Umat Islam Ada 2 'Kiblat', Sebab Itu Wujud Krisis Qatar

Share on Google Plus




Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, konflik yang berlaku antara Qatar dengan beberapa negara Arab ketika ini adalah kesan daripada fahaman sekularisme.

Kata Abdul Hadi, idelogi itu menjauhkan Islam daripada hal ehwal kehidupan serta memisahkan negara dengan agama.

Justeru, katanya, berlaku pemisahan di antara kiblat untuk solat dan politik.

“Maka kiblat untuk solat ialah menghadap ke Baitullah di Mekah, dan kita menjaga serta membangunkannya sebagai kiblat kita.

“Adapun kiblat politik, ekonomi, kebudayaan dan lain-lainnya, maka kiblatnya ialah Rumah Putih di Washington atau Rumah Merah di Moscow,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Ia adalah komen pertama Abdul Hadi mengenai krisis diplomatik dihadapi Doha hari ini.

Riyadh – pada 5 Jun lalu – mengetuai gerakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar atas alasan negara itu melindungi pengganas.

Selain Arab Saudi, ia disertai Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir.

Tindakan itu diambil kira-kira dua minggu selepas Presiden AS, Donald Trump, diberi sambutan besar-besaran oleh Riyadh dalam lawatan rasminya ke Arab Saudi.

Dunia lebih diutama

Pemerintah Arab Saudi mendakwa Doha terlibat dengan kegiatan keganasan serta menyokong pertubuhan berpengaruh dalam dunia Islam, Ikhwanul Muslimin.

Doha juga didakwa mendukung agenda Iran – sebuah negara yang dimusuhi Arab Saudi – selain menyebarkan ideologi melalui media berpengaruhnya Al Jazeera.

Abdul Hadi berkata seluruh dunia Islam perlu mengambil pengajaran daripada kesan buruk Perjanjian Sykes-Picot dan perpecahan yang berlaku dalam dunia Islam Arab.

Perjanjian dirujuk Abdul Hadi itu ialah persefahaman rahsia ditandatangani dua diplomat, Mark Sykes (wakil British) dan Picot Georges (Perancis) pada Mei 1916 ketika Perang Dunia Pertama.
Melalui perjanjian itu British dan Perancis merancang untuk membahagikan Empayar Uthamaniyyah selepas Perang Dunia Pertama berakhir.

Kata Abdul Hadi, walaupun penjajah sudah keluar dari negara yang ditakluknya, kesan pengaruhnya masih dirasai apabila pengikut-pengikut mereka yang mempunyai warna kulit dan lidah yang sama dengan orang tempatan.

“Maslahah (kepentingan) dunia lebih diutamakan berbanding maslahah agama bagi menjaga maslahah Zionis dan sekaligus mengesampingkan isu Al-Aqsa dan Palestin,” katanya melalui komen yang dianggapnya menggunakan uslub (kaedah) yang “agak keras” itu.-Malaysiakini


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment