728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday 6 July 2017

    'Personal Shopper' Semakin Popular, Beri Kepuasan




    Perkhidmatan pembeli peribadi atau ‘personal shopper’ melalui kecanggihan teknologi komunikasi semakin popular dalam kalangan mereka yang kesuntukan masa untuk membeli-belah atau yang tidak mahu bersesak ketika jualan murah.

    Daripada pakaian dan aksesori peribadi, hinggalah peralatan perhiasan rumah dan barangan dapur, serahkan sahaja tugas membelinya kepada pembeli peribadi dengan bayaran upah berpatutan.

    Seorang pembeli peribadi, Nazziatul Hikmah Abd Rahman, 30, berkata kerjaya itu menjanjikan kepuasan tersendiri dan pendapatan lumayan jika perkhidmatan yang disediakan menepati kehendak pelanggan.

    "Saya mendapat satu kepuasan dan gembira apabila dapat membeli-belah walaupun barangan yang dibeli bukan untuk diri sendiri, selain dapat menjana pendapatan sampingan," katanya kepada Bernama baru baru ini.

    Beliau yang bertugas dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah berkata beliau mula menyediakan perkhidmatan membeli perabot dan barangan perhiasan rumah IKEA di ibu negara sejak Februari 2016, selepas memuat naik gambar beberapa barangan jenama itu dalam laman Facebooknya.

    "Rakan-rakan memuji barangan tersebut dan meminta saya membelikan untuk mereka," kata Nazziatul Hikmah.

    Lazimnya beliau akan ke ibu negara dua kali sebulan bersama rakan atau adiknya selepas mengiklankan barangan yang ditawarkan dalam laman Facebook dan Instagram.

    Seorang lagi pembeli peribadi, Ainul Farahana Mustapa, 37, menjadikan ia kerjaya sepenuh masa selepas kontrak kerjanya di sebuah syarikat antarabangsa tidak disambung.

    Sebagai peminat industri hiburan Korea, beliau membuat keputusan menjadi pembeli peribadi untuk barangan dari negara itu seperti alat solek, produk penjagaan kulit dan barangan K-pop.

    Beliau yang telah beberapa kali melawat negara itu sebelum menjadi pembeli peribadi berkata, beliau mendapat kepuasan melakukan sesuatu yang diminati di samping menjana pendapatan.

    "Paling seronok apabila pelanggan memberi maklum balas positif dan ada ketikanya mereka memesan barangan yang langsung tidak pernah saya dengar dan pelik seperti anak patung Korea dan produk penjagaan kulit yang tiada di Malaysia," katanya.

    Lazimnya beliau akan memesan barangan tersebut daripada pembekal yang dikenalinya dari  negara itu dan kadangkala beliau sendiri akan ke Korea Selatan  untuk mendapatkan barangan tersebut sambil melancong.

    -- BERNAMA

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: 'Personal Shopper' Semakin Popular, Beri Kepuasan Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top