728x90 AdSpace

  • Latest News

    Wednesday 14 June 2017

    'Puasa for Malaysia' Sebuah Penghinaan Terhadap Islam





    Kempen 'Puasa for Malaysia' yang dijangka dianjurkan pada 17 Jun ini tidak wajar diteruskan kerana ia jelas merupakan satu penghinaan kepada agama dan masyarakat Islam.


    Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ismail Mina Ahmad berkata, kempen yang kononnya dikatakan untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia itu terang-terangan melanggar syariat Islam apabila telah lari dari niat asal iaitu berpuasa kerana Allah.

    "Ini adalah menghina agama Islam kerana Islam mengajar bahawa berpuasa itu semata-mata kerana Allah, ini satu penghinaan, satu pendustaan kepada agama.

    "Ini (puasa) benda syariat, maka ia merupakan ibadah, jadi ibadah ikhlas semata-mata kerana Allah, jadi sebab itu niat puasa kita kerana Allah bukan selain Allah," katanya kepada Antarapos.

    Beberapa hari lalu, tersebar satu jemputan di media sosial untuk mengajak rakyat Malaysia menahan lapar dan dahaga pada 17 Jun ini.

    Difahamkan, ia terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, yang mana didakwa diadakan atas semangat solidariti bagi memupuk perpaduan dan keamanan selain menggalakkan persefahaman antara kaum di negara ini.

    Bagaimanapun, terdapat laporan mendakwa kempen tersebut merupakan anjuran seorang pejuang hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bersama seorang aktivis badan bukan kerajaan (NGO) dan seorang paderi yang aktif melibatkan diri dengan kegiatan melibatkan belia-belia Islam.

    Acara itu turut menjemput rakyat Malaysia mengadakan pertemuan untuk sahur dan berbuka puasa, masing-masing pada pukul 4 pagi dan 6.45 petang hari yang sama di dua restoran berasingan di Bangsar.

    Mengulas lanjut, Ismail secara lantang menolak kononnya acara sedemikian mampu memupuk perpaduan sebaliknya ia lebih menjurus kepada pemikiran liberal yang merosakkan imej Islam.

    Malah tegasnya, penganjur kempen tersebut wajar disiasat supaya mereka tidak sewenang-wenangnya melakukan 'penghinaan' terhadap agama Islam.

    "Inilah pintu-pintu pemikiran liberal untuk meliberalkan syariat Islam, pakai otak, pakai akal sahaja.

    "Mereka ni satu-satu nak merungkai syariat Islam, sedikit demi sedikit mereka nak meliberalkan, maka ini adalah agenda untuk melaksanakan dekonstruktivisme agama.

    "Kita kena teliti siapa penganjur 'Puasa for Malaysia', kita kena tengok juga unsur penganjurnya sebab hal ini sangat ditekankan oleh Islam, penganjur itu kita kena kenali mereka, siapa mereka.

    "Kalau ada keperluan, pihak berkuasa wajib memanggil mereka dan kalau belum dibuat lagi maka perlu dibatalkan perkara ini," katanya lagi.

    Sebelum ini Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid yang mengulas mengenai kempen itu berkata, ibadah puasa yang wajib ke atas umat Islam adalah kerana Allah.

    Beliau menambah, selain berpuasa makan dan minum, umat Islam juga disarankan menjaga tatatertib dan kelakuan serta berbuat kebaikan dan memperbanyakkan ibadah.

    Tambahnya, jika mahu Malaysia aman dan rakyat bersatu-padu, ia boleh dilakukan dengan cara memohon doa dan mendapatkan keberkatan tanpa melibatkan ibadah puasa.

    - Antarapos

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: 'Puasa for Malaysia' Sebuah Penghinaan Terhadap Islam Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top