Cara Alternatif Balik Beraya Di Kampung Yang Aku Pernah Buat

Share on Google Plus



Oleh Naim AlKalantani


Seingat aku tragedi ini berlaku sewaktu 2012 atau 2013 di bulan Ramadan. Dalam dua hari sebelum raya. Biar aku kisahkan dahulu kisah tragis aku sebelum aku menukilkan ‘alternatif balik kampung di hari raya’ ini.

Pagi itu, aku bangun dan berkemas untuk pulang ke kampung halaman, beraya di sana, di Negeri Serambi Mekah. Pagi itu keluargaku kalut macam biasa la kemas-kemas barang. Duk main dengan keluarga besar.

Waktu tu seingat aku semua ahli keluarga aku ada, 10 orang termasuk ibu dan ayah. Masa tu nak balik dengan Toyota Unser. Pagi tu aku kemas-kemas. Dan di luar kelihatan kecoh. Aku tanya kenapa. Ibu cakap kereta Unser rosak.

Hari tu seingat aku Ahad. Dan Ahad tak ada kedai buka. Mustahil kedai buka sebab dua hari lagi nak raya. Waktu tu aku cakap la tak payah la balik. Ibu cakap kena balik juga.

Fikir punya fikir, ibu dan ayah sepakat untuk menaiki Proton Saga (Saga baru). Gila 10 orang nak sumbat dalam tu?

Ibu beritahu; aku, adik bawah aku, dan abang nombor dua aku – kami bertiga perlu naik bas atau kereta api. Bas Jengka-Kelantan dah habis. Ayah membawa kami bertiga dahulu dari rumah menuju ke Jerantut. Mencari bas kalau-kalau ada tiket lagi.

Sesampainya di Jerantut, semua tiket sudah habis. Ibu cakap pergi naik kereta api. Berapapun tambangnya ibu akan bayar sebab kami terdesak nak balik. Ibu cakap macam tu sebab kereta api kalau naik tanpa tiket, ada denda.

Masa tu, aku la paling legend dalam keluarga aku sebab aku la paling kerap naik kereta api. Sehingga hari ini pun aku tak pernah naik bas ke Kelantan, hanya naik kereta api dan kereta sahaja.

Sampai di stesen kereta api Jerantut, aku bertanyakan tiket untuk tengah hari. Seingat aku memang ada kereta api tengah hari menuju ke arah Tanah Merah. Tiket habis!

Sebenarnya memang aku agak awal lagi tiket akan habis. Ibu suruh kami naik je dulu, dan bayar je berapa yang pegawai tiket tu nak dalam kereta api, janji kami sampai.

Untuk pengetahuan semua, memang kereta api ‘boleh’ naik tanpa tiket. Tapi ada denda yang perlu dibayar. Seingat aku ibu beri abang aku dalam RM100. Masa tu ibu cakap ini dah habis ikhtiar. Dan kalau rasa lapar, buka puasa je. Aku cool je waktu tu, gila adventure juga kisah ni.

Lepas tu kami pun naik kereta api ekspres menuju ke negeri paling suci dalam Malaysia ni. Dalam tu, sesak ya amat. Rupa-rupanya kami tak keseorangan, lagi ramai yang tak ada tiket. Setiap penjuru ada orang.

Waktu tu aku tak pakai iPhone lagi, tak boleh la nak viralkan keadaan dalam kereta api tu. Sesak dia macam kau naik LRT, tapi penuh dengan beg dan bagasi balik kampung. Aku nak duduk pun tak boleh tahu. Jadi aku berlegar-legar dalam tu je la.

Dalam sejam lepas tu, pegawai yang periksa tiket tu pun datang. Aku ada di samping abang dan adik aku. Pegawai tu minta tiket. Abang aku cakap tak ada. Yang best nya, aku dengan yakin dan percayanya sebut kat ibu aku sebelum naik kereta api tu “denda RM20 je. Hari tu orang pernah tak ada tiket. Kena tambah RM20 je dari harga tiket”.

Dan masalah timbul. Masalahnya ‘hari tu’ aku cakap tu pada tahun 2008. Kahkahkah. Pegawai tu kira-kira dalam mesin tiket dia. Seorang kena tambah RM100 sebagai denda dan tambah harga tiket Jerantut-Tanah Merah. Aku nganga waktu tu.

Waktu tu aku tak reti mencarut lagi, jadi aku nganga je la. Lepas tu abang aku call ibu. Pegawai tu tengok je. Terdesak beb. Aku bertiga stuck dalam tu, duit tak cukup. Dah la semua virgin tak cukup umur lagi.

Seingat aku ibu aku suruh abang aku tanya pegawai tu alternatif lain ataupun paling tak nanti sampai baru bayar. Pegawai tu pandang kami. Dan mengeluh. Abang aku cakap “maaf encik. Kami tak ada duit ni”.

Pegawai tu kesian aku rasa. Dan dia cakap “macam ni lah, korang turun di Kuala Lipis kejap lagi. Kat situ, lepas je kereta api ini jalan, dalam sejam lepas tu ada kereta api shuttle, beli tiket tu pergi Tanah Merah”.

Abang aku tak puas hati. Dia was-was kalau-kalau pegawai tu troll dia. Abang aku tanya, “kalau tak ada tiket encik?”. Pegawai tu yakinkan kami, “confirm ada. Jangan risau”. Abang call ibu, ibu cakap ikhtiar je, jadi apa-apa, call dia balik.

Kami turun di Kuala Lipis tanpa membayar satu sen pun pada pegawai tu. Aku sangat berterima kasih kepada pegawai tu. Mohon kalau ada pegawai dari KTMB yang baca ni, jangan carilah siapa pegawai yang ‘bebaskan’ kami tanpa bayaran tu, sebab aku pun tak tahu nama dia.



Turun je stesen, abang bergegas ke kaunter. “Encik, tiket kereta api shuttle ke Tanah Merah ada lagi?”. “Ada. Nak berapa?”. “Tiga”. “Ok. Shuttle Tanah Merah, pukul 2 petang, tiga orang, jumlahnya RM15 (sen sen).

Aku terkejut lagi sekali. “3 orang encik”. “Ya, untuk 3 orang”. Abang bayar. Aku tengok tiket. “RM5 (sen sen)”. Ok sekali lagi aku nganga. Gila apa Lipis-Tanah Merah RM5.

Betul sahabat-sahabat. Aku tak tipu ni. Dalam pukul 2 petang tu kereta api sampai. Kami naik. Barulah aku tahu yang kereta api tu sebenarnya orang kampung panggil ‘kereta api barang’. Ada gerabak barang yang dibawanya, macam kau pos motosikal tu kan, guna kereta api tu la. Tapi tak la kami duduk sekali dengan motor tu. Kami ada coach kami. Cuma tak ada seat.

Tepatnya macam ni; kereta api ekspres ni macam bas ekspres yang kau beli tiket sebelum naik bas dan ada nombor seat pada tiket tersebut. Manakala kereta api shuttle macam bas henti-henti yang kau beli tiket dalam bas dan tiket tu tak ada seat. Kami duduk je la mana-mana, yang boleh duduk.

Yang bestnya, kereta api tu tak penuh pun. Kereta api tu ok je. Ada aircond yang sejuk, kerusi ok. Aku siap baring lagi kat kerusi tu. Kau boleh duduk mana-mana kau suka dalam tu. Seat kau tak tetap. Kalau kebetulan ramai, berdiri la kau. Eh macam bas henti-henti la.

Ok aku jelaskan. Kereta api shuttle ini adalah untuk barang. Dan kebanyakkan yang guna perkhidmatan kereta api ini adalah pelajar sekolah dan orang-orang kampung. Sebabnya mereka ini hari-hari guna dan tiket boleh beli dalam kereta api itu tanpa denda. Macam kau naik bas.

Tapi kereta api ini agak lambat bukan sebab dia lembap, tapi dia berhenti di setiap stesen kecil. Lambat tak lambat mana pun, beza dalam sejam perjalanan.

Kereta api shuttle ni ramai orang tak perasan. Sebab tiketnya tak boleh beli online. Hanya boleh beli di kaunter tiket kereta api atau dalam kereta api. Kau boleh layari website KTMB untuk lihat jadual. Atau kau boleh rujuk di jadual di bawah ini dengan kemas kini jadual 1 Februari 2017.

1. Untuk link rasmi, kau klik di sini.

2. Jadual laluan Tumpat – JB Sentral (01 Feb 2017), kau semak di sini.

3. Jadual laluan Tumpat – Dabong – Gua Musang – Kuala Lipis – JBSentral, kau semak di sini.

Kod kereta api yang SH itu adalah kereta api shuttle. Manakala ERT itu merujuk kepada kereta api ekspres. Untuk jadual yang updated, lebih afdal merujuk laman KTMB.

Sila ambil maklum:

1. Kereta api shuttle kau boleh lihat jadualnya yang setepatnya di website https://intranet.ktmb.com.my. Di situ kau boleh beli tiket kereta api ekspres juga. Untuk shuttle, kau boleh lihat perbandingan masa di situ dengan tepat, tapi tak boleh beli tiket sebab dia tunjukkan tiket sold out.

2. Aku beritahu benda ini sebab takut kau keliru dan cakap aku tipu. Sebab kau kena bandingkan masa kau bergerak. Diingatkan bahawa kereta api shuttle TIDAK SEMUA TEMPAT ADA.

3. Aku beri contoh. Kan aku gerak dari Jerantut, kenapa aku tak naik shuttle dari Jerantut saja? Sebab di Jerantut tiada Shuttle. Hanya ada Ekspres. Jadi aku kena transit di Lipis dulu, dan baru terus ke Tanah Merah.

4. Benda ini penting. Sebab kadang-kadang kau kena turun naik tren. Aku beri contoh berdasarkan jadual di atas bagaimana aku nak naik shuttle dari Kuala Lipis-Tanah Merah:

a. Aku kena naik SH58 pada 1345 dan akan sampai ke Gua Musang pada 1550.
b. Dari Gua Musang aku kena tukar kepada SH60 pukul 1552 dan sampai ke Tanah Merah pada 2035.
c. Kau kena lihat masa tu dengan teliti. Beza dalam 2 hingga 10 minit sahaja. Ataupun kau boleh tanya pegawai dalam tren tu “kena tukar kereta api atau tak lepas ni?”
d. Kalau ikut jadual yang ada di atas, ada perbezaan masa walaupun nombor tren yang sama. Paling tepat kau kena lihat di website KTMB di https://intranet.ktmb.com.my. Tapi kau hanya boleh lihat, tak boleh beli.

Bagi musim perayaan sebegini, maka aku sarankan yang tiket habis, tiket hilang, tiket kena tipu; naik la kereta api. Selain kereta api ni murah, kau dapat lihat keindahan kampung-kampung di samping kau buat story kat Instagram dan Whatsapp.

Aku banyak pengalaman pahit manis bersama kereta api. Dan di sini aku ceritakan untuk kegunaan orang ramai. Sedih tak dapat beraya sebab tiket habis, kini kau dapat beraya dengan keluarga di samping kau dapat merasakan pengalaman naik kereta api. Jangan kau tertinggal beg berisi baju raya macam Aida dalam iklan raya TNB tu sudahlah. Tak meriah raya kau nanti.



Oleh Naim AlKalantani


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment