Calon Dambaan Rakyat Perlu Jadi Pilihan UMNO/BN

Share on Google Plus




UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Kedah perlu berani keluar daripada kepompong selesa dengan meletakkan calon dambaan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, jika mahu melihat tampuk kepimpinan negeri terus diterajui parti itu.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata beliau secara peribadi melihat bahawa aura atau gelombang sokongan rakyat masih ada terhadap parti keramat itu berikutan konflik dalaman pihak pembangkang dilihat belum berkesudahan.

Parti yang mempunyai paling banyak cawangan di Kedah hanyalah UMNO dan PAS, namun keyakinan rakyat terhadap PAS goyah berikutan masalah dalaman meskipun parti itu pernah mentadbir negeri.

"Justeru peluang untuk UMNO/BN menjadi kerajaan tetap ada jika parti itu mengambil peluang untuk mengemukakan calon yang boleh diterima di peringkat akar umbi dan masyarakat kerana rakyat menunggu pemimpin yang benar-benar boleh mewakili mereka," katanya ketika ditemui Bernama pada Program Jalinan Kasih Rakan Strategik Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kedah di Cafe Jeti Semeling dekat sini semalam.

Menurutnya, isu calon akan menjadi elemen utama dalam PRU14 namun anggota UMNO/BN di semua peringkat perlu berfikiran terbuka dan mengambil sikap berlapang dada berhubung soal pemilihan calon.

Jika UMNO/BN boleh berevolusi dan melakukan transformasi dalam kriteria pemilihan calon, mengutamakan calon boleh menang dan disukai ramai, bukan calon yang disukai pemimpin semata-mata, itu adalah kunci utama untuk UMNO/BN memenangi PRU14.

"Saya yakin bahawa kepimpinan UMNO/BN sendiri sedang memerhatikan mengenai perkara itu, namun dari segi dalaman parti pula, mereka juga perlu bertindak memenangkan calon yang telah dipilih," katanya.

Sementara itu, Md Shukri berkata, pentadbiran Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, dilihat kurang dilanda isu-isu sensasi.

"Saya memuji kebijaksanaan beliau dalam mententeramkan masyarakat daripada terus bergolak kerana beliau tidak memandang bahawa dirinya perlu diperjuangkan atau dipertahankan secara agresif.

"Sebaliknya apa yang dilakukan Ahmad Bashah ialah memperbanyakkan kerja kebaktian, contohnya menerusi program Barakah, untuk kerajaan menyantuni rakyatnya, dan ini adalah sesuatu yang positif," katanya.

-- BERNAMA


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment