Komitmen Penyelesaian Hutang 1MDB-IPIC Leburkan Keyakinan Palsu Muhyiddin, Ahli PPBM

Share on Google Plus




1. Isu 1MDB awalnya dilihat menjadi senjata ampuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga rakyat agak termakan dengan hasutan tersebut bahkan isu itu jugalah yang Dr. Mahathir gunakan untuk memujuk Tan Sri Muhyiddin Yassin bergabung dengannya malah mereka yakin kononnya Najib akan didakwa dan ditangkap oleh Peguam Negara.

2. Sarawak Report paling galak mengeksploitasi isu 1MDB melalui media sosial untuk memfitnah Najib dan negara malah kebanyakan maklumat yang digunakan oleh Dr Mahathir dan Muhyiddin adalah sumber daripada fitnah Sarawak Report.

3. Tindakan Department of Justice (DOJ) Amerika untuk menyita aset milik Riza Aziz & Jho Low cuba dikaitkan dengan Najib dan 1MDB. Hakikatnya hingga ke hari ini saman tersebut masih belum berjalan dan 1MDB sendiri bukan pihak yang disaman oleh DOJ.

4. Sebab itu apabila International Petroleum Investment Company (IPIC) membawa perselisihan mereka dengan 1MDB ke Mahkamah Timbangtara, pembangkang sekali lagi merasakan mereka ada isu baru untuk memfitnah Najib.

5. Namun harapan pembangkang meleset apabila IPIC-1MDB membuat penyelesaian luar Mahkamah Arbitrari (timbang tara) kes yang melibatkan dua pihak ini. Pembangkang kecewa dan cuba pula memutar belitkan beberapa fakta penyelesaian luar ini dengan cerita bohong yang tidak berasas.

6. Fitnah terbaru yang pembangkang termasuk Dr Mahathir dan Muhyiddin cuba mainkan akibat penyelesaian luar ini ialah kononnya 1MDB dan kerajaan Malaysia perlu membayar jumlah  hutang sebanyak RM 25.18 Bilion (IPIC RM5.28 Bilion + Bon RM15.4 Bilion + Faedah Bon RM4.5 Bilion).

7. Pembangkang juga mendakwa Penyelesaian luar Mahkamah Timbangtara juga membuktikan 1MDB telah tersalah bayar kepada entiti yang tiada kaitan dengan IPIC. Hakikatnya jaminan IPIC ke atas bon 1MDB cukup jelas kerana IPIC perlu  membayar faedah bon tersebut apabila 1MDB berkeras tidak mahu membayar faedah bon tersebut pada tahun 2016.

8. Justeru persetujuan penyelesaian pertikaian 1MDB-IPIC ini akan membantu menyelesaikan hutang sebanyak USD$2.5 Bilion itu dan faedah hutang 1MDB tanpa menggunakan dana tambahan dari kerajaan.

9. Kaedah yang akan digunakan ialah dengan menebus aset kewangan, iaitu Unit Dana Brazen Sky dan GIL 1MDB yang dijamin oleh IPIC bernilai USD$2.5 Bilion serta menggunakannya untuk, pertama mengembalikan USD$1.2 Bilion (yang disebut sebagai RM5.28 bilion dalam fitnah pembangkang) yang dibayar oleh IPIC kepada 1MDB pada tahun 2015 untuk menyeimbangkan penyata aset-liabiliti dan bayaran faedah bon 1MDB yang terpaksa dibuat oleh IPIC apabila 1MDB enggan membayarnya pada tahun 2016.

10. Kedua, ialah membayar faedah Bon 1MDB bermula tahun ini sehingga tahun 2022 yang berjumlah USD$1.3 Bilion (yang disebut sebagai RM4.5 bilion dalam fitnah pembangkang) dan ketiga IPIC akan melupus kira tuntutan sebanyak USD$481 Juta Bayaran Penamatan Opsyen saham yang sepatutnya dibayar oleh 1MDB kepada IPIC akibat pertikaian ini.

11. Komitmen untuk membayar faedah dan nilai pokok Bon USD$3.5 sememangnya akan dipikul oleh 1MDB kerana ia adalah pihak yang berhutang dan IPIC hanya merupakan penjamin kepada hutang tersebut. Bagaimanapun, 1MDB tidak akan membayar sekali lagi jumlah USD$3.5 Bilion kepada IPIC atau membayar nilai pokok BON USD$3.5 bilion ini.

12. Sebenarnya IPIC telah mengakui berlaku "pembayaran kepada entiti lain", IPIC dan 1MDB bersetuju untuk berunding atas "keyakinan yang baik" sehingga bulan Disember 2020 bagi mencari penyelesaian bersama untuk membayar nilai pokok bon USD$3.5 Bilion yang akan matang pada tahun 2022 tersebut.

13. Jika tiada penyelesaian dicapai di antara IPIC dan 1MDB, 1MDB masih mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas IPIC berkaitan pembayaran sebanyak USD$3.5 Bilion kepada Aabar BVI sebelum tarikh matang bon tersebut pada tahun 2022.

14. Jaminan IPIC ke atas faedah dan nilai pokok bon ini masih terpakai sehingga tahun 2022 dan IPIC akan terpaksa membayar faedah dan nilai pokok bon ini jika 1MDB gagal atau enggan membayarnya.

15. Malangnya pembangkang tidak mahu  menerima hakikat atau cuba memahami bahawa IPIC dan 1MDB sudah menemui jalan penyelesaian bagi pertikaian berkaitan dana berkaitan 1MDB kerana ia meruntuhkan teori dan dakwaan dan mereka selama ini mengenai beberapa perkara, antaranya ialah wang 1MDB telah dicuri dan ia dicuri oleh Najib.

16. Kedua, 1MDB akan gagal membayar hutang dan ia akan mengalami kerugian. Ketiga, unit dana 1MDB hanya satu penipuan dan tidak mempunyai nilai. Keempat, 1MDB telah menyelewengkan sebahagian besar dana untuk diberikan kepada individu tertentu, dan kelima, penyiasatan oleh pihak berkuasa AS, Switzerland, Singapura dan negara negara lain akan mendapati Najib bersalah dan beliau akan dihukum oleh negara-negara ini.

17. Hakikatnya penyelesaian pertikaian IPIC-1MDB ini adalah satu kejayaan kerana ia dapat mengurangkan lagi hutang 1MDB seperti yang dirancang dalam Pelan Rasionalisasi 1MDB dan membuktikan unit dana 1MDB mempunyai nilai dan boleh digunakan untuk mengurangkan hutang 1MDB.

18. Penyelesaian luar ini juga membuktikan IPIC menerima hakikat bahawa terdapat transaksi dari 1MDB kepada syarikat itu dan terdapat jaminan ke atas aset dan hutang 1MDB bahkan telah melemahkan kes saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan dakwaan bahawa wang 1MDB telah dicuri.

19. Jika kelahiran Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berpunca daripada isu 1MDB maka tindakan Dr Mahathir dan Muhyiddin adalah sia-sia. Hakikatnya, 1MDB bukan puncanya tetapi lebih kepada keyakinan palsu kerana tamak mahukan jawatan Perdana Menteri.



Datuk Dr Hj. Mohd Puad Zarkashi
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment