awam ini sebagai ‘tidak cekap’, ‘makan gaji buta’ dan sungguh keterlaluan, apabila ada pemimpin pembangkang  sanggup menghina penjawat awam sebagai ‘kucing kurap’.

    30. Bayangkanlah tuan-tuan dan puan-puan, apa akan terjadi kepada untung nasib sebahagian besar penjawat awam, sekiranya pembangkang dibiarkan memerintah negara ini?

    31. Sanggupkah Tuan-Tuan dan Puan-Puan mempertaruhkan masa depan sekalian dan anak cucu keturunan kita kepada pihak yang sedemikian ini?

    32. Jadinya, seperti yang saya sebutkan di awal ucapan tadi, hatta ajaran agama pun menuntut agar kita bersyukur dengan nikmat yang sedang dikecapi dan tidak secara mudahnya, kita patut membiarkan tanahair bertuah ini jatuh ke tangan mereka yang tidak menghargai sumbangan dan susah payah parapenjawat awam.

    33. Kerana itulah, Kerajaan yang ada ini, sejak puluhan tahun, amat-amat menyanjung tinggi dan berterima kasih kepada para Penjawat Awam yang telah sekian lama bersama pentadbiran Kerajaan, saling ganding-berganding, lengkap-melengkapi dan dokong-mendokongi.

    34. Sebagai bukti bahawa Kerajaan yang ada, terutama sejak 8 tahun kebelakangan ini, telah berbuat pelbagai inisiatif dan sekian banyak penambahbaikan, demi membela kepentingan dan menjaga kebajikan penjawat awam, antaranya;

    Pertama: Menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 7 peratus hingga 13 peratus pada tahun 2012.

    Kedua: Menaikkan pencen minimum daripada 720 ringgit kepada 820 ringgit, bagi mereka yang berkhidmat selama 25 tahun atau lebih pada 1 Januari 2012.

    Ketiga: Mensetarakan pangkat-pangkat dalam perkhidmatan ATM dan PDRM dengan Perkhidmatan Awam Am, selaras perubahan lapisan-lapisan gred jawatan atau gred gaji, pada 1 Januari 2013. Juga, pelaksanaan kenaikan pangkat anggota Polis dan Angkatan Tentera berpangkat Konstabel, Prebet dan Lans Koperal berdasarkan time-based.

    Keempat: Penetapan gaji terendah daripada 832 ringgit kepada 1,200 ringgit sebulan mulai Julai 2016.

    Kelima: Melaksanakan dasar di mana pegawai lantikan kontrak yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun boleh dilantik secara tetap mulai 1 Julai 2016;

    Keenam: Pemberian pergerakan gaji tahunan sebanyak 3 peratus setahun kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum;

    Ketujuh: Memanjangkan kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh kepada Kumpulan Pelaksana bermula Tahun 2017 ini dengan peruntukan sebanyak 15 juta ringgit; dan

    Kelapan: Mewujudkan kaedah kenaikan pangkat secara time-based kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan Pegawai Perubatan.

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    35. Selain daripada penambahbaikan daripada segi struktur gaji dan perkhidmatan, Kerajaan turut melaksanakan penambahbaikan dari sudut kebajikan penjawat awam. Contohnya:-

    Pertama: Melancarkan Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M sejak tahun 2013, di mana sebanyak 200 ribu unit rumah akan disiapkan menjelang tahun 2020.

    Kedua: Menaikkan kadar  Bantuan Sara Hidup atau COLA sebanyak 50 ringgit sebulan pada tahun 2012 bagi penjawat awam yang tinggal di kawasan-kawasan pinggir bandar; dan

    Ketiga: Menaikkan Imbuhan Tetap Perumahan atau ITP minima kepada 300 ringgit sebulan pada tahun 2015. Manakala, 25 peratus ITP turut diterima oleh penjawat awam yang mendapat kemudahan kuarters.

    36. Tidak dilupakan juga, kepada para pesara, kita telah menaikkan kadar pencen terendah daripada 720 ringgit pada tahun 2012, kepada 950 ringgit sejak 1 Julai 2016 lalu.

    (pause, minum air dahulu)

    37. Apa yang penting di sini, kesemua kemudahan dan imbuhan yang dinikmati oleh Penjawat Awam adalah kerana hubungan kerjasama yang kukuh di antara Kerajaan dan Perkhidmatan Awam yang cekap lagi efisyen.

    38. Barulah wujudnya satu simbiosis yang mantap dalam memecut dan to leapfrog atau melonjakkan Malaysia supaya tersenarai dalam kelompok 20 negara termaju serta terbaik di dunia menjelang tahun 2050.

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

    39. Seandainya, benar penjawat awam ini tidak cekap seperti yang dituduh, mana mungkin kita mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

    40. Sebagai contoh, projek UTC dan RTC yang merupakan game changer dalam perkhidmatan awam, juga diakui Bank Dunia sebagai model terbaik perkhidmatan Kerajaan di dunia kerana mampu menjimatkan perbelanjaan Kerajaan sehingga dua bilion ringgit. Lebih daripada itu, ditempatkan di bawah satu bumbung yang mempunyai pelbagai perkhidmatan yang diperlukan rakyat.

    41. Jika dahulu, perkhidmatan memperbaharui pasport mengambil masa sehingga 10 hari bekerja, kini cuma memerlukan satu jam sahaja, berbanding di UK dan Australia misalnya, proses memperbaharui pasport mengambil masa selama tiga minggu. Malah, sistem pembaharuan pasport atas talian sedang melalui tempoh ujian. Inilah yang dinamakan inovasi dalam mentransformasikan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

    42. Dari aspek perkhidmatan kesihatan pula, hanya Malaysia sebuah negara yang berupaya menyediakan perkhidmatan dengan bayaran cuma satu ringgit, khususnya melalui Klinik 1Malaysia.

    43. Di samping itu, melalui Projek Infra Rakyat MRT Laluan Sungai Buloh–Kajang, yang telah dapat disiapkan menepati jadual, telah dapat menjimatkan sebanyak 2 bilion ringgit daripada kos asal pembinaan.

    44. Ini merupakan “success story” bagi projek yang dibiayai secara langsung oleh Kerajaan. Struktur yang baik dari segi tadbir urus, pembiayaan, mahupun implementasi, ternyata menjadi critical success factors kepada projek MRT ini.

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    45. Manakala, terhadap Kerajaan pula, secara langsung, pihak tidak bertanggungjawab, khususnya pembangkang, tidak habis-habis menabur fitnah, menghasut dan memesongkan pemikiran dengan membuat tuduhan demi tuduhan yang tidak berasas, dengan niat yang jahat untuk menjatuhkan Kerajaan yang ada secara tidak demokratik.

    46. Mereka juga menuduh kononnya, Malaysia adalah ‘A failed State’, yakni negara yang gagal dan bakal menjadi bankrap serta kedaulatan negara sedang dijual kepada beberapa kuasa besar asing seperti China, India dan Arab Saudi.

    47. Terbaru, dituduh pula kita hendak menggadaikan negara kepada Amerika Syarikat, apabila kita menjalinkan hubungan baik dan perdagangan dengan negara berkenaan. 

    48. Jika benarlah Malaysia negara gagal seperti ditohmah, mengapa fakta menunjukkan sebaliknya yakni, KDNK negara berkembang pada kadar 5.8 peratus di suku kedua 2017 iaitu antara yang tertinggi di dunia?

    49. Seterusnya, bagaimana pula dengan majalah antarabangsa Forbes telah meletakkan Malaysia pada kedudukan paling atas di antara semua negara Asia untuk pelaburan asing?

    50. Waima, agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings juga mengekalkan penarafan kredit Malaysia dengan unjuran stabil pada skor A-?

    51. Bahkan, kalau betul dakwaan pembangkang itu berasas, kenapa pula kedudukan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia kini bertambah mantap lagi kukuh kepada 431.7 bilion ringgit berbanding hanya lebih kurang 60 bilion ringgit sewaktu krisis kewangan Asia Tahun 1997/1998?

    52. Saya juga ingin bertanya, jika Malaysia bukan negara berjaya, mana mungkin pelaksanaan Pusat Transformasi Bandar atau UTC, menyediakan Pusat Khidmat Sehenti yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 10 malam, 7 hari seminggu, tiada lain seumpamanya di dunia?

    53. Andainya lagi Malaysia sebuah negara gagal, bolehkah Majalah International Living memilih negara ini sebagai destinasi persaraan terbaik di dunia bagi tahun 2017?

    54. Tambahan lagi, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, sewaktu lawatan kerja saya ke Amerika Syarikat atas jemputan Presiden Donald Trump, beliau memuji pendirian Malaysia yang anti-keganasan dan dengan sendirinya mengiktiraf Malaysia sebagai negara pelaku global antara yang penting di rantau Asia Tenggara dan di dunia.

    55. Bahkan, sewaktu pertemuan tersebut juga, Kerajaan Amerika Syarikat dalam kenyataan rasmi bersama, telah bersetuju untuk menggesa pihak Myanmar  menghentikan penindasan dan operasi ketenteraan terhadap etnik Rohingya.

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    56. Hakikatnya, sejak mengambil alih pentadbiran negara pada April 2009, saya telah memperkenalkan Dasar Transformasi Nasional atau DTN, yang amat menitik beratkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan berkualiti.

    57. Dengan kesungguhan penjawat awam sebagai tulang belakang kepada prakarsa-prakarsa seperti yang kita rancangkan, pelbagai kejayaan serta pencapaian telah diperolehi oleh negara dengan pengabsahkan oleh Badan-Badan Pemiawaian berwibawa.

    58. Hatta, kita sentiasa bersyukur kepada Allah, melalui pelbagai inisiatif sejak tahun 2009, di bawah NBOS khususnya, Kerajaan telah berjaya menjimatkan sejumlah lebih 3.5 bilion ringgit perbelanjaan negara, melalui pelbagai program berimpak tinggi, dengan kos yang lebih rendah, tanpa berkompromi tentang kualiti dan kuantiti.

    59. Selain itu, pelbagai kejayaan dan pencapaian telah diraih oleh negara antaranya:-

    Pertama: Kita telah berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7 peratus pada tahun 2009 kepada 3.1 peratus tahun 2016.

    Kedua: Dalam tempoh 2009 sehingga 2016, sebanyak 2.26 juta peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan, iaitu pencapaian 69 peratus daripada 3.3 juta yang kita sasarkan pada tahun 2020.



    Ketiga: Berdasarkan Indeks Keamanan Global 2017, Malaysia telah berjaya mengekalkan kedudukan sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia dan ke-29 daripada 163 negara paling aman di dunia.

    Keempat: Dalam Doing Business Report 2017 oleh Bank Dunia, kita berada pada posisi ke-23 dalam Ease of Doing Business dalam kalangan 189 buah negara; dan

    Kelima: Nilai perdagangan Malaysia antara Januari dan Julai tahun ini mencapai 1.008 trilion ringgit, meningkat sebanyak 22.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

    60. Sesungguhnya, dunia kini sedang diselubungi oleh pelbagai ketidaktentuan. Mengambil pengajaran itu, saya ingin menyentuh tiga cabaran utama yang bakal kita tempuhi iaitu:

    61. Pertamanya: Mendepani era “the new order”, geopolitik dan keamanan sejagat. Realitinya, negara kini sedang berdepan dengan cabaran risiko geopolitik baharu dunia yang serius antaranya membabitkan krisis di antara negara-negara Islam di Teluk, program nuklear Korea Utara dan implikasi Brexit.


    62. Malah, sejak akhir-akhir ini pula, kes-kes keganasan, letupan dan pengeboman di tempat-tempat awam oleh kumpulan-kumpulan pengganas dan ekstremisme di pelbagai sudut dunia.

    63. Kita perlu beringat-ingat bahawa, seandainya krisis dan ancaman ini tidak dibendung dengan sebaik mungkin, tempiasnya mungkin akan merebak dan menimpa negara kita. Mohon Allah jauhkandaripadanya.

    64. Oleh sebab itu, Kerajaan sentiasa memantau situasi keamanan dan keselamatan negara, sekaligus berusaha mempastikan agar para penjawat awam tidak terpengaruh apatah lagi terlibat dengan kegiatan puak pelampau ini seperti Daesh dan IS,yang telah menyalahtafsirkan konsep jihad sebenar.

    65. Keduanya: Dalam memelihara kepentingan dan memenuhi kehendak serta kebajikan rakyat, Kerajaan telah melaksanakan prakarsa-prakarsa strategik di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional demi memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

    66. Untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya dalam kalangan B40 dan M40, Kerajaan berusaha gigih menyalurkan pelbagai bantuan dan inisiatif kepada golongan masyarakat yang memerlukan tidak kira di bandar mahupun luar bandar.

    67. Antaranya, inisiatif dan bantuan di bawah jenama 1Malaysia seperti, BR1M, Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, PR1MA serta Klinik 1Malaysia, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia dan bantuan-bantuan kepada para petani, pekebun kecil, nelayan serta para peneroka FELDA dan bermacam lagi subsidi, akan terus diperuntuk serta dipergiat demi kebajikan masyarakat teramai.

    68. Selain itu, Kerajaan ini akan terus memfokus kepada Projek-Projek Infra-Rakyat seperti MRT yang jelas memberi kesan dan impak yang besar. Begitulah juga dengan projek-projek East Coast Rail Link dan High Speed Rail yang kini sedang rancak dan bakal dibina.

    69. Menjengah kemudahan prasarana kepada saudara serta saudari kita di Sabah dan Sarawak pula, kita telah mengotakan janji melalui pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo. Moga-moga saudara dan saudari kita di Sabah dan Sarawak berasa gembira dengan limpahan kemajuan yang tiba di kaki-kaki kampung halaman masing-masing. Hatta, kawasan-kawasan terpencil seperti Kapit dan Ulu Song yang sebelum ini terputus hubungan, kini turut bersama merasa nikmat kemajuan.



    70. Ketiganya: Kemunculan gelombang teknologi baharu yang dikenali sebagai ‘The Fourth Industrial Revolution’ yakni Revolusi Perindustrian Keempat atau IR 4.0 dan era ‘Digital Economy’ atau Ekonomi Digital yang menyebabkan Kerajaan terus berusaha dalam menjayakan Dasar Digital Malaysia.

    71. Sememangnya, IR 4.0 ini berlaku melalui tiga ciri utama iaitu velocity atau kelajuan, breadth and depth atau keluasan dan kedalaman serta systems impact atau impak menyeluruh.
    72. Ini menyebabkan dunia pada masa hadapan akan dipenuhi dengan fenomena-fenomena yang tidak pernah tergambar dek fikiran seperti autonomous car, quantum computing dan artificial intelligence.

    73. Kesemuanya ini menuntut keupayaan perkhidmatan awam dalam memberi respon segera kepada pelbagai teknologi yang mengkacau-ganggu, atau bersifat disruptif ini dan bersedia denganpendekatan yang lebih segar lagi multi-dimensional serta kombinasi top-down danbottom-up, inside-out serta outside-in, khususnya dalam penggubalan dasar, regulasi baharu yang merangkumi hak dan privasi pelanggan, keselamatan, pendidikan, ekonomi serta teknologi pintar. 




    Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    74. Sebetulnya, untuk mara ke hadapan, dalam usaha membina ketamadunan yang lebih cerah lagiunggul, kita tidak boleh sekadar bernostalgia atau hanya bergantung kepada prestasi hari semalam.

    75. Justeru itu, demi mewajah masa depan dalam melakar perjalanan mendakapi aspirasi TN50, Perkhidmatan Awam hendaklah berpegang kepada 6 Falsafah dan Garis Besar Haluan Menuju TN50. 

    76. Pertamanya: Seandainya secara sedar atau pun tidak, pembentukan negara bangsa Malaysia telah dan untuk tempoh 30 tahun mendatang, dicorakkan atas kanvas KERANGKA MAQASID SYARIAH, makanya, perkhidmatan awam sudah semestinya juga, berpandukan jalur-jalur Manhaj yang sudah pun tersulam asasnya, sejak sekian lama, sekurang-kurangnya 60 tahun yang lalu.

    77. Sepanjang tempoh 6 dekad ini, perkhidmatan awam telah bergerak pada landasan yang sama, seiring sejalan dengan Kerajaan, sehingga Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara Islam progresif lagi dinamik, bermanhajkan Maqasid Syariah, dengan berpegang kepada prinsip Wasatiyyah atau moderation, Perlembagaan Persekutuan dan Ideologi Kebangsaan yang kukuh serta tentunya kesinambungan gagasan-gagasan pucuk pimpinan Kerajaan.

    78. Sebenarnya, manhaj Maqasid Syariah yang dipegang oleh Kerajaan, mensasarkan kepada maslahah umum yakni yang mendatangkan kebaikan kepada rakyat terbanyak, dengan mengambil kira tahap kemampuan kebertanggungjawaban Kerajaan mengikut 3 keutamaan, sama ada di peringkat DHO-RU-RIYAT yakni KEPERLUAN ASAS YANG PALING UTAMA, sesuatu yang tidak boleh tidak tanpanya.

    79. Manakala HA-JIY-YAT pula, berkaitan dengan KEHENDAK DAN KEPERLUAN UMUM yang membawa kepada kelapangan hidup, TETAPI TIDAK TERLALU MENDESAK serta ketiganya, TAH-SI-NIYAT sebagai PENGHIAS, PENCANTIK DAN BERSIFAT PENGINDAH semata-mata, dalam memberi kesempurnaan hidup.

    80. Ditambah lagi di peringkat DHO-RU-RIYAT, yang amat mementingkan kepada usaha berterusan dalam pemeliharaan lima prinsip asas utama kehidupan iaitu agama, nyawa, akal, harta benda serta keturunan, khususnya dalam hal-ehwal pembangunan dan kebajikan rakyat serta memajukan negara.

    81. Kesemua dasar, usaha dan pendekatan ini terbukti telah membuahkan hasil apabila laporan State of The Global Islamic Economy 2016/2017 oleh Thomson Reuters, kita bukan sahaja telah menduduki tangga pertama secara keseluruhandaripada senarai 73 buah negara di dunia, bahkan turut diakui sebagai ‘the best developed ecosystem for Islamic Finance in the world,sekaligus KWSP negara ini dilaporkan mempunyai Islamic Saving Plan yakni Pelan Penyimpanan Islam yang terbesar di dunia.
                   
    82. Kedua: Tahun 2017 sebagai “Year of Delivery” atau Tahun Penyampaian, sebagai fokus dan bidang keutamaan. Ertinya, jentera perkhidmatan awam perlu mempastikan bahawa, penyampaian perkhidmatan bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mempunyai nilai kepada rakyat dalam mempastikan segala projek, insiatif dan bantuan yang telah dirancang, benar-benar sampai kepada rakyat.

    83. Jika tidak, sia-sialah segala perancangan dan dasar yang telah digubal oleh Kerajaan, termasuklah pelbagai bajet yang telah diperuntukkan, namun dek kerana salah penyampaian, maka berlakulah ketirisan dan gagal-lah matlamat Kerajaan.

    84. Lantaran itu, aspek delivery atau penyampaian ini,perlu berdarah daging dan bersebati dengan Perkhidmatan Awam, sampai kepada tahap apabila disebut tentang Penyampaian Yang Cekap, ia seharusnya sinonim dengan Perkhidmatan Awam Malaysia. Itulah setinggi-tinggi matlamat yang kita dambakan.




    85. Oleh yang demikian, effective and efficient delivery,Perkhidmatan Awam, yang bukan sahaja menjadi slogan pada tahun ini, tetapi saya tahu pasti bahawa, ia telah menjadi iltizam sejak sekian lama kepada perkhidmatan ini,…apa yang penting ia mesti diperkasakan lagi.

    86. Jadinya, Pengukuhan dan Pemerkasaan Perkhidmatan Awam harus bertumpu dengan menjadikan perkhidmatan awam yang lebih berfokus kepada rakyat, inklusif, dengan penyertaan komuniti dan berbudaya kerja serta perkhidmatan par excellence dengan mempunyai nilai-nilai murni yang membawa kepada keutuhan organisasi.

    87. Selain itu, saya menyeru agar para penjawat awam tidak bekerja dan terus terkongkong dalam ‘silo’ masing-masing atau mengamalkan “turf management”, yakni mengatakan itu hak kita, orang lain jangan campur tangan atau ambil kisah, sehingga boleh mengundang karenah birokrasi yang menyukarkan rakyat.

    88. Sedangkan amanah dan tanggungjawab Perkhidmatan Awam, adalah sebagai pemudahcara dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. Barulah secara kolektifnya, Kerajaan akan dipandang tinggi dan dihormati oleh rakyat.

    89. Ketiganya: Satu lagi nilai yang sangat penting dalam kepimpinan dan organisasi ialah prinsip Wala’ dan Kesetiaan, yakni memberi kepatuhan, sumpah setia, ketaatan serta bai’ah yang wajib kepada seseorang pemimpin yang sah dan institusi kepemimpinan serta kemuncaknya anggota pentadbiran Kerajaan,…

    Selagi mana, radar kepimpinan dan kepemimpinan itu masih kekal berada dalam parameter maslahah umum serta tidak terjadinya unsur-unsur kezaliman.

    90. Pokoknya, jika prinsip dan nilai Wala’ serta Kesetiaan ini menjadi amalan dalam Perkhidmatan Awam, barulah adanya disiplin dan kelancaran dalam organisasi yang menunjangi Kerajaan ini.

    91. Malahan, Ibnu Khaldun sendiri, seorang tokoh ilmuwan besar Islam yang sangat terkenal dengan karya agungnya, “Muqaddimah”, bukan sahaja menghuraikan tentang ketamadunan secara umum, bahkan turut mengupas tentang kepentingan sifat kesetiaan sebagai pemacu kepada tadbir urus yang benar-benar profesional.

    92. Turut disebut oleh Ibnu Khaldun lagi, bahawa, golongan yang memiliki nilai kesetiaan tinggi adalah mereka yang hingga sanggup berkorban nyawa dalam melunasi setiap amanah yang diberikan. Begitulah tingginya nilai Wala’ dan Kesetiaan dalam organisasi seperti yang dituntut dalam ajaran agama.

    93. Keempat: Budaya Kerja Di Luar Kelaziman yang bermaksud, bekerja melepasi dan melangkaui tahap keupayaan lazim atau kebiasaan, di luar lingkungan kotak pemikiran biasa, demi keberhasilan yang luar biasa.

    94. Ini termasuklah juga meraikan idea-idea baharu dan sentiasa melakukan penambahbaikan, demi mencapai keberhasilan, selain mempiawai diri serta meningkatkan kompetensi dan nilai tambah, supayaour benchmarking, bukan lagi sekadar menjadijaguh kampung, akan tetapi untuk menjadiPelaku Global yang lebih sistematik dan berdaya maju.

    95. Selanjutnya, Kerajaan juga menyarankan agar, para penjawat awam di negara ini terus melipat gandakan usaha, dalam melatih diri menjadi multi-tasking, multi-skills dan multi-talented, berbudaya kreatif lagi berinovatif, yang mampu menyumbang kepada budaya kerja ‘high productivity’, ‘high value’, ‘high thinking’, ‘high skills’ dan ‘highly motivated’, untuk sentiasa bekerja keras bagi mencapai kejayaan untuk negara.

    96. Dalam hal demikian, pada minggu lepas, Kerajaan telah mentransformasi dan menjenamakan semula Institusi TVET di negara ini menjadi “TVET Malaysia”, dengan menggabungkan 7 Kementerian di bawah satu kerjasama unggul lagi bersepadu, bagi melatih warga dan anak-anak muda Malaysia untuk menjadi tenaga kerja teknikal yang berkemahiran tinggi.

    97. Mustahaknya di sini, civil servants must transform to be more efficient, breaking the traditional boundaries, to go beyond the usual achievements, and more importantly, we must always raise the bar high and continue to keep the bar high to create more success stories for Malaysia.

    98. Kelima: Menjengah masa depan, ke arah Revolusi Perindustrian Keempat dan Ekonomi Digital Menuju TN50, dunia kontemporari kini berada dalam transisi, yang bakal menyaksikan massive structural change dan membawa bersamanya teknologi yang bersifat disruptif dan breakthrough;

    Daripada robotik dan artificial intelligence kepada teknologi nano; daripada the Internet of Things kepada analitik kesihatan, yang membawa satu quantum leap kepada kehidupan kita.

    99. Ketika itu, negara bakal menikmati kebestarian kehidupan, merangkumi pelbagai bidang seperti smart energy, smart mobility, smart healthcare, smart infrastructure, smart governance and smart citizens.






    Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    100. Berhubung itu, berbalik kepada realiti Malaysia dan  Perkhidmatan Awam khususnya serta pasaran kerja dunia secara keseluruhannya, telah mula timbulnya kebimbangan bahawa pelbagai sektor dan bidang pekerjaan tidak lagi wujud, sebaliknya diambil alih oleh teknologi terkini seperti artificial intelligence dan automasi.

    101. Dalam konteks yang lebih luas, kerana itulah Kerajaan ini mempunyai visi yang menjangkau jauh ke depan, dengan mengambil serius akan perkembangan semasa dan berusaha melakukanlangkah-langkah proaktif dalam menangani hal tersebut, dengan menceburi bidang Digital Economy yang dianggap sebagai industry of the future. Di sinilah, sebagai sebuah Kerajaan kita perlu menggunakan teknologi digital untuk melonjakkan mutu penyampaian perkhidmatan.

    102. Apa yang ingin saya katakan adalah, bermula dari sekarang kita bukan lagi seperti lazimnya bekerja keras semata-mata, tetapi urusan kerja dapat dimangkinkan dengan hasil lonjakan yang berganda melalui penggunaan kemudahan kemajuan bidang teknologi digital seperti membolehkan orang ramai memperbaharui lesen, cukai jalan, pasport, penggunaan sistem MyEG, hinggakan laporan polis pun boleh dibuat secara online.


    Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    103. Akhir sekali, Falsafah dan Garis Besar Haluan yang keenam kepada Perkhidmatan Awam Menuju TN50 adalah Merekayasa Malaysia untuk menjadi negara maju yang mencapai pengertian Al-Falah, yakni Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi, sebagaimana yang diseru dalam surah Al-Baqarah ayat 201.

    104. Sesungguhnya lagi, tiada siapa yang tahu, apakah rupa bentuk dan wajah dunia amnya dan Malaysia khususnya, tatkala menyinsing fajar subuh tahun 2050 kelak.

    105. Akan tetapi, Allah SWT sukakan hamba-hambanya terus merancang masa depan, bekerja dan bertawakal, tanpa duduk bersimpuh dengan hanya berserah kepada keadaan serta nasib.

    106. Lalunya, dari perspektif Perkhidmatan Awam, saya menyeru kepada semua penjawat awam supaya membuat persediaan rapi dan merencana strategi berkesan dari sekarang, khususnya untuk menongkah dengan beberapa fasa perubahan menuju TN50, di mana Malaysia disasarkan akan menjadi:

    i) High Income Advanced Economy pada tahun 2020;

    ii) Nilaian ekonomi dan dagangan semasa menjadi 2 trilion ringgit pada tahun 2025;

    iii) Revolusi Perindustrian Keempat mula memberikan impak yang signifikan pada tahun 2030;

    iiii) Negara kompetitif bersifat hampir ‘zero defects’pada tahun 2040; dan


    v) Sebuah ketamadunan unggul, tersenarai dalam gelanggang kelompok 20 negara termaju dan terbaik di dunia.

    107. Apa yang mustahak, di kala kita menggariskan haluan Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi, generasi Perkhidmatan Awam yang ada kini dan akan datang dicungkil bakat, diasuh serta diasah bukan sekadar dilengkapi dengan kemahiran duniawi, akan tetapi sewajibnya dibekalkan dengan nilai-nilai murni dan sejagat, supaya bila tibanya tahun 2050 nanti, akan lahirnya Malaysia yang terimbang kemajuannya memenuhi tuntutan duniawi dan ukhrawi.

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    108. Saya faham, ramai yang ternanti-nanti akan pengumuman-pengumuman tertentu. InsyaAllah, beberapa khabar gembira dan penambahbaikan untuk semua penjawat awam akan diumumkan dalam Bajet 2018 pada 27 haribulan Oktober ini nanti.



    Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Para Penjawat Awam serta Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

    109. Jelasnya, Alhamdulillah, kita mengatur syukur atas nikmat kurniaan Allah, terutama sejak beberapa bulan ini, selain menyambut Hari Kebangsaan ke-60 dan Hari Malaysia, negara ini telah dijulang sebagai Juara Keseluruhan dalam Temasya Sukan Sea Ke-29 dan tempat Kedua di Sukan Para ASEAN Ke-9, yang telah menyemarakkan semangat patriotisme dan cinta kasih rakyat kepada negara secara yang amat positif. Mudah-mudahan semangat yang membentuk solidariti padu antara sesama rakyat ini akan terus marak dan menyala demi kestabilan Malaysia yang tercinta.

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

    110. Akhir kalam, setelah hampir genap setahun, gagasan TN50 diperkenalkan, maka pada pagi yang berbahagia ini, saya ingin melancarkan BUKU FALSAFAH ASAS TN50.

    111. Apapun, kandungan buku ini bukanlah sesuatu manual yang sudah lengkap, namun, ia adalah falsafah asas yang terpandu dan terkumpul daripada siri-siri dialog sepanjang setahun lalu.


    112. Lantaran, saya mahu dari semasa ke semasa agar Falsafah TN50 terus subur, mekar berkembang, dibahas dan diwacana dengan dinamiknya, menjadi landasan arah tuju negara, sebagaimana gagasan 1Malaysia.

    113. Mudah-mudahan, Perkhidmatan Awam Negara akan terus menjadi pasak yang membina,... tunjang yang mengukuh,... di mana para Penjawat Awamnya pula adalah sebahagian daripada generasi Khayra Ummah, yang menjadi benteng Kerajaan, Mengakar lagi Mengumbi, Mengharum lagi Mewangi, megah tersohor, Duniawi dan Ukhrawi. InsyaAllah.


    Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

    Sekian, terima kasih.

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Teks Ucapan Perdana Menteri Di MAPPA XV 2017 Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top