Marah Cara Rasulullah SAW

Share on Google Plus




Saudara Pengarang, JIKA marah, apa yang anda lakukan? Mengamuk? Menjerit? Menangis? Marah semua orang? Asingkan diri? Bermasam muka? Apakah itu kemarahan?

Marah adalah sejenis emosi semula jadi yang biasanya bersifat negatif yang boleh menjadikan seseorang ganas dan tidak terkawal.

Adakah Rasulullah SAW juga marah sedangkan baginda sendiri melarang umatnya marah?

Dalam riwayat Abu Hurairah misalnya, Nabi SAW mengatakan; “Orang yang kuat tidaklah yang kuat dalam bergaduh, namun mereka yang bisa mengendalikan dirinya ketika marah.” (hadis riwayat Malik).

Apabila berasa marah kepada seseorang, Rasulullah tidak langsung menegurnya di depan umum kerana baginda tidak ingin menjatuhkan harga diri orang yang bersalah itu.

Satu ketika apabila baginda melihat seseorang mengarahkan pandangannya ke atas dalam solat sedangkan hal itu dilarang.

Baginda menegur perbuatan itu dengan bahasa yang umum tetapi tidak menyebutkan nama orang yang melakukannya bagi menjaga perasaannya.

Namun, Rasulullah menyebut di depan para sahabat; “Apa yang menyebabkan segolongan orang mengangkat pandangannya ke langit dalam solatnya?” (hadis riwayat Bukhari)

Saat marah, Nabi SAW juga tidak ‘bermain tangan’ atau menyakiti secara fizikal.

Dalam kesaksian daripada isteri tercinta baginda, Saidatina Siti Aisyah, Nabi tidak pernah sekalipun memukul wanita atau pembantu.

Bahkan, baginda tidak pernah memukul apapun, kecuali jika sedang berjihad.

Islam mengajar umatnya menangani amarah. Antara caranya ialah mengubah posisi kedudukan kita.

Rasulullah SAW bersabda; “Apabila salah seorang antara kamu marah dan ketika itu dia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah dia duduk kerana hal itu akan menghilangkan marahnya dan kalau tidak, maka hendaklah dia berbaring.” (hadis riwayat Muslim).

Kedua ialah berwuduk, Rasulullah SAW bersabda; “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu, apabila salah seorang antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” (hadis riwayat Abi Daud).

Ketiga, meminum air. Meminum air juga boleh meredakan rasa marah. Apabila minum air, kita akan berasa lega.

Seterusnya ialah dengan berdiam diri. Bak kata orang tua, diam itu lebih baik. Apabila kita diam, bukan sahaja dapat mengawal marah malah dapat mengawal diri daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak elok mengenai orang lain.

Islam tidak menyatakan bahawa rasa marah adalah dilarang. Islam lebih menekankan tentang cara marah dan mengawal kemarahan dengan betul.




SITI AMALINA HALIM

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment