Syed Saddiq Tuduh Naib Presiden PPBM Agen UMNO

Share on Google Plus



Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa Naib Presiden parti itu Hamidah Othman sebagai salah seorang agen Umno yang digunakan untuk melemahkan parti itu.

Bahkan menuju pilihan raya, Syed Saddiq yakin terdapat beberapa individu di dalam parti itu yang bakal menunjukkan belang untuk memporak-perandakan PPBM.

“Terdapat beberapa orang yang memang disemai oleh Umno sebagai agen tunggu sahajalah.

“Saya rasa dekat-dekat pilihan raya mereka akan mula keluar. Saya percaya dia (Hamidah) salah seorang,” katanya kepada Berita Daily ketika ditemubual secara eksklusif.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pemberontakan dalaman parti itu yang berlaku Mei lalu.

Ketua Armada yang sebelum ini mendakwa Hamidah merupakan dalang 1,000 ahli PPBM Perak keluar parti kerana kononnya tidak berpuas hati dengan kepimpinan Presiden Muhyiddin Yassin juga pernah mencabar Naib Presiden parti itu meletakkan jawatannya.

Namun begitu Syed Saddiq berkata beliau bersyukur ahli-ahli yang tidak tetap dengan pendirian perjuangan parti keluar sebelum parti pembangkang berjaya menjadi kerajaan kerana situasi itu hanya akan merumitkan kelak.

“Saya tidak faham dengan orang-orang macam ini. Tidak dapat apa-apa terus meletup (protes)… Tapi lebih baik kita hadapi perkara seperti ini sekarang, jadi apabila mereka ini keluar, kita tidak perlu lagi berurusan dengan mereka bila sudah menang. Kita boleh lebih fokus,” tambahnya.

Menurutnya lagi, sehingga kini Hamidah tidak pernah lagi dilihat hadir dalam mesyuarat tertinggi PPBM.

Untuk rekod, bukan sahaja PPBM Perak yang bertindak keluar parti, Jun baru-baru ini 200 ahli Armada turut mengambil tindakan yang sama dan kemudiannya menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Umno.

Dalam pada itu Syed Saddiq menyifatkan perkara seperti ini merupakan lumrah kepada parti yang baru ditubuhkan di mana akan ada pihak yang kecewa dengan keputusan berkaitan lantikan jawatan tertinggi.

“Kalau nak cakap ini pemberontakan besar, tidak. Saya rasa semua parti terutama bila mereka baru menubuhkan parti bila proses pelantikan, siapa yang akan memimpin parti tersebut, memang akan ada pihak-pihak yang kecewa dan tidak bersetuju dan selepas itu mengambil tindakan untuk keluar atau mungkin pada masa yang sama jumpa pihak Umno untuk cari jalan keluar yang agak selesa,” ujarnya. – BeritaDaily


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment