728x90 AdSpace

  • Latest News

    Saturday 6 May 2017

    Kesetiaan Perlu Letak Pada Tahap Paling Tinggi - YDPA



    Setiap lapisan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diharapkan terus meletakkan kesetiaan di tahap tertinggi agar kedaulatan negara tidak digugat, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, hari ini.

    Baginda bertitah taat setia dan kecemerlangan ATM adalah legasi yang telah diwariskan oleh pejuang terdahulu yang berkorban demi bangsa dan negara.

    “Beta menyeru kepada pewaris ATM supaya melonjakkan kedudukan angkatan ini ke puncak yang lebih tinggi dan mercu kegemilangan yang mutlak.

    “ATM hendaklah terus melipatgandakan segala daya dan usaha untuk memperkasakan tahap siap sedia dan mempertingkatkan tahap keterampilan warganya agar angkatan tentera beta berdiri gah dan disegani,” titah baginda pada Istiadat Perbarisan Memuliakan Seri Paduka sempena pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini.

    Baginda turut berpuas hati dengan pencapaian ATM yang telah berjaya melaksanakan peranannya sebagai tiang seri pertahanan dan kedaulatan negara, dan baginda turut menggelarkan ATM sebagai sebuah angkatan yang serba boleh.

    Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan bertitah pada istiadat perbarisan memuliakan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V di Dataran PTD Kem Sungai Besi hari ini

    Keberangkatan tiba baginda di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, disambut dengan lagu Negaraku dan tembakan meriam kehormatan 21 das.

    Seri Paduka kemudian memeriksa perbarisan terdiri daripada 26 pegawai dan 588 anggota lain-lain pangkat bagi ketiga-tiga perkhidmatan ATM yang diiringi oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

    Perbarisan yang diketuai Lt. Kolonel Johan Effendi Mohd Salleh itu terdiri daripada lima kontinjen utama iaitu tiga kontinjen dari Tentera Darat iaitu kontinjen Rejimen Askar Melayu Diraja, kontinjen Renjer Diraja dan kontinjen Kor Armor Diraja selain kontinjen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

    Sebaik selesai pemeriksaan barisan ATM, sembilan buah pesawat terdiri daripada tiga pesawat Agusta, sebuah pesawat Superlynx, sebuah pesawat Nuri, dua buah pesawat EC725 serta dua pesawat Fennex terbang di ruang udara bagi upacara lintas hormat.

    Pesawat-pesawat tersebut telah membawa Jalur Gemilang, bendera ATM dan bendera ketiga-tiga perkhidmatan.

    Laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan bergema di dataran itu pada penghujung istiadat disusuli dengan bacaan doa.

    Sultan Muhammad V kemudian sekali lagi menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan kehormatan sebelum berangkat ke majlis santapan ringan.

    Turut hadir ke istiadat itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta panglima dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. – Bernama





    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Kesetiaan Perlu Letak Pada Tahap Paling Tinggi - YDPA Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top