IS musuh utama Umno, bukan Rafizi atau Azmin Ali, kata Hishammuddin

Share on Google Plus




Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Umno mempunyai agenda yang lebih besar daripada menewaskan pembangkang iaitu menyelamatkan Malaysia daripada pengganas.


Beliau yang juga menteri pertahanan hari ini menamakan IS sebagai musuh utama Umno kerana gerakan militan itu menjadi ancaman besar kepada negara.


“Rafizi Ramli (naib presiden PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (presiden PKR), Datuk Seri Azmin Ali (timbalan presiden PKR) bukan musuh kita. Agenda IS lagi berat – sembelih orang, bakar orang – Malaysia masih selamat kerana IS tak bertapak.


“Selagi saya naib presiden Umno, saya akan tentang IS. Kita lakukan untuk semua rakyat, bukan untuk orang Melayu sahaja,” tegasnya di perasmian mesyuarat Umno Cheras di Berjaya Times Square hari ini.


Malaysia menyertai 72 negara yang komited kepada membasmi ancaman IS secara bersama. Penganalisis sebelum ini menjangkakan militan akan meloloskan diri ke rantau ini selepas kehilangan wilayah di Timur Tengah. Menurut penganalisis, militan akan cuba mengambil kesempatan daripada ketegangan antara kelompok masyarakat dan ekstremisme agama di negara-negara rantau ini.


Hishammuddin kepada Nikkei Asian Review mengingatkan serangan pengganas di Mindanao ketika ini juga boleh berlaku di Malaysia. “Ancaman IS perlu ditangani bersama,” katanya selepas pelancaran rondaan laut anti-pengganas bersama Malaysia-Indonesia-Filipina 19 Jun lalu.


Sementara itu, di sidang media hari ini, Hishammuddin menasihatkan rakyat supaya memilih pemerintah yang mampu berdepan ancaman pengganas.


Beliau menegaskan BN sahaja mempunyai pengalaman berdepan pengganas dan menangani keganasan.


“Malangnya pembangkang tidak ada pengalaman. Mereka tidak ada hala tuju dan wawasan untuk memimpin masyarakat yang cukup kompleks dari segi kepelbagaian kaum dan agama.


“Jika rakyat nak pilih, biarlah pilih prestasi yang baik. Saya tak kata Umno-BN sempurna tapi kita punyai rekod prestasi. Pertimbangan pembangkang adalah bagaimana untuk memerintah sahaja.”


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment